(1) Pemikiran orang Melayu cukup konservatif bila bercakap soal pendidikan. Mereka sebenarnya sukar berubah, kurang pragmatik dalam ruang pendidikan. Mereka ambil masa yang lama untuk berubah. Anda terasa hati? Baca dulu sampai habis.
(2) Akibatnya mereka ketinggalan dalam menguasai kemajuan hidup. Itulah rumusannya bila kita selesai menelaah karya-karya besar tulisan Abdullah Munsyi, Syed Sheikh Al Hadi, Pendeta Zaaba, Aminuddin Baki, Tun Mahathir dan Ungku Aziz.
(3) Pengkaji orientalis barat seperti R.O Winstead, R.J Wilkinson, O.T Dussek dan Frank Swettenham juga memberikan hujahan yang hampir sama dan ada antara mereka yang memberikan pandangan yang lebih 'sinis' lagi tentang perilaku dan pemikiran orang Melayu berkaitan aspirasi pendidikan mereka.
(4) Di era penjajahan Inggeris, kebanyakan orang Melayu tak benarkan anak anak mereka belajar di sekolah Inggeris. Mereka juga tidak izinkan anak anak mereka menguasai bahasa Inggeris. Mereka kata itu semua ilmu sekular dan cara barat. Tidak boleh diikut dan dicontohi sebab akan merosakkan iman dan adap Melayu. Akhirnya kerana pendidikan tidak tinggi, orang Melayu ketinggalan dalam banyak peluang memajukan kehidupan. Mereka terlepas peluang untuk maju dalam hidup.
(5) Dulu, kebanyakan orang Melayu juga tidak mengalakkan anak-anak perempuan mereka belajar tinggi. Bacalah kisah perjuangan Ibu Zain untuk memahami sejarah wanita Melayu dan pendidikan. Mereka bimbang dengan isu pergaulan bebas dan akan rosak akhlak anak anak perempuan mereka jika belajar tinggi di sekolah Inggeris. Mereka lebih suka anak perempuan di rumah sahaja. Akhirnya anak.anak perempuan terperuk di dapur walaupun mempunyai akal yang bijak. Akhirnya anak perempuan Melayu terlepas peluang untuk maju dalam hidup.
(6) Ramai orang Melayu juga tidak ada simpanan yang cukup untuk pendidikan anak-anak mereka. Baca buku Muhammad Khalid (2015) berjudul "Antara Dua Darjat" untuk memahami hal ini. Bukan sedikit anak-anak Melayu yang berpotensi dalam pendidikan terpaksa berhenti sekolah kerana ibubapa tidak ada wang simpanan untuk membiayai pelajaran anak anak mereka.
(7) Ada anak-anak Melayu dari keluarga miskin yang dipaksa berhenti sekolah dan mula bekerja sebagai pekerja yang menerima upah untuk membantu keluarga. Orang Melayu sanggup gadai dan jual tanah untuk buat kenduri kawin anak-anak, tapi keberatan untuk lakukan hal yang sama untuk biaya pendidikan anak anak mereka.
(8) Kebanyakan orang Melayu sejak dulu sukakan pendidikan yang percuma untuk anak-anak. Walaupun hari ini sudah ramai orang Melayu yang kaya dan banyak duit, mereka sedikit pun tidak rasa malu dan segan untuk menuntut kerajaan menanggung biaya untuk pendidikan anak-anak mereka.
(9) Walaupun sudah kaya dan punya rumah besar dengan segala kemewahan, kebanyakan orang Melayu tetap berebut rebut untuk menghantar anak anak mereka ke asrama penuh yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka juga tidak rasa malu untuk rebut tempat di MRSM kerana mereka harap sangat MARA menanggung pendidikan anak anak mereka sepenuhnya.
(10) Walaupun mereka tahu asrama penuh sepatutnya menjadi hak dan keutamaan kepada anak anak orang Melayu miskin mendapat pelajaran yang lebih baik, mereka tetap tidak peduli. Mereka tidak kisah ambil hak orang miskin, asalkan mereka tak perlu keluarkan duit sendiri untuk pendidikan anak anak mereka.
(11) Ada Melayu yang kaya dan berduit dan kerap bercuti keluar negara bersukaria. Bila di luar negara, mereka tentu tahu pendidikan yang berkualiti ada di negara maju, tetapi mereka tetap menunggu biasiswa dari kerajaan untuk menghantar anak anak mereka belajar di luar negara. Mereka ada banyak duit untuk selalu bercuti di luar negara tetapi percayalah mereka tidak akan sekali kali gunakan duit sendiri untuk hantar anak mereka mendapatkan pendidikan di luar negara.
(12) Mungkin ada orang Melayu yang bukan dalam kelompok yang kita bincangkan ini tetapi percayalah jumlahnya sangat kecil sekali. Susah kita nak jumpa orang Melayu yang sanggup berhabisan wang untuk memberikan pendidikan yang berkualiti untuk anak anak mereka tanpa bantuan pihak lain. Ada tapi tak ramai.
(13) Kebanyakan orang Melayu cukup berkira tentang pelajaran anak anak. Tetapi tidak pula konservatif dan kedekut tentang melayani gaya hidup mereka. Ramai orang Melayu yang sanggup berhutang untuk beli kereta mewah, tetapi tidak pula sanggup berhutang untuk pendidikan anak anak mereka. Sampai hari ini ada ibubapa Melayu yang akan merungut jika mereka diminta membayar wang tambahan untuk keperluan sekolah yang mahu memberikan kemudahan belajar pada anak anak mereka.
(14) Ada orang Melayu yang sanggup habiskan duit untuk merokok, membeli pakaian cantik, barang kemas bayar ansuran atau telefon berjenama yang mahal tetapi belum tentu mereka bersedia membeli majalah, akhbar dan buku buku berkualiti setiap bulan untuk bacaan anak- anak mereka.
(15) Hari ini data menunjukkan yang paling ramai berhadapan dengan masalah penguasaan Bahasa Inggeris adalah anak-anak Melayu. Hari ini data menunjukkan yang paling kurang belajar dalam aliran sains dan matematik adalah anak anak Melayu. Maka tidak peliklah data juga menunjukkan yang paling kurang menjadi doktor, jurutera, peguam, akauntan, ahli farmasi juga anak anak Melayu. Akhirnya yang paling rendah pendapatan pun adalah kalangan orang Melayu juga.
(16) Orang Melayu cukup konservatif dengan urusan pendidikan anak-anak mereka. Dari sebelum merdeka hinggalah sekarang. Walaupun tak semua tapi kebanyakannya begitulah. Belum lagi kita bercakap tentang pendidikan yang sedang pesat berkembang sekarang. Tentang Keperluan menyediakan gajet, kemudahan Internet dan akses berbagai ilmu baru yang perlu dikuasai oleh anak-anak untuk kehidupan masa depan. Jika Melayu tidak sedia untuk berubah, mereka akan terus ketinggalan.
Semoga kita bukanlah sebahagian Melayu jenis perangai begini.
No comments:
Post a Comment