Orang yang malu kepada Allah dengan “SEPENUH MALU” adalah orang
yang menjaga kepalanya dari isinya, menjaga perutnya daripada segala rezeki
yang tidak halal, selalu mengingati kematian, meninggalkan kemewahan dunia dan
menjadikan perbuatan akhirat sebagai hal yang lebih utama. Sesiapa yang
melakukan semua ini, maka dia malu kepada Allah dengan “SEPENUH MALU”
Rasulullah s.a.w. merupakan rol model yang
utama dalam hidup kita yang mana dapat kita contohi dari segala aspek kehidupan
manusia, sesungguhnya sifat malu itu mencegah kita semua daripada melakukan
kemungkaran dan dosa yang jelas mahupun yang tersembunyi. Sesungguhnya malu itu adalah dari akhlak-akhlak yang terpuji
khususnya pada wanita.
Ajaran Islam diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad
SAW adalah panduan hidup yang lengkap untuk manusia mengenal dan mengakui Tuhan
yang Maha Esa (akidah), melaksanakan fungsi dan tanggungjawab (ibadah) serta
menghiasi peribadi dengan nilai kebaikan (akhlak). Ketiga-tiga ilmu ini saling
berkaitan antara satu sama lain.
Dalam ilmu akhlak terdapat satu sifat yang menjadi teras
kepada ajaran Islam iaitu sifat malu atau bahasa Arab disebut 'al-haya'. Sifat
malu mendorong manusia untuk tidak melakukan perkara yang dibenci atau tercela.
Sabda Rasulullah SAW: "Malu dan iman sentiasa bersama.
Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya." (Riwayat
al-Hakim)
Sifat malu adalah untuk mengukuhkan iman
seseorang Muslim. Semakin tinggi iman seseorang, maka semakin tinggi harga
dirinya. Apatah lagi, dengan sifat malu juga seseorang Muslim dapat
menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya antara perkara
yang telah diketahui manusia daripada kalimat kenabian terdahulu adalah, jika
engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu." (Riwayat Bukhari)
Sesuatu kemungkaran yang berlaku sebenarnya didasarkan
kepada ketiadaan sifat malu dalam diri manusia. Kehilangan sifat ini akan
menyebabkan seseorang berani melakukan maksiat secara terang-terangan baik di
khalayak ramai, apatah lagi di depan Allah SWT.
Sifat malu seharusnya dipupuk sejak kecil oleh ibu bapa
kerana sifat itu akan menjaga diri anak apabila meningkat dewasa dan berjauhan
daripada ibu bapa kelak. Antara cara memupuk sifat malu adalah dengan memberi
kefahaman mengenai sifat ihsan.
Nabi Muhammad SAW menjelaskan maksud ihsan iaitu:
"Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau
tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu." (Riwayat
Muslim).
Sifat ini perlu ada pada semua umat Islam
namun, sifat malu diibaratkan seperti perhiasan buat wanita khususnya. Malah
dalam hadis sahih Imam Muslim, sifat malu Rasulullah SAW digambarkan melebihi
seorang wanita perawan. Dalam al-Quran sifat pemalu ini disebutkan oleh Allah SWT
dalam kisah salah seorang daripada anak Nabi Syu'aib yang diminta menjemput
Nabi Musa selepas membantu memberi minum haiwan ternakan mereka.
Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya ".(Al-Qasas 28:23)
Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan".(Al-Qasas 28:24)
Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:" Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami". Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: "Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu ".(Al-Qasas 28:25)
Sifat malu ini adalah sebahagian daripada fitrah seorang
wanita yang mendorong mereka untuk memelihara kehormatan dirinya dan batas
pergaulan apabila berhadapan khalayak masyarakat. Sifat itu juga membantu
mereka menghindarkan diri daripada perkara negatif.
Rasulullah SAW digambarkan sebagai seorang yang pemalu. "Rasulullah SAW itu tinggi sifat malunya. Bahkan
lebih malu berbanding anak dara yang baru dikahwinkan dengan suami yang tidak
dikenalinya. Jika Rasulullah SAW melihat perkara yang tidak menyenangkan
hatinya, kita dapat melihat perubahan riak wajahnya." (Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Begitulah pentingnya sifat malu dan sewajarnya kita memiliki
sifat itu. Malu bukan kerana kekurangan atau kelemahan diri di mata manusia
sahaja, tetapi malu tanda iman kepada Allah SWT yang menyebabkan kita sentiasa
ingin melakukan amalan yang diredai Allah SWT.
Perkembangan dalam masyarakat hari ini, sewajarnya memiliki
sifat malu itu ditekankan kerana banyak perkara yang menyalahi syariat berlaku
boleh dikatakan berpunca daripada sifat malu yang semakin terhakis dalam
keperibadian umat Islam.
Malu mempunyai hubungan yang erat dengan akhlak yang lain seperti
menjaga kemuliaan diri (iffah). Buah dari rasa malu adalah ‘iffah (menjaga
kehormatan diri). Siapa saja yang memiliki rasa malu hingga mewarnai seluruh
amalnya, nescaya ia akan berlaku ‘iffah. Ibnul Qayyim menyatakan, malu berasal dari kata 'hayaa' (hidup).
Hidup dan matinya hati seseorang sangat mempengaruhi sifat malu seseorang.
Hilangnya rasa malu, dipengaruhi oleh kadar kematian hati dan ruh seseorang.
Setiap kali hati hidup, maka ketika itu rasa malu menjadi lebih sempurna.
No comments:
Post a Comment