Wednesday 18 September 2019

JOM SOLAT JEMAAH


Nabi SAW bersabda: “Solat fardu berjemaah lebih afdal berbanding solat fardu sendirian dengan lebihan 27 darjah”.

Penghuni bumi yang tidak melaksana kewajipan agama terutamanya solat berjemaah disifatkan Nabi SAW sebagai warga dunia yang tidak memahami peranan hidup hanya sementara di muka bumi ini.

Allah SWT dengan rahmatnya telah melengkapkan segala keperluan untuk manusia, bumi sebagai tempat tinggal dengan udara nyaman serta air yang menumbuhkan pepohon buah-buahan sebagai rezeki. 

Semua itu bukan untuk manusia duduk bersenang-lenang dengan percuma, sebaliknya untuk bekalan beribadat kepada Allah SWT. Kemuncak ibadat ialah solat dan kesempurnaan solat hanya dengan berjemaah.

Hidup mewah dan berseronok di bumi dengan pelbagai nikmat Allah SWT tetapi melupakannya, insan seperti ini dianggap tidak berguna oleh Nabi SAW. Kewujudannya dalam masyarakat yang tidak mendatangkan manfaat justeru diancam akan di bakar rumahnya.

Penyakit tidak nampak kepentingan akhirat dan berbuat sesuatu amal hanya jika faedahnya dapat dilihat depan mata, merupakan penyakit yang diwarisi sejak zaman Nabi SAW lagi. Justeru itu, janganlah mereka hairan jika watak seperti itu menimpa umat kini, sudah wujud penyakit itu.

Sayidina Usman Affan berkata: “Sesiapa yang hadir solat jemaah isyak, seolah-olah mereka telah solat Tahajud seperdua malam”. Bukan suatu kerja mudah bangun separuh malam bagi melakukan solat Tahajud tetapi dengan hadir solat jemaah Isyak mendapat pahala yang menyamai dengan solat Tahajud seperdua malam.

Suatu riwayat menyebut bahawa Nabi SAW mendirikan solat jemaah isyak ketika para sahabat sudah mulai mengantuk, menunjukkan bahawa solat jemaah Isyak itu agak lewat. Wajarlah Allah SWT berjanji hendak beri pahala solat Tahajud seperdua malam kerana para sahabat melaksanakan solat jemaah Isyak dalam situasi jihad melawan nafsu menahan mengantuk menunggu agak lewat malam.

Seorang alim bernama Muhammad bin Wasik berkata: ”Aku berpuas hati jika dapat melakukan tiga perkara di dunia ini.


Pertama: Mempunyai sahabat yang mampu menegur dan membetulkan kesalahan ku


Kedua: Rezeki yang memenuhi keperluan ku tanpa kesukaran mendapatnya.


Ketiga: Mendirikan solat berjemaah dengan itu aku terlepas daripada terlupa dan ada malaikat menulis aku solat berjemaah”.

No comments: