Friday, 7 May 2021

PETUA PANJANG UMUR

 


Firman Allah subhanahu wa ta’ala, إِنَّآ أَنزَلْنَٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْر - sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. 

[Surah al-Qadr 97:1]

Perkataan إِنَّآ - sesungguhnya Kami. Biasanya pelajar akan bertanya, “Kenapa Allah guna Kami?” Sebab biasanya Kami ini menunjukkan ramai sedangkan Allah itu Esa, Allah itu satu. 

Maka jawapannya, Kami dalam bahasa Arab ada dua maksud.

Pertama, ‘Kami’ bermaksud ramai. Maksud yang kedua ‘Kami’ ialah menunjukkan kebesaran.

Kadang-kadang raja di negara Arab, dia bercakap seorang sahaja, tetapi dia guna perkataan nahnu, nahnu al-malik - kami adalah raja. Dia tidak guna ana, sebab apa? Sebab nahnu juga menunjukkan kebesaran orang yang bercakap. 

Jadi Allah guna di sini sebagai menunjukkan kebesaran Allah. 

Allah beritahu antara kebesaran Allah ialah أَنزَلْنَٰهُ - Kami telah turunkannya. Perkataan nya ini merujuk kepada apa? 

Perkataan nya ini di dalam bahasa Arab dan juga bahasa Melayu sama sahaja. Bila perkataan nya atau ganti nama dia ka – kamu, biasanya merujuk kepada perkataan ataupun nama yang disebut sebelum ayat itu.

Saya buat contoh. ‘Muhammad pergi ke sekolah. Kemudian dia bermain di sekolah’. ‘Dia’ itu merujuk kepada Muhammad. Biasanya macam itu. Sebab itu ‘dia’ ini dipanggil dalam bahasa Arab dhamir - ganti nama. Ganti kepada nama yang disebut sebelum itu. 

Tapi dalam konteks ayat ini, huruf ‘hu’ pula merujuk kepada siapa? Sebab tidak ada sesiapa pun yang disebut sebelum ayat itu. Inilah keunikan bahasa Arab. 

Bila Allah sebut ‘nya’ dan tidak ada perkataan disebut sebelum ‘nya’, maka Allah mahu beritahu ‘nya’ itu adalah satu perkara yang sangat-sangat diketahui oleh orang dan orang akan faham. 

Bila Allah kata Kami turunkannya, semua orang akan faham itu adalah al-Quran. 

Sebab itulah kita kena faham al-Quran bukan dengan satu ayat, bukan dengan satu surah tapi kita baca semua sekali. Semua surah. Semua ayat. Maka kita fahamlah huruf ‘hu’ ini merujuk kepada al-Quran. 

Kemudian menguatkan lagi ialah Allah kata Kami turunkannya فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْر - pada malam lailatulqadar.

Bila berlakunya malam ٱلْقَدْر ini? Dalam bulan Rejab ke? Sya’ban ke? Bukan. Allah jawab di dalam ayat yang lain dalam Surah al-Baqarah 2:185. 

Allah kata, شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ - (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). 

Allah kata apa? Turun di dalam bulan Ramadan.

Jadi malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan. Okey, apa makna al-Qadr? Kenapa dipanggil al-Qadr? Perkataan ٱلْقَدْر ada dua makna. Pertama, as-syaraf - kemuliaan. Kedua, at-takdir - penetapan. 

Contoh saya buat ayat. Rajulun zu qadarin ‘azhimin - lelaki yang mempunyai qadrin, apa makna qadrin? Kemuliaan. Perkataan azhim bermaksud yang mulia. Jadi bila sebut qadr bermaksud kemuliaan. Jadi Allah namakan malam itu malam al-Qadr sebab malam itu malam yang mulia. 

Dalam 365 malam, malam yang paling mulia ialah malam al-Qadr. Sebab itu dipanggil al-Qadr iaitu malam yang penuh dengan kemuliaan. 

Tapi kita kena ingat kenapa malam itu jadi mulia? Sebab al-Quran. Semua malam sama sahaja, tapi bila al-Quran turun pada malam tersebut, malam itu menjadi luar biasa. Malam itu menjadi mulia. 

Jadi maksudnya apa? Maksudnya ialah apa sahaja yang berkait dengan al-Quran, pasti jadi mulia. Kalau bulan Ramadan dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain, bulan Ramadan paling mulia, kenapa? Sebab bulan itu turunnya al-Quran. 

Mekah pun mulia, kenapa? Sebab Mekah ada Baitullah. Sebab Mekah turun al-Quran yang pertama. Nabi Muhammad salla Allah ‘alaih wa sallam jadi mulia sebab apa? 

Sebab akhlak Nabi adalah al-Quran. Hebat dan mulianya Nabi sebab ada kaitan dengan al-Quran 

Jadi kemuliaan berkait rapat dengan al-Quran, bukannya pada harta, pangkat dan kedudukan. 

Jadi kalau mahu mulia, jangan cari pangkat, harta, dan jangan buang masa untuk mulia di sisi manusia sebab dia belum tentu mulia di sisi Allah. 

Habiskanlah masa kita untuk menjadi mulia di sisi Allah iaitu dengan jadikan diri kita, hidup kita, hati kita, perasaan kita dengan al-Quran. Hidupku dan matiku ialah al-Quran. 

Maka jadilah mulia hidup kita. Okey, itu makna yang pertama.

Maksud yang kedua ialah at-Takdir - penetapan. Jadi malam itu dipanggil malam penetapan. Apa yang ditetapkan? Malam itu Allah tetapkan takdir seseorang. Allah tetapkan rezekinya, hidupnya, matinya dan amalannya. 

Contohnya, berapa banyak rezeki kita untuk tempoh setahun. Bermula malam itu sehingga setahun akan datang. Maksudnya sehingga jumpa lailatulqadar akan datang, rezekinya Allah sudah tetapkan.

Katakanlah rezeki kita 5 ribu setiap bulan, tiga orang anak dan naik pangkat. Jadi Allah sudah tulis hidup dan matinya. Bulan berapa kita akan mati. 

Berapa hari lagi tinggal, berapa hari, berapa bulan, berapa minggu lagi dan siapa pula yang akan lahir, anak siapa, berapa ramai yang akan lahir, Allah tetapkan pada malam itu; dan juga amalan seseorang Allah tetapkan. 

Maksud Allah tetapkan ialah Allah catit apa yang manusia akan pilih setelah diberi pilihan oleh Allah subhanahu wata’ala.

Jadi, antara dua maksud tadi, mana satu yang betul ataupun yang lebih tepat? 

Kata ulama, bila kedua-dua maksud itu mentafsirkan al-Qadr dan tidak bercanggah, maka kedua-duanya betul. Maksudnya, kita mahu kata malam itu penuh dengan kemuliaan dan pada masa yang sama, malam itu juga ditetapkan ketentuan seseorang dari segi ajalnya, rezekinya dan amalnya. Kedua-duanya betul. Okey.

Jadi pengajaran daripada ayat pertama apa dia? 

Pengajaran ayat pertama ialah siapa yang mahu menjadi mulia, bacalah dan tadabburlah al-Quran. Sebab al-Quran ini sebagaimana disebut oleh Nabi, bacalah Quran, baca dan faham dan amal kerana ia akan selamatkan kamu di akhirat. 

Makna al-Quran boleh pastikan kita mulia di akhirat dengan masuk syurga ataupun al-Quran boleh pastikan kita hina dengan mencampakkan kita ke dalam neraka. 

Jadi, siapa yang baca dan ikut al-Quran, al-Quran akan mulia dan angkat kita masukkan ke dalam syurga. Siapa yang tidak baca ataupun tidak amalkan, al-Quran akan hina kita dan campak kita kita ke dalam neraka.

Jadi siapa mahu menjadi mulia, pastikan hidupnya tidak berpisah dengan al-Quran. Amalannya, percakapannya, fikirannya, akhlaknya mesti selari dengan al-Quran. Barulah dia akan menjadi mulia dan dia akan selamat. 

PETUA PANJANG UMUR

PETUA PANJANG UMUR
Oleh: Ustaz Abd Muein Abd Rahman
Kemudian Allah bertanya. وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ - dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? [Surah al-Qadr 97:2]
Setelah Allah beritahu bahawa Allah turunkan al-Quran di malam al-Qadr, kemudian Allah mahu beritahu bahawa malam itu terlalu hebat dan terlalu besar kelebihannya.
Malam itu penuh dengan keberkatan dan kesejahteraan. Maka cara Allah mahu beritahu betapa hebatnya malam tersebut ialah dengan mengemukakan soalan.
"Eh, kamu tahu tak apa yang aku nak cerita ni?"
Jadi cara soalan itu menyebabkan orang mahu tahu. Kemudian orang rasa perkara yang kita mahu cerita pasti hebat. Kalau benda tidak hebat, dia akan terus cerita sahaja.
Itulah bahasa al-Quran.
Jadi sebelum manusia faham betapa besar dan hebatnya malam itu, Allah mahu betulkan minda kita supaya jangan main-main dengan malam ini. "Kamu tahu tak apakah malam al-Qadr ini? Jangan main-main sebab dia satu malam yang sangat besar dan luarbiasa."
Jadi, bila kita baca dan dengar, kita kena fokus dan hayatinya. Jangan baca tanpa penghayatan dan tanpa rasa langsung kebesaran yang Allah mahu ceritakan.
Kemudian Allah beritahu apa itu malam al-Qadr. لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ - malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.
[Surah al-Qadr 97:3
Apa kehebatan malam al-Qadr sehingga Allah tanya soalan itu?
Satu malam al-Qadr kebaikannya atau kebesarannya ialah sama dengan seribu bulan ataupun lebih kurang 83 tahun.
Jadi apa kelebihannya? Apa kebaikannya?
Apa maksud خَيْرٌ ? خَيْرٌ maksudnya baik, baik dari segi apa?
Baik dari segi rezeki ke, amalan ke, keluarga ke, pekerjaan kita di dunia ataupun baik dari segi apa? Baik dari segi ganjaran pahala. Oh, pahala sahaja ustaz?
Kita lupa sebenarnya bahawa pahala ini adalah duit. Kalau di dunia, kita cari duit untuk hidup. Tapi kita kena ingat bahawa bila di akhirat nanti, duit sudah tidak laku. Apa yang laku ketika itu hanya satu sahaja iaitu pahala; dan hidup kita di akhirat jauh lebih lama daripada hidup di dunia.
Kalau kita cari duit bermati-matian untuk hidup di dunia yang hanya 70 tahun. Kalau untuk akhirat kena lebih lagi sebab kita mahu hidup berapa lama ini? Bukan 70 tahun, bukan 700 tahun, bukan 7000 tahun, bukan 7 juta tahun tapi kekal selama-lamanya – ‘khalidi nafiha abada.’
Jadi agak-agaklahkan, yang mana kita perlukan? Duit atau pahala? Cuba fikir atok kita yang mungkin sudah meninggal 50 tahun yang lepas. Masa dia meninggal umurnya 60 tahun. Sekarang sudah 50 tahun dia meninggal. Maksudnya kalau 10 tahun lagi samalah umur di di dunia dengan umur di dalam kubur.
Kalau moyang kita pula, katakanlah moyang kita sudah meninggal 200 tahun yang lepas. Masa dia meninggal umurnya 70 tahun. Maksudnya umur dia di dunia 70 tahun dan sekarang dia sudah berada di dalam kubur selama 200 tahun.
Hidup di alam kubur masih belum berakhir lagi itu. Bila masa akan berakhir? Tengoklah bila hari Kiamat berlaku.
Jadi, kehidupan sebenar kita bukan di akhirat sahaja, di dalam kubur pun akan lebih lama daripada kehidupan di dunia. Jadi kalau kehidupan di dunia, kita cari duit dan pulun habis-habis, maka untuk kehidupan akhirat yang tidak akan berakhir ini - 'khalidi nafiha abada', kita kena cari pahala yang lagi berganda.
Sebab itulah Allah Maha Sayang pada kita. Allah berikan kepada kita satu malam yang tidak perlu kita bekerja, beribadat, berjihad selama seribu bulan, tidak perlu. Allah mahu kita beribadat satu malam sahaja dan kita akan dapat ganjaran pahala ibadat seribu bulan bersamaan 83 tahun.
Cuba tanya diri kita, kita mahu apa lagi kalau satu malam beribadat, kita sudah mendapat pahala amalan 83 tahun?
Sebab itu ulama kata cara paling berkesan untuk panjang umur ialah rebutlah pada malam al-Qadr, sebab apa? Sebab bila kamu dapat malam al-Qadr, tidak perlu beli basikal, tidak perlu keluar pergi bekerja, tidak perlu exercise sehingga 7 kilometer.
Kita hanya perlu berjaga satu malam, maka umur kita pun akan panjang selama 83 tahun; dan 83 tahun ini bukan untuk di dunia sahaja, tetapi untuk di akhirat.
Ramai orang yang panjang umur; tapi caranya tidak betul. Ada yang panjang umur dengan berdoa, "Ya Allah, panjangkanlah umur ku." Ada orang yang panjang umur dengan makan herba - minum tongkat ali. Ada orang yang panjang umur dengan menjaga kesihatan - exercise atau joging setiap pagi, kadang-kadang naik basikal sehingga beratus-ratus kilometer supaya panjang umur dan mahu menjaga kesihatan badan.
Cuba bayangkan, satu malam kita beribadat, kita dapat pahala selama 83 tahun, satu dosa pun tidak ada. Jadi, amat tidak cerdik kalau orang yang berdoa kepada Allah, orang yang makan pelbagai makanan tambahan, orang yang melakukan pelbagai exercise untuk sihat dan panjang umur, tetapi tidak berebut untuk mendapatkan Lailatulqadar.
Kenapa tidak cerdik?
Sebab apa yang kita buat untuk panjang umur itu hanya untuk 70 tahun hidup di dunia, selepas itu, kita akan mati. Tetapi kalau kita beribadah di malam al-Qadr, kita bukan setakat panjang umur di dunia, tetapi panjang umur untuk selama-lamanya di akhirat. Sebab itulah orang yang paling cerdik ialah Nabi Muhammad salla Allah ‘alaihi wasallam.
Baginda bila jumpa dengan malam al-Qadr di sepuluh akhir Ramadan, tidak pernah meninggalkannya; bahkan Baginda menjadi lebih hebat dan lebih bersungguh-sungguh.
Kata Aisyah radhiyallahu anha, Nabi Muhammad salla Allah ‘alaihi wasallam berusaha beribadat bersungguh-sungguh di bulan Ramadan lebih daripada bulan yang lain. Kemudian Baginda bersungguh-sungguh lagi di sepuluh akhir Ramadan lebih daripada di sepuluh awal, dan sepuluh di tengah Ramadan.
Kenapa?
Sebab Nabi mahu panjang umur; dan panjang umur Nabi bukan setakat 70 tahun di dunia. Ini orang yang berfikiran pendek. Ramai orang yang mahu panjang umur di dunia tetapi dia tidak peduli di akhirat sedangkan di akhirat umurnya lagi panjang dan kekal.
Jadi, orang paling cerdik ialah orang yang mahu panjang umur bukan di dunia sahaja tetapi di akhirat. Dan cara yang terbaik dan yang paling berkesan mahu panjang umur di dunia dan akhirat ialah berebutlah pada malam al-Qadr.
Kalau kita dapat 10 malam al-Qadr, berapa umur kita? 830 tahun. Subhanallah. Kita mahu apa lagi? Kalau kita dapat 20 malam al-Qadr, umur kita akan menjadi 1660 tahun.

Wednesday, 5 May 2021

BAGAIMANA MEMAAFKAN MENURUT AL QURAN

 


"Aku tak kacau dia pun, apa yang dia tak puas hati kat aku?"

"Dah la, orang dah buat baik kat dia, dibalas begini pula! Tak kenang budi sungguh!"

Biasa tak dengan situasi di atas? biasa, kadang tak faham kenapalah diuji begini apabila berhubungan dengan manusia.

Alhamdulillah kelas Alfaz Quraniyyah merungkai, mencerahkan tentang hal ini.

Belajar 3 lafaz.

1. Al 'Affuw

2. Al Sofhu

3. Al Ghofru

Ustazah sebut, kita masuk syurga kerana adanya dosa.

-      -Dosa kita yang menjadikan kita bertaubat.

-      -Dosa orang yang menjadikan kita pemaaf.

Kesalahan orang pada kita adalah nikmat yang tersembunyi.

Ustazah juga kongsi tentang kaedah bahasa Al Quran.

Lafaz dimaknai sama lalu berkumpul, harus dihuraikan secara detail dan spesifik.

Lafaz yang tidak berkumpul, 1 lafaz boleh membawa 3 makna terus.

Ketiga lafaz ini berkumpul pada ayat 14 surah Al Taghabun.

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (At-Taghaabun 64:14)

Manusia sering dibelenggu oleh masalah kekeluargaan, pasangan dan anak anak. Masalah yang boleh menghalang dari ingat Allah dan mendapat manfaat duniawi.

Tanpa solusi Al Quran, manusia akan stress dan depress.  Lalu pasangan dan anak anak harus diwaspadai.

Waspada berbeza dari buruk sangka. Waspada berdasarkan bukti bukti yang nyata. Fakta.

Buruk sangka pula tidak ada bukti, hanya persepsi yang buruk sahaja.

Jadi solusi yang Allah beri, bagaimana mencari syurga yang pertama dalam rumah tangga adalah dengan.

🌻 Memaafkan (Al 'Affuw)

🌻 Melupakan (Al Sofhu)

🌻 Menutupi (Al Ghofru)

1 Al ' Affuw

Tidak menghukum dan membalasi kesalahan orang terhadap kita, kala kita mampu dan ada hak membalas. Tidak membalas tatkala kita mampu dan berhak berbeza dengan yang lemah dan tidak mampu membalas. Memaafkan belum tentu melupakan. Dan tidak membalas belum tentu suci hati nya. Pada tahapan ini, ia lebih kepada menahan jasad di khalayak.

2 Al Sofhu

Melupakan kesan kesalahan seseorang dalam jiwanya. Berlapang dada dengan kesalahan orang. Di peringkat Al 'Affuw mungkin tidak membalasi, namun kalau tiada Al Sofhu mungkin tatkala berdua luah juga. Namun bila dah lapang dada, walaupun susah payah mujahadah tetap memilih memaafkan dan melupakan kesalahan. Bukanlah buat kerana dia, tetapi kerana Allah lah kita maafkan dan melupakan. Seperti dicontohkan Nabi Allah Yusuf dan ayah nya. 

3 Al Ghofru

Menutupi kesalahan ditempat umum. Kadang kita dah maafkan dah lupa, namun kalau orang bicara tentang buruk orang yang dah pernah buat salah kat kita, walaupun dah 10 tahun berlalu, kita pun masuk line sekali. Contoh Ustazah beri, orang berhutang. Apabila sahabat cerita dia dah terkena dengan orang tu, kita pun buka balik cerita lama. Sepatutnya kalau Al Ghofru, kita tutup sahaja aib itu. Memang sangat susah, kerana syahwat kita mahukan dunia, nafsu pula menyokong, syaitan pun datang, lepas tu pula duduk di dunia, anak minta nak beli itu ini nak pakai duit.Mashaa Allah, susah nya. Susah sangat sangat. Namun, sudah berazam buat kerana Allah. Tutup kesalahan nya, agar orang itu selamat dari aib. Memilih merahsiakan, kerana begitu banyak aib kita Allah tutupi sehingga kita rasa selamat dan dirahmati.

Gabungkan surah 64 ayat 14 dengan  surah 3 ayat 134 untuk melihat lafaz apa sebelum Al 'Affuw.

Al kadzmu

Menahan amarah supaya tidak marah. Di sinilah kita memulakan diri. Contohnya dibaling selipar, kita dah ambil selipar dah nak baling balik, tapi kita memilih menelan amarah itu agar tidak menjadi kemarahan. Selepas Al Ghofru, yang lebih susah selepas menutupi aib adalah berbuat baik kepada orang yang buat salah terhadap kita.

Al Ihsan

Berbuat baik dalam kerangka mencontohi keindahan sifat Allah kerana kita nak sangat jumpa Allah. Jadi kita berakhlak dengan sifat sifat Allah. Kita dibawa berfikir secara celik, bahawa kebaikan dan keburukan itu dua hal yang sangat berbeza. Keburukan itu ada pemadam nya, jadi balasi lah keburukan dengan kebaikan agar memperoleh persahabatan yang erat. Caranya?. Dengan berbagi rezeki dan senyum. Ya Allah betapa susah nya, Allahu Akhbar. Sudahlah orang jahat kat kita, nak berbagi rezeki pula.  Yang menarik apabila Ustazah jelaskan, ihsan bermaksud kita menyembah Allah bukan secara ritual sahaja, juga secara sosial.  Menyembah Allah seolah olah menyaksikan Allah, itulah orang muhsin. Yang nantinya, betul betul dapat menyaksikan wajah Allah di hari akhirat.

Orang yang Muhsin ini juga, apabila dilihat orang lain, sama halnya menyaksikan Allah, buat orang ingat Allah. Bagaimana memperolehi muhsin? Dengan menahan amarah. Jadi jangan menyalahkan orang kalau orang buat pasal dengan kita. Takut marah, membuatkan kita meninggalkan dosa. Menjadikan kita bertaubat.

Harap buat kita jadi Al Awbah.

Cinta buat kita jadi Inabah.

Amal Amal hati muncul ketika kita bersosial, dengan anak isteri jiran bos dan lain lain.

Jangan harap semua orang baik. Kalau orang tak baik kita marah.

Ingat, kita masuk syurga bukan kerana amalan kita, tetapi dosa yang membuatkan kita takut dan beramal.

Yang kedua, kerana kita memaafkan buruknya orang sekitar kita, Allah memaafkan kita.

Kerana buruknya mereka, kita menahan amarah. Kerana kita menahan amarah, Allah kurniakan maghfirah yang akhirnya membawa kita ke syurga.

Ternyata, syurga boleh dimasuki melalui pintu kebencian yang ada kebaikan sebaliknya.

Kita manusia, memang akan dibuat rasa sedih, marah dan bangang oleh Allah, kerana itu memang essensi, emosi kita.

Tiada yang tak rasa marah, rasa sedih terus boleh gelak gelak senyum terus. Akan rasa marah dulu.

Kalau tiada rasa semua ini, tiadalah perjuangan.

Masalah ternyata untuk buat kita kembali recall ayat ayat Al Quran. Zikra.

Persepsi yang baik, akan membuatkan diri saat tertimpa takdir yang tidak baik tetap berkata

Engkau adalah bahtera yang menghantarkan aku kepada Tuhan Ku.

Mashaa Allah.

Sunday, 2 May 2021

MENAFIKAN KEBAIKAN SUAMI

 

Antara bentuk penafian isteri adalah ucapan....

"Abang TIDAK PERNAH sayang saya"

"Abang TIDAK PERNAH beli saya hadiah"

"Abang TIDAK PERNAH tolong kerja-kerja kat rumah ni”

Biar pun ucapan ini terkadang hanya "main-main/suka-suka" tetapi tetap saja ini merupakan suatu bentuk pengingkaran (tidak boleh berbohong meskipun bergurau)

Bahkan boleh jadi ucapan tersebut adalah ungkapan sebenar dalam hatinya. 

Isteri tidak pernah bersyukur kebaikan suaminya dan lupa perjuangan berat suaminya di luar rumah menghadapi kerasnya hidup. Terkadang keringat suami boleh jadi bercampur air mata dan suami berprinsip cukup di luar saja "ada masalah" sedangkan di rumah dia tutupi dengan senyuman di hadapan isteri dan anak-anak. 

Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda kepada para sahabatnya,

“Telah diperlihatkan neraka kepadaku, kulihat MAJORITI penghuninya adalah wanita, mereka telah kufur (ingkar)!”

Ada yang bertanya, “apakah mereka kufur (ingkar) kepada Allah?”

Rasullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Tidak, mereka mengingkari (kebaikan) suami." [HR. Bukhari dan Muslim]

Demikianlah maksud kata-kata "TIDAK PERNAH SAYANG"...”TIDAK PERNAH BELI”....”TIDAK PERNAH TOLONG” yang dijelaskan oleh Nabi shallallahu alaihi wa sallam dalam hadits ini

"Sekiranya kalian (suami) senantiasa berbuat baik kepada salah seorang dari mereka SEPANJANG HIDUPNYA, lalu ia (isteri) melihat sesuatu yang tidak berkenan, dia (isteri durhaka itu) pasti berkata,

“Saya sama sekali TIDAK PERNAH melihat kebaikan pada dirimu”

[HR. Bukhari dan Muslim]

Mungkin tidak salah kalau ada yang berkata bahawa sifat asli seorang perempuan itu : 

“Mudah JATUH HATI pada yang membuatnya ‘menangis terharu’ tetapi sekelip mata pula MUDAH LUPA pada orang yang banyak berbuat kebaikan padanya”

🌸............................................................🌸

Hadith lengkap untuk muhasabah : 

Seselesainya dari shalat Kusuf (shalat Gerhana), Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda menceritakan surga dan neraka yang diperlihatkan kepada beliau ketika shalat,

‎وَرَأَيْتُ النَّارَ فَلَمْ أَرَ كَالْيَوْمِ مَنْظَرًا قَطُّ وَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ. قَالُوا: لِمَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: بِكُفْرِهِنَّ. قِيْلَ: يَكْفُرْنَ بِاللهِ؟ قَالَ: يَكْفُرْنَ الْعَشِيْرَ وَيَكْفُرْنَ اْلإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلىَ إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ، ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ: مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ

“Dan aku melihat neraka. Aku belum pernah sama sekali melihat pemandangan seperti hari ini. Dan aku lihat ternyata majoriti penghuninya adalah para wanita.” Mereka bertanya, “Kenapa para wanita menjadi majoriti penghuni neraka, ya Rasulullah?” Beliau menjawab, “Disebabkan kekufuran mereka.” Ada yang bertanya kepada beliau, “Apakah para wanita itu kufur kepada Allah?” Beliau menjawab, “(Tidak, melainkan) mereka kufur kepada suami dan mengkufuri kebaikan (suami). Seandainya engkau berbuat baik kepada salah seorang istri kalian pada suatu waktu, kemudian suatu saat ia melihat darimu ada sesuatu (yang tidak berkenan di hatinya) niscaya ia akan berkata, ‘Aku sama sekali belum pernah melihat kebaikan darimu’.” 

(HR. Bukhari no. 5197 dan Muslim no. 907).