Kutbah ini disampaikan pada
9 Zulhijah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.
Wahai manusia, dengarlah
baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat
bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan
teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat
hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana
kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan
harta setiap muslim sebagai amanah suci.
Kembalikan harta yang
diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Jangan kamu sakiti
sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.
Ingatlah bahawa
sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di
atas segala amalan kamu.
Allah telah mengharamkan
riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap
syaitan demi keselamatan agama kamu.
Dia telah berputus asa
untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah
supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana
kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu.
Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga
berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita
kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka
adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah
mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam
rumah kamu dan dilarang melakukan zina. (Taat suami yang akan
diberi ganjaran)
Wahai manusia, dengarkanlah
bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang
lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan!, dan tunaikan zakat dari harta
kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu.
Ketahuilah bahawa setiap
muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak
seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan
beramal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan
mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa
yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu
terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak akan
ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama
baru.
Oleh itu wahai manusia,
nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata ku yang telah aku sampaikan
kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan
kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya,
nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al Quran dan Sunnah
ku.
Hendaknya orang-orang yang mendengar
ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain semoga yang terakhir lebih
memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku.
Saksikanlah Ya Allah,
bahawasanya telah ku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMU.
No comments:
Post a Comment