Friday 24 February 2012

KHUSYUK SOLAT


Apa maksud khusyuk? Khusyuk diertikan sebagai beribadat dengan tenang dan merendah diri, merasa hina dina di hadapan Allah SWT. Penuh tumpuan hati ingatan hanya terhadapnya. Orang khusyuk dalam solat, anggota tubuh tidak akan bergoyang di luar tuntutan kaifiat, tangan tidak bergerak menggaru-garu atau membetulkan pakaian.
Sabda Rasulullah SAW: “Jika seseorang itu khusyuk, maka anggota tubuhnya turut khusyuk sama”
Menghadirkan khusyuk dalam solat itu kewajipan bagi orang-orang yang beriman, kerana ketika solat ingatan mesti tertumpu kepada Allah SWT semata sebagaimana ditegaskan oleh firmanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tiada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikan lah solat untuk mengingati Aku.” (Surah Toha ayat 14)
Khusyuk mampu dilakukan oleh manusia dengan mengikuti beberapa syarat kerana Allah SWT tidak akan mewajibkan sesuatu syariat di luar kemampuan manusia sebagaimana janji Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:” Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya”. (Surah al-Baqarah ayat 286)
Langkah pertama untuk mencapai khusyuk mesti mengetahui makna setiap ucapan atau bacaan dalam solat. Khusyuk tidak mungkin tercapai jika tidak mengetahui makna maksud ucapan dalam solat sebaliknya akan terjerumus ke lembah lalai.
Langkah kedua untuk khusyuk solat ialah menjaga segala makan minum yang halal serta pakaian dan tempat tinggal hanya dari sumber yang halal. Allah SWT reda jika hambanya membataskan diri dengan makan minum yang halal dan pakaian serta tempat tinggal daripada sumber yang halal. Makan minum yang tidak halal adalah barang busuk yang dibenci oleh Allah SWT dan malaikat Nya. Tuhan akan menjauhi jika manusia diselubungi perkara yang haram, apabila Tuhan menjauhi daripada manusia sebegitu maka syaitan lah yang akan mendekatinya.
Tidak mungkin khusyuk dapat dicapai dalam situasi syaitan sebagai pendamping manusia itu, jika mereka solat pun pasti tiada zikrullah. Dilihat dari segi zahirnya bahawa ingat kepada Allah SWT ketika mendirikan solat itu adalah wajib apabila tiada ingat Allah SWT bererti mereka telah meninggalkan perkara wajib. Barang siapa yang lalai dalam solatnya, maka bagaimana hendak dikatakan bahawa orang itu mendirikan solat kerana Allah SWT? Inilah solat yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.
Sifat lali adalah ditegah dan dibenci oleh Allah SWT sebagaimana ditegaskan firmanya bermaksud: “Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Surah A’raaf ayat 205). Jelaslah hukum lalai dalam solat itu hukumnya haram tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.
Setiap orang sewajarnya merenung dan meneliti solat masing-masing. Sebanyak mana ingatannya kepada Allah SWT dan sebanyak mana pula lali kepadanya. Ingat dan lali adalah kerja hati yang tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Allah SWT dan diri sendiri. Jika lebih banyak ingat kepada Allah SWT ketika mendirikan soalt, mudah-mudahan lebih banyak solat dimakbulkan.

No comments: