Friday, 1 November 2019

IBU BAPA BAGAI BUMI MENDAMAIKAN

Image result for nur fazura

Ketika seseorang hidup di dunia ini, hendaklah melakukan sesuatu yang baik. Agar anak cucunya dan sahabat handai kelak mendoakannya. Dirasakan doanya akan di mustajabkan Allah SWT sejajar dengan amalannya yang baik di dunia ini. Jangan sampai anak cucu merasa gayat ketika mendoa untuk kesejahteraan arwah ibu bapanya kerana ketika hidup ibu bapanya terkenal sebagai ahli maksiat yang bergelumang dosa. Percanggahan itu menyebabkan anak cucu jadi seba salah kerana Tuhan Maha Mengetahui percanggahan antara doa anak-anak yang baik dengan keadaan ahli maksiat yang didoakan itu.
Ibu bapa sewajibnya menjadi contoh teladan yang baik kepada anak cucu dan bukan sebaliknya. Menurut riwayat pada suatu hari seorang sahabat bernama Aqra Bin Habis melihat Nabi SAW sedang mencium cucunya bernama Hasan Bin Ali.
Berkata Aqra SAW “ Aku mempunyai anak 10 orang tidak pernah aku dakap dan cium walau seorang pun”. Lantas Nabi SAW menegur sikap Aqra dengan jawapan spontan melalui sabdanya yang bermaksud “Sesiapa yang tidak tahu kasihan belas kepada orang maka orang lain juga tidak akan kasihan belas kepada dirinya pula”.
Hadis tersebut meskipun ringkas namun ia menjadi suatu kaedah yang mudah difahami dalam kehidupan manusia. Sifirnya ialah jika tidak tahu mengasihi kepada orang lain maka tiada yang mengasihi dirinya. Yang dimaksudkan orang lain iaitu sama ada manusia ataupun para malaikat. Andainya seseorang berhajat supaya orang lain kasihan belas terhadap dirinya perlihatkan lah sifat kasihan belas yang ada dalam diri kepada pihak lain.
Tunjukkan sifat itu kepada anak dan kaum keluarga hatta kepada pihak musuh sekalipun selagi boleh tunjukkan sifat kasihan belas. Supaya dengan begitu Tuhan lebih tahu untuk buka pintu hatinya jika manusia tiada belas kasihan mungkin para malaikat tidak akan menyayanginya. Menurut riwayat, suatu ketika Muawiyah berdepan dengan seorang alim yang petah bermadah dan berpidato bernama Ahnaf bin Qaisy. Lalu dimintanya agar beliau memberi buah fikiran atau berpendapat bagaimana caranya hendak menjadikan anak-anak agar hati ibu bapa sayang kepadanya.
Berkata Ahnaf: “Wahai Amirul Mukminin sesungguhnya anak-anak itu adalah buah hati ibu bapa, dia adalah tulang belakang kehidupan rumah tangga”. Ibu bapa bagi mereka ibarat bumi yang mendamaikan, ibarat langit yang sentiasa memayungi serta meneduhi nya. Disebabkan anak-anak maka ibu bapanya sanggup menentang musuh yang mengancam meskipun terpaksa pertaruhkan jiwanya.
Oleh itu sekiranya anak-anak meminta sesuatu (yang munasabah) perkenankan lah. Jika anak-anak marah kerana kekurangan sesuatu, layanlah mereka dengan wajah yang manis nescaya kelak mereka bakal menumpahkan kasih sayang sepenuhnya kepada anda. Kedua-dua ibu bapa jangan jadi kekunci yang sentiasa mengekang hasrat murni anak-anaknya kelak mereka akan mencemuh hidup mu. Dikhuatiri anak-anak mengharapkan saat segera kematian ibu bapa yang sentiasa dihalangnya. Berkata Muawiyah “ Lantaran kata dan buah fikiran mu yang bermutu tinggi itu, menyebabkan bertunas kasih sayangi dalam hatiku kepada seorang di antara anakku yang sering kali ku marahi”.
Lalu Muawiyah beri hadiah kepada Ahnaf seorang cendekiawan yang telah mengungkap madah amat berguna untuknya. Ketahuilah seperkara lagi bahawa kebanyakan alim ulama mengatakan wajib taat kepada kedua-dua ibu bapa hatta dalam perkara syubhah. Yang dimaksudkan dengan syubhah itu ialah dalam perkara mencari jodoh. Apabila bertembung antara pilihan anak sendiri dan pilihan calon menantu oleh ibu bapa ada anak-anak yang tanpa restu ibu bapa telah menetapkan calon jodohnya sendiri.
Jika berlaku suatu keadaan bercanggah antara pilihan anak dan ibu bapa. Demikianlah dimaksudkan syubhah. Dalam perkara tersebut anak-anak hendaklah menjaga hubungan hormat yang tulus terhadap ibu bapa sebagai suatu kewajipan yang telah disyariatkan oleh Allah SWT.

Sesungguhnya hubungan suami isteri boleh berakhir dengan penceraian, sedangkan hubungan anak dengan ibu bapa tidak boleh bercerai sekalipun mereka bukan Islam walaupun tidak wajib taat dalam perkara yang haram dan derhaka terhadap Allah SWT. Bagi seorang anak tidak boleh musafir atau membuat perjalanan tanpa keizinan ibu bapa sama ada perjalanan yang harus atau sunat.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Hak tanggungjawab saudara yang tua terhadap adik-adiknya sama seperti hak tanggungjawab bapa terhadap anak-anaknya”

Abang atau kakak dalam keluarga jika mereka berkemampuan memiliki kelebihan harta, jangan mengabaikan adik-adiknya dari segi makan minum dan pakaian sekalipun ibu bapanya adalah prinsip agama. Perkara tersebut adalah prinsip agama menghendaki abang dan kakak yang berkemampuan, berperanan bantu ibu bapanya dalam menyara adik beradiknya termasuk pendidikan akhlak dan akidah. Jika asuhan agama itu dilaksanakan nescaya tiada berlaku keciciran dalam keluarga Islam.


No comments: