Wednesday, 18 September 2019

JOM SOLAT JEMAAH


Nabi SAW bersabda: “Solat fardu berjemaah lebih afdal berbanding solat fardu sendirian dengan lebihan 27 darjah”.

Penghuni bumi yang tidak melaksana kewajipan agama terutamanya solat berjemaah disifatkan Nabi SAW sebagai warga dunia yang tidak memahami peranan hidup hanya sementara di muka bumi ini.

Allah SWT dengan rahmatnya telah melengkapkan segala keperluan untuk manusia, bumi sebagai tempat tinggal dengan udara nyaman serta air yang menumbuhkan pepohon buah-buahan sebagai rezeki. 

Semua itu bukan untuk manusia duduk bersenang-lenang dengan percuma, sebaliknya untuk bekalan beribadat kepada Allah SWT. Kemuncak ibadat ialah solat dan kesempurnaan solat hanya dengan berjemaah.

Hidup mewah dan berseronok di bumi dengan pelbagai nikmat Allah SWT tetapi melupakannya, insan seperti ini dianggap tidak berguna oleh Nabi SAW. Kewujudannya dalam masyarakat yang tidak mendatangkan manfaat justeru diancam akan di bakar rumahnya.

Penyakit tidak nampak kepentingan akhirat dan berbuat sesuatu amal hanya jika faedahnya dapat dilihat depan mata, merupakan penyakit yang diwarisi sejak zaman Nabi SAW lagi. Justeru itu, janganlah mereka hairan jika watak seperti itu menimpa umat kini, sudah wujud penyakit itu.

Sayidina Usman Affan berkata: “Sesiapa yang hadir solat jemaah isyak, seolah-olah mereka telah solat Tahajud seperdua malam”. Bukan suatu kerja mudah bangun separuh malam bagi melakukan solat Tahajud tetapi dengan hadir solat jemaah Isyak mendapat pahala yang menyamai dengan solat Tahajud seperdua malam.

Suatu riwayat menyebut bahawa Nabi SAW mendirikan solat jemaah isyak ketika para sahabat sudah mulai mengantuk, menunjukkan bahawa solat jemaah Isyak itu agak lewat. Wajarlah Allah SWT berjanji hendak beri pahala solat Tahajud seperdua malam kerana para sahabat melaksanakan solat jemaah Isyak dalam situasi jihad melawan nafsu menahan mengantuk menunggu agak lewat malam.

Seorang alim bernama Muhammad bin Wasik berkata: ”Aku berpuas hati jika dapat melakukan tiga perkara di dunia ini.


Pertama: Mempunyai sahabat yang mampu menegur dan membetulkan kesalahan ku


Kedua: Rezeki yang memenuhi keperluan ku tanpa kesukaran mendapatnya.


Ketiga: Mendirikan solat berjemaah dengan itu aku terlepas daripada terlupa dan ada malaikat menulis aku solat berjemaah”.

WAKTU-WAKTU MAKRUH SOLAT SUNAT

Solat merupakan ibadat yang terunggul di sisi Allah SWT, ibadat tersebut mesti mengikut cara peraturan yang dikehendakiNya.
Dalam banyak perkara yang waspada ialah mengenai waktu, terdapat lima ketika yang makruh melakukan solat iaitu:
1)   Selepas solat Asar
2)   Sesudah solat Subuh
3)   Waktu gelincir tengah hari (zawal)
4)   Ketika matahari sedang naik di ufuk timur
5)   Ketika matahari sedang jatuh di ufuk barat
Semua lima waktu yang dinyatakan itu makruh mendirikan solat yang tidak bersebab seperti solat sunat mutlak, termasuk solat sunat hajat kerana yang menjadi sebab musababnya muncul kemudian (mutaahir).
Adapun solat yang bersebab seperti qada solat ratibah (kapit solat fardu) lantaran sesuatu sebab dengan mengqada solat ratibah bagi melazimkan solat sunat tersebut yang lazimnya dilakukan. Hanya lantaran keuzuran tertentu solat tersebut tertinggal.

Termasuk dalam solat bersebab ialah solat gerhana (kusyuf), solat jenazah. Bagi solat bersebab tidak dimakruhkan melakukannya pada lima ketika yang dinyatakan itu.

Rahsia dimakruhkan oleh syarak mendirikan solat pada waktu tersebut ialah untuk mengelak daripada menyerupai penganut agama para penyembah matahari..

Sesungguhnya Islam mengajar umatnya supaya beribadat dengan caranya sendiri seperti yang ditegaskan oleh al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Tidak meniru atau menyerupai ibadat agama lain termasuk penyembah matahari.

Jelaslah perbezaan antara peribadi atau cara hidup orang yang berlandaskan iman kerana beramal dengan syariat Islam dengan golongan yang mencabar syariat Allah SWT.

Antara jenis ibadat di kalangan manusia kufur kepada Allah SWT ialah ibadat menyembah mata hari. Ibadat tersebut dilakukan ketika mata hari naik di awal pagi, ketika tengah hari mata hari gelincir (zawal) dan ketika mata hari jatuh ketika senja.
Justeru jika umat Islam mendirikan solat ketika tersebut, ia dianggap menyerupai ibadat penyembah mata hari kecuali solat qada dan solat yang bersebab.

Monday, 16 September 2019

GAYA POLITIK MELAYU



Sewaktu MCA dan GERAKAN berada dalam kerajaan, mereka menggunakan kekuatan suara DAP sebagai pembangkang bagi memperjuangkan kepentingan golongan mereka dari dalam. Sebab itu, suara DAP dan Dong Zong sangat kuat untuk meminda mana-mana peruntukan undang-undang seperti pendidikan, ekonomi dan sebagainya untuk kepentingan kaum mereka. Suara mereka sangat kuat. Sebab itu, mereka dapat bermacam-macam kelebihan dan kemajuan. 

Lain dengan kita, kita yang berada dalam kerajaan akan menggunakan kekuatan kita untuk memecahkan dan melemahkan semampu mungkin suara rakan kita dalam pembangkang. Maka, suara Melayu dan Bumiputera lemah dan sukar untuk maju.

Bangkitlah.