Sunday, 2 May 2021

NAFSU PUASA GELORA


Puasa wajib dan puasa-puasa sunat dituntut dilaksanakan untuk saham akhirat. Walau bagaimanapun, terdapat syarat-syarat bersifat batiniah mengenai puasa terdapat enam perkara, ia perlu dilakukan semasa berpuasa.
Tujuan puasa adalah untuk menundukkan syahwat supaya tidak menjadi jambatan syaitan musuh manusia dan musuh Allah SWT. Sebenarnya hikmah dan rahsia puasa untuk melemahkan segala kekuatan syahwat yang menjadi kuda tunggangan  syaitan dorong manusia untuk melakukan kejahatan. Justeru, sesiapa yang meletakkkan karung makanan di antara dada dan hati, orang itu pasti terdinding daripada cahaya malakut.
Pertama, ikhtiar kawal pandangan mata daripada melihat sekehendak hati kepada perkara dimarahi dan dicela syarak yang boleh melalaikan daripada mengingati Allah SWT serta membawa kepada haram.
Kedua, kawal lidah semasa berpuasa daripada perkara yang tergolong bahaya, antaranya menutur kata-kata yang tidak berfaedah seperti bercakap bohong, mengumpat, mengadu domba, menyumpah seranah, bertutur dan berkelakuan kasar, berbalah dan menunjuk-nunjuk.
Ketiga, kawal telinga daripada mendengar segala perkara yang tidak dipersetujui Allah SWT sama ada yang makruh apatah lagi diharamkan-Nya. Justeru, Allah SWT menyamakan antara orang yang mendengar perkara yang tidak baik dengan orang yang makan barang haram. Dari segi Ubudiyah terhadap Allah SWT bahawa lidah dan telinga fungsinya sama, justeru setiap yang dilarang menuturnya maka dilarang juga mendengar.
Keempat, pelihara tangan dan kaki daripada segala aktiviti dosa, tangan tidak menjamah dan melangkah ke tempat yang terlarang. Kawal perut daripada barang syubhah waktu berbuka puasa. Makan yang haram sudah semestinya wajib dihindari kerana bagaimana seseorang itu berfikir sedangkan disiang hari makanan yang halal pun dijauhi. Tidak ada gunanya sanggup berlapar sepanjang  hari kerana berpuasa, tiba-tiba disediakan juadah berbuka daripada sumber yang haram.
Kelima, meskipun makanan yang dihidang untuk berbuka adalah daripada hidangan yang halal tetapi masih memakannya dengan banyak hingga kenyang. Jika nasihat Nabi SAW jadi amalan dalam makan, supaya berhenti makan sebelum kenyang ia memberi kesan yang baik kepada tubuh badan. Kenyang terutamanya waktu berbuka ia akan mengakibatkan mengantuk dan malas, seterusnya akan menjejaskan  ibadah bagi menghidupkan malam yang penuh misteri.
Bagaimana orang berpuasa mendapat fadilat jika tidak mengawal nafsu makan bagi memerangi syaitan, jika dia kaut semua hidangan untuk membalas dendam setelah seharian berlapar.
Keenam, setiap kalli berbuka puasa hendaklah ada perasaan antara takut dan menaruh harap, semoga puasanya dan ibadah lainnya diterima Allah SWT. Setiap manusia tidak tahu apakah puasanya diterima lalu dirinya jadi orang yang rapat dengan Tuhan ataupun ditolak dan amalannya dilempar semula lalu jadi orang yang dimurkaiNya.
Fikir kembali ibadah yang dilaksanakan adakah mengikut seperti yang disyariatkan. Oleh itu, prinsip belajar sepanjang hayat dituntut setiap orang hatta sudah memiliki PhD!.

No comments: