Maksudnya dalam seumur hidupnya belum pernah dikerah sampai ke penghabisan.
Lelaki dan perempuan sisi kemuncak hidup mereka berbeza.
1. Bagi seorang lelaki, cara mencapai kemuncak hidup atau 'the summit of life' ialah dengan berjihad.
Menariknya perkataan jihad itu sendiri berasal dari kata al-Juhdu (الجهد) yang bermaksud bersungguh-sungguh.
بذل واستفراغ ما في الوسع والطاقة
Mencurahkan segala usaha dan kemampuan yang ada sampai ke penghabisan...
Ini kerana, jihad akan menghabiskan tenaga, akal fikiran, usaha dan paling akhir ialah nyawa seseorang.
Semuanya bertujuan untuk menegakkan kalimah Allah sebagaimana hadith ;
مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِىَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ
“Siapa yang berperang agar kalimat Allah itu yang paling tinggi, maka dialah yang berada di jalan Allah."
[HR Al-Bukhari dan Muslim]
2. Islam mencela sifat malas, bacul dan pengecut. Justeru terdapat doa memohon perlindungan Allah daripada sifat-sifat buruk tersebut.
وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ
"Dan aku memohon perlindungan daripada sifat lemah dan malas, dan aku memohon perlindungan daripada sifat pengecut..."
Ini kerana sifat-sifat ini akan menghalang seseorang daripada hidup sampai ke kemuncak atau disebut.... "Living life to the fullest"...
Bahkan sebaliknya Allah mendidik manusia dengan sifat tawakal, beriman kepada takdir;
قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
"Katakanlah: "Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal" (At-Taubah: 51)
3. Lelaki-lelaki yang berjihad, sedang 'living life to the fullest' apabila setiap hari dalam hidup mereka, sangat memberikan makna, setiap detik dan saat yang berlalu bukan sahaja menjadi ibadah bahkan debu-debu yang melekat pada pakaian mereka sahaja turut membawa berkah dan rahmat.
مَنْ اغْبَرَّتْ قَدَمَاهُ فِي سَبِيلِ الله حَرَّمَهُ الله عَلَى النَّارِ
"Sesiapa yang telah berdebu kakinya (melekat debu) di jalan Allah, maka Allah mengharamkan baginya api neraka."[HR Bukhari]
Uniknya, jika mereka terbunuh dan terkorban dalam jihad di jalan Allah. Mereka tetap dianggap kekal hidup dan tidak mati.
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
"Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki." (Ali-Imran :169)
Kerana kehidupan mereka bukan sahaja menjadi lagenda dan pelajaran kepada orang yang hidup tetapi mendapat nikmat di sisi Tuhan sebagai ganjaran pengorbanan mereka.
4. Kaum wanita mencapai kemuncak hidup berbeza daripada lelaki. Allah menjadikan mereka berlawanan dengan fitrah lelaki yang akan mencapai kemuncak hidup di medan perang dan daripada hasil pertembungan pedang @ senjata.
وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلَالِ السُّيُوفِ
"Ketahuilah syurga di bawah kilauan pedang.." [HR Al-Bukhari]
Sebaliknya wanita mencapai kemuncak hidup apabila berkorban kepentingan diri dan emosi mereka (berjihad) demi pihak lain.
"Redha dan rela berkorban"
(No 'me time', me self, me happiness, me..me..)
Sebagaimana kisah Hajar alaihasalam, yang redha ditinggalkan suami bersama anak kecil di lembah yang gersang, demi mentaati perintah Allah.
Yang mengucapkan kata-kata ini ketika ditinggalkan;
رَضِيتُ بِاللَّه
"Aku redha dengan Allah" [HR. Al-Nasa'ie]
Demi anaknya, tujuh pusingan tawaf bukit Safa dan Marwa didaki demi mencari air untuk si anak...
Lalu sehingga ke hari ini, ia menjadi syiar dalam ibadah.
إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ
"Sesungguhnya Safa dan Marwa adalah sebahagian daripada syi'ar Allah." (Al-Baqarah:158)
Begitu juga kisah ibu Musa yang menghanyutkan bayinya di dalam peti ke Sungai Nil. Dan kisah Maryam alaihasalam yang dipilih sebagai ibu yang mengandungkan Isa Alaihisalam.
Menerima tohmahan dan menanggung derita demi kelahiran bayi pilihan Tuhan yang bernama Isa yang dia sendiri tidak pernah disentuh lelaki apatah lagi memilih calon suami sendiri.
5. Wanita-wanita dalam sejarah kemanusiaan seperti isteri Fir'aun, ratu Saba, Ibu Musa, Hajar, Khadijah, Aisyah dan semuanya yang lain mencapai kehidupan terpuji atas pengorbanan dan kesabaran mereka.
Aisyah RA menjadi isteri termuda kepada lelaki yang paling mulia atas muka bumi. Walaupun lelaki itu bukan suami pilihannya, kerana dia dinikahkan oleh bapanya di usia muda tetapi itu tidak menghalangnya daripada berkorban dan membuat yang terbaik untuk keluarga dan agamanya.
Mereka tidak mencapai kemuncak hidup dengan bermain salji di luar negara atau ketika berjalan-jalan di kota Paris atau dengan memakai beg tangan jenama Hermes Birkin.
Diriwayatkan daripada Urwah bin al Zubair RA bahawa;
كَانَتْ عَائِشَةُ تَقْسِمُ سَبْعِينَ أَلْفًا وَهِيَ تُرَقِّعُ دِرْعَهَا
"Aisyah pernah membahagikan (bersedekah) sebanyak 70 ribu dirham sedangkan baju yang dipakainya sendiri bertampal (koyak lalu dijahit)."[HR. Ibn Abi Syaibah]
6. Iya, wanita sama sekali tidak akan mencapai kemuncak hidup kecuali dengan bekorban untuk orang lain.
Sebagai anak kepada ibubapanya, sebagai isteri kepada suaminya atau sebagai ibu kepada anak-anaknya.
Di situlah kemuliaan dan kemuncak hidup seorang wanita!
Akhirnya, tanpa jihad bagi lelaki dan pengorbanan diri bagi seorang wanita maka hidup cuma sekadar hidup. Tidak lebih dan tidak ada apa yang istimewa seperti fatamorgana.
Allah Ta’ala menyebut;
كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ
".. seperti hujan yang menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar, selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai..." (Al-Hadid: 20)
7. Jika engkau seorang lelaki bangkit dan berjihadlah mencari kemuliaan hidup dengan keberanian dan membela agama serta hak-hak mereka yang tertindas.
Mulakan dengan ilmu, disambung dengan amal yang terdekat dengan dirimu dan kemudian engkau bersabar atas dugaan dan melangkah maju, berani menyatakan kebenaran.
Kewibawaan seorang lelaki tidak akan pernah mengatasi kewibawaan dan kemuliaan maruah seseorang yang berkata benar, demi membela kebenaran.
Justeru nabi sampai bersabda;
أفضلُ الجهادِ كلمة حق عند سلطان جائر
"Sebaik-baik jihad ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim."[HR. Al-Nasa'ie]
Kekal nama dalam sejarah seperti Said bin Jubair, Abu Hanifah, Ahmad bin Hanbal, Al-Bukhari, Ibn Jarir Al-Tabari, Ibn Khuzaimah, Izzudin Abd Salam, Al-Nawawi, Ibn Taimiyyah dan lain-lain tokoh atas keberanian mereka berkata benar.
Dan jika engkau seorang wanita pula, maka apakah lagi tujuan hidup-Mu jika bukan untuk berbakti?
Pada rahimmu ada ruang untuk mengisi bayi. Di dadamu ada sumber makan dan minumnya, ternyata Tuhan menjadikan fizikalmu sendiri sebagai alat dan keperluan untuk insan lainnya.
Ujian dan musuh seorang wanita, hanyalah emosi dan perasaannya yang selalu dipermainkan oleh syaitan, agar dia cuma mahu hidup untuk dirinya.
Maka sia-sialah segala kejelitaannya, sia-sialah bakat dan kebolehannya, sia-sialah fizikal dan kemampuan dirinya yang dikurniakan Tuhan.
Hanya kekal sebagai fitnah dan godaan.
Pergunakanlah dirimu, jadikanlah dirimu dipergunakan untuk tujuan-tujuan kebaikan.
Jika tidak, engkau akan menjadi wanita yang tidak berguna dan hanya membawa fitnah keburukan.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;
الشُّؤْمُ فِي المَرْأَةِ وَالدَّارِ وَالْفَرَسِ
"Adakalanya kesialan itu terletak pada perempuan, rumah, dan kuda. ”
[HR Al-Bukhari]
Membawa nasib malang apabila dirinya hanya menjadi sumber fitnah dan keburukan pada kehidupan orang lain.
وإلى الله ترجع الأمور
No comments:
Post a Comment