Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. " Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? - boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi. (Al-Ahzaab 33:63)
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.(Al-Hadiid 57:20)
Dunia mempunyai beberapa sifat, iaitu:
- La’ibun (permainan), iaitu permainan jasmani dan ini adalah perbuatan anak-anak yang mereka itu menjadikan diri mereka sangat letih dan kemudian setelah permainan tersebut selesai tidak ada faedah yang diperolehi.
- Lahwun (Sesuatu yang melalaikan/senda gurau), iaitu yang menjadikan hati lalai. Ini adalah perbuatan orang dewasa yang kebanyakannya setelah perbuatan yang melalaikan itu selesai, maka yang tinggal hanyalah penyesalan. Ini kerana, orang yang berakal setelah melakukan perbuatan yang melalaikan dia melihat bahawa hartanya hilang, umurnya berkurang (pergi) dan kelazatannya habis. Sedangkan nafsu/jiwa semakin rindu dan haus akan hal tersebut, namun nafsu tidak memperolehinya, sehingga terkumpul kesan buruk dan berkesinambungan (tidak pernah puas).
- Zinah (perhiasan), iaitu berhias dalam hal pakaian, makanan, minuman, kenderaan, rumah, istana, kedudukan, dan lain-lain. Ibnu Abbas R.Anhuma berkata, “Maksudnya adalah bahawasanya orang kafir sibuk sepanjang hidupnya untuk mencari perhiasan dunia tanpa beramal untuk akhirat.”
- Saling berbangga terhadap sifat-sifat yang fana’ (tidak abadi) dan pasti hilang, iaitu boleh jadi berbangga-bangga dengan nasab, kekuasaan, kekuatan, bala tentera yang semuanya itu pasti lenyap. Dan saling berbangga di antara kamu iaitu masing-masing dari penduduk dunia ingin membanggakan atas yang lain dan ingin supaya dia menjadi jaguh dalam semua urusannya dan ingin mendapatkan populariti dalam semua keadaannya.
- Berbangga-bangga dengan harta dan anak, iaitu masing-masing menginginkan dia lebih banyak dari yang lainnya dalam hal harta dan anak. Semua ini hanya terjadi pada diri pencinta dunia dan yang merasa damai dengan dunia. Ibnu Abbas R.Anhuma berkata, “Mengumpulkan harta dalam kemurkaan Allah dan membanggakan harta terhadap wali-wali Allah serta mengeluarkan harta dalam perkara-perkara yang mendatangkan murka Allah maka dia menjadi kegelapan yang bertumpuk-tumpuk.” Hasan al-Basri Rahimahullah berkata, “Apabila kamu melihat orang yang mengalahkanmu dalam perkara dunia, maka kalahkan dia dalam hal akhirat.”
No comments:
Post a Comment