Thursday, 4 March 2021

Anak lelaki - 9-12 Tahun

Jika Tuan Puan ada anak lelaki yang berusia 9 ke 12 tahun, mohon baca sampai habis perkongsian ini:

1. Tolong sangat-sangat untuk jelaskan kepada mereka tentang akil baligh. Ilmu yang mereka pelajari di sekolah tak mencukupi sebagai bekalan menempuhi alam remaja.

2. Akil baligh dikupas dengan baik dalam subjek Pendidikan Islam/ KAFA. Namun, ada anak-anak kita yang tak dapat relate dengan realiti yang bakal berlaku kepada mereka.

3. Contoh yang pertama, mereka masih samar-samar memahami bagaimana proses akil baligh itu terjadi. Yang mereka faham, air mani akan keluar setelah berlakunya mimpi basah. Mimpi basah pula sering dinisbahkan sebagai mimpi yang menyeronokkan, malam pertama dan lain-lain. 

4. Oleh yang demikian, ada kalangan remaja lelaki sekolah menengah mengaku tak mandi wajib bila keluarkan air mani sendiri dengan cara melakukan onani. Puncanya, beliau hanya 'beriman' perlu mandi wajib bila air mani keluar melalui mimpi basah sahaja. 

5. Inilah masalah terbesar hari ini Tuan Puan. Ada dikalangan anak-anak kita 'akil baligh' sebelum akil baligh yang sebenar. Bukan sebab mimpi basah, tetapi mengeluarkan air maninya sendiri.

6. Setakat pengalaman saya bersama pelajar sekolah, adik-adik ini telah peroleh rangsangan seksual lebih awal melalui drama, filem, pembacaan sehinggalah terjebak dengan pornografi.

7. Istilah melancap, toceng, bukan lagi asing dalam kalangan anak-anak lelaki di sekolah rendah. Bagi mereka, perkataan itu melucukan hingga dijadikan bahan gurauan. Mereka tahu ada dikalangan rakan-rakannya yang sudah buat benda itu.

8. Kesian mereka, sungguh naif sekali! Sudahlah akil baligh seawal usia 9 tahun, menonton video lucah dan melakukan onani, bahkan tak tahu menahu itu yang dirinya telah akil baligh!

9. Hal bagaimana terjebak dengan video lucah dan onani saya telah sentuh sebelum ini. Pornografi sangat mudah diperolehi oleh mereka. Samada dari handphone yang Tuan Puan berikan atau menjadi mangsa sex grooming di media sosial atau rasa ingin tahu melalui pop up perempuan tak berpakaian yang berlegar di internet atau melalui kawan sekolah atau juga video lucah yang disimpan dalam handphone ayahnya sendiri.

10. Mak ayah, please ingatkan anak-anak akan hal ini. Anak-anak perlu tahu kesan dari menonton pornografi. Ia akan mendorong individu merangsang diri sendiri dengan melakukan onani. Mereka juga perlu tahu air mani itu anugerah yang Tuhan berikan kepada lelaki, penerus generasi ke generasi. Ia amanah dan tanggungjawab! Ajar mereka secara praktikal cara mandi wajib yang sebenar.

11. Mungkin ada lelaki di luar sana yang skeptikal dengan isu melancap ni. Bagi mereka biasalah budak lelaki buat onani. Eh! Come on! Yang saya cerita ni kes budak sekolah rendah seawal 7 8 tahun yang beronani. Bayangkan apa yang boleh berlaku kepada mereka 2 ke 3 tahun akan datang. Melakukan onani dan menonton pornografi berkait antara satu sama lain. Bermula dari ingin tahu, akhirnya ketagih. Akhirnya, anak-anak ini memahami seks dari sumber yang salah dan bakal merosakkan dirinya dan orang lain. 

12. Baik, cukup hal berkaitan akil baligh dan mandi wajib. Sekarang, saya nak huraikan pula tentang perubahan fizikal dan emosi anak-anak.

13. Tuan Puan, perkara yang sering saya ingatkan kepada adik-adik di sekolah adalah tentang bau badan. Kadang-kadang ada pelajar yang dipulau oleh kawan-kawan dek bau ketiak yang busuk ya ampun.

14. Kita sebagai mak ayah tolonglah ingatkan pasal hal ini. Kata pada mereka, lepas akil baligh, bau badan muncul. Paling ketara, di ketiak. Maka, belilah deodarant untuk mereka gunakan.

15. Beli sahaja tak cukup, Tuan Puan kena tunjukkan pula cara nak guna dan berapa kali sehari nak kena sental ketiak tu. Seterusnya, kena pantau.

16. Untuk pengetahuan Tuan Puan, ramai budak lelaki di luar sana yang pandang ringan penggunaan deodarant. Mereka lebih selesa tepek bedak pada ketiak. Biasalah, budak lelaki, benda macam ni dia anggap tak penting, leceh dan menyusahkan.  

17. Selain dari itu, Tuan Puan kena tekankan mengenai perubahan fizikal pada tubuh badan. Suara semakin garau, ketinggian, badan makin sasa, bulu tumbuh serta rasa tertarik kepada lain jantina.

18. Tuan Puan tahu tak ada pelajar di sekolah menengah yang payah gila nak cukur bulu ari-ari di bahagian zakar dan ketiaknya? Benda macam ni kita kena sebut dan ajar. Jangan anggap anak kita tahu semua benda. Atau jangan anggap anak kita akan tahu sendiri. Ini mindset yang salah! 

19. Dalam Islam, bulu-bulu ini perlu dicukur atau digunting dalam tempoh masa 40 hari. Sebut pada anak, ini sunnah Nabi. Kalau sahabat non muslim ada baca post ni, lakukan juga hal yang sama. Ia ilmu universal. Dah panjang, cukurlah kan. Takkan nak biar panjang sampai boleh diletakkan pomade? Huhu

20. Sekarang, bab penampilan pula. Tuan Puan, ajarlah anak kita nampak menarik sikit bila berpakaian. Nak jaga penampilan, tak semestinya perlu pakai dan beli pakaian yang mahal. Cukuplah sekadar kemas dan bersesuaian dengan aktiviti yang anak kita lakukan. Jadi, tak adalah anak kita selekeh je sepanjang masa.

21. Paling penting adalah, Tuan Puan wajib ingatkan soal dosa dan pahala. Terangkan dengan jelas segala perbuatan mereka akan dikira sebagai amal soleh atau dosa. Kita dah mendidik mereka dengan baik, maka menjadi tanggungjawab mereka menghindar diri dari dari menjadi hamba Tuhan yang engkar dengan perintahNya.

22. Sebab itu Islam menyarankan mak ayah mengajar anak solat ketika umurnya 7 tahun dan rotan (niat mendidik dan bukan untuk mencederakan) ketika berusia 10 tahun. Cara paling mudah mendidik anak solat adalah melalui perbuatan kita sendiri. Hidupkanlah solat jemaah di rumah. Masa kecil, memang depa akan main-main atas badan kita, panjatlah, jadikan kudalah, tapi lama-lama mereka akan ok. Jangan lupa sekali sekala bawa ke masjid.

Mari kita jadi ibubapa yang dimaksudkan oleh Saidina Umar Al-Khattab : "Mendidik anak mengikut zamannya."

Monday, 1 March 2021

JODOH - JIWA YANG TENANG






A028

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.(Al-Kahfi 18:28)

Ayat diatas untuk panduan menjadi baik kerana mengharapkan pandangan Allah SWT. Sekiranya kita mempunyai kawan yang faham agama dan sentiasa menjadikan agama dalam hidup, jadilah dia sahabat sebab boleh memberi motivasi untuk menjadi baik. Selain itu, ingat pada diri kita ini wakil Rasulullah SAW untuk menjadi baik dan mesti mengikut telunjuk Nabi SAW. Dan sentiasa ingat kita akan menemui kematian bila-bila masa.

Keputusan memilih jodoh mestilah mencari pasangan yang sekufu dengan diri kita sendiri. Tidaklah mahu hebat sangat bagaikan langit dengan bumi. Lelaki yang boleh menerima diri sendiri seadanya penuh kasih sayangnya disamping mempunyai kelembutan jiwa  seperti perasaan yang lembut, memahami, bertolak ansur, bahasa-bahasa yang lembut dan penuh kasih sayang. Pasangan hidup amat penting yang mempunyai akhlak yang baik dan hidup sederhana untuk mensejahterakan alam rumahtangga. 

A028
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.(Al-Ahzaab 33:28)

A029
"Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar".(Al-Ahzaab 33:29)

KEMUNCAK HIDUP LELAKI PEREMPUAN


Ramai orang yang hidup tetapi hidupnya tidak pernah sampai ke kemuncak.

Maksudnya dalam seumur hidupnya belum pernah dikerah sampai ke penghabisan.

Lelaki dan perempuan sisi kemuncak hidup mereka berbeza.

1. Bagi seorang lelaki, cara mencapai kemuncak hidup atau 'the summit of life' ialah dengan berjihad. 

Menariknya perkataan jihad itu sendiri berasal dari kata al-Juhdu (الجهد) yang bermaksud bersungguh-sungguh.

بذل واستفراغ ما في الوسع والطاقة

Mencurahkan segala usaha dan kemampuan yang ada sampai ke penghabisan...

Ini kerana, jihad akan menghabiskan tenaga, akal fikiran, usaha dan paling akhir ialah nyawa seseorang.

Semuanya bertujuan untuk menegakkan kalimah Allah sebagaimana hadith ;

مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِىَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ

“Siapa yang berperang agar kalimat Allah itu yang paling tinggi, maka dialah yang berada di jalan Allah." 

[HR Al-Bukhari dan Muslim] 

2. Islam mencela sifat malas, bacul dan pengecut. Justeru terdapat doa memohon perlindungan Allah daripada sifat-sifat buruk tersebut.

 وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ 

"Dan aku memohon perlindungan daripada sifat lemah dan malas, dan aku memohon perlindungan daripada sifat pengecut..." 

Ini kerana sifat-sifat ini akan menghalang seseorang daripada hidup sampai ke kemuncak atau disebut.... "Living life to the fullest"...

Bahkan sebaliknya Allah mendidik manusia dengan sifat tawakal, beriman kepada takdir;

قُلْ لَنْ يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

"Katakanlah: "Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal" (At-Taubah: 51)

3. Lelaki-lelaki yang berjihad, sedang 'living life to the fullest' apabila setiap hari dalam hidup mereka, sangat memberikan makna, setiap detik dan saat yang berlalu bukan sahaja menjadi ibadah bahkan debu-debu yang melekat pada pakaian mereka sahaja turut membawa berkah dan rahmat.

مَنْ اغْبَرَّتْ قَدَمَاهُ فِي سَبِيلِ الله حَرَّمَهُ الله عَلَى النَّارِ 

"Sesiapa yang telah berdebu kakinya (melekat debu) di jalan Allah, maka Allah mengharamkan baginya api neraka."[HR Bukhari]

Uniknya, jika mereka terbunuh dan terkorban dalam jihad di jalan Allah. Mereka tetap dianggap kekal hidup dan tidak mati.

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

"Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki." (Ali-Imran :169)

Kerana kehidupan mereka bukan sahaja menjadi lagenda dan pelajaran kepada orang yang hidup tetapi mendapat nikmat di sisi Tuhan sebagai ganjaran pengorbanan mereka.

4. Kaum wanita mencapai kemuncak hidup berbeza daripada lelaki. Allah menjadikan mereka berlawanan dengan fitrah lelaki yang akan mencapai kemuncak hidup di medan perang dan daripada hasil pertembungan pedang @ senjata.

وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلَالِ السُّيُوفِ

"Ketahuilah syurga di bawah kilauan pedang.." [HR Al-Bukhari]

Sebaliknya wanita mencapai kemuncak hidup apabila berkorban kepentingan diri dan emosi mereka (berjihad) demi pihak lain.

"Redha dan rela berkorban"

(No 'me time', me self, me happiness, me..me..)

Sebagaimana kisah Hajar alaihasalam, yang redha ditinggalkan suami bersama anak kecil di lembah yang gersang, demi mentaati perintah Allah.

Yang mengucapkan kata-kata ini ketika ditinggalkan;

رَضِيتُ بِاللَّه

"Aku redha dengan Allah" [HR. Al-Nasa'ie] 

Demi anaknya, tujuh pusingan tawaf bukit Safa dan Marwa didaki demi mencari air untuk si anak...

Lalu sehingga ke hari ini, ia menjadi syiar dalam ibadah.

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ

"Sesungguhnya Safa dan Marwa adalah sebahagian daripada syi'ar Allah." (Al-Baqarah:158)

Begitu juga kisah ibu Musa yang menghanyutkan bayinya di dalam peti ke Sungai Nil. Dan kisah Maryam alaihasalam yang dipilih sebagai ibu yang mengandungkan Isa Alaihisalam.

Menerima tohmahan dan menanggung derita demi kelahiran bayi pilihan Tuhan yang bernama Isa yang dia sendiri tidak pernah disentuh lelaki apatah lagi memilih calon suami sendiri.

5. Wanita-wanita dalam sejarah kemanusiaan seperti isteri Fir'aun, ratu Saba, Ibu Musa, Hajar, Khadijah, Aisyah dan semuanya yang lain mencapai kehidupan terpuji atas pengorbanan dan kesabaran mereka.

Aisyah RA menjadi isteri termuda kepada lelaki yang paling mulia atas muka bumi. Walaupun lelaki itu bukan suami pilihannya, kerana dia dinikahkan oleh bapanya di usia muda tetapi itu tidak menghalangnya daripada berkorban dan membuat yang terbaik untuk keluarga dan agamanya.

Mereka tidak mencapai kemuncak hidup dengan bermain salji di luar negara atau ketika berjalan-jalan di kota Paris atau dengan memakai beg tangan jenama Hermes Birkin.

Diriwayatkan daripada Urwah bin al Zubair RA bahawa;

كَانَتْ عَائِشَةُ تَقْسِمُ سَبْعِينَ أَلْفًا وَهِيَ تُرَقِّعُ دِرْعَهَا

"Aisyah pernah membahagikan (bersedekah) sebanyak 70 ribu dirham sedangkan baju yang dipakainya sendiri bertampal (koyak lalu dijahit)."[HR. Ibn Abi Syaibah]

6. Iya, wanita sama sekali tidak akan mencapai kemuncak hidup kecuali dengan bekorban untuk orang lain.

Sebagai anak kepada ibubapanya, sebagai isteri kepada suaminya atau sebagai ibu kepada anak-anaknya.

Di situlah kemuliaan dan kemuncak hidup seorang wanita! 

Akhirnya, tanpa jihad bagi lelaki dan pengorbanan diri bagi seorang wanita maka hidup cuma sekadar hidup. Tidak lebih dan tidak ada apa yang istimewa seperti fatamorgana.

Allah Ta’ala menyebut;

كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ

".. seperti hujan yang menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar, selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai..." (Al-Hadid: 20)

7. Jika engkau seorang lelaki bangkit dan berjihadlah mencari kemuliaan hidup dengan keberanian dan  membela agama serta hak-hak mereka yang tertindas.

Mulakan dengan ilmu, disambung dengan amal yang terdekat dengan dirimu dan kemudian engkau bersabar atas dugaan dan melangkah maju, berani menyatakan kebenaran.

Kewibawaan seorang lelaki tidak akan pernah mengatasi kewibawaan dan kemuliaan maruah seseorang yang berkata benar, demi membela kebenaran.

Justeru nabi sampai bersabda;

أفضلُ الجهادِ كلمة حق عند سلطان جائر‏

"Sebaik-baik jihad ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim."[HR. Al-Nasa'ie]

Kekal nama dalam sejarah seperti Said bin Jubair, Abu Hanifah, Ahmad bin Hanbal, Al-Bukhari, Ibn Jarir Al-Tabari, Ibn Khuzaimah, Izzudin Abd Salam, Al-Nawawi, Ibn Taimiyyah dan lain-lain tokoh atas keberanian mereka berkata benar. 

Dan jika engkau seorang wanita pula, maka apakah lagi tujuan hidup-Mu jika bukan untuk berbakti?

Pada rahimmu ada ruang untuk mengisi bayi. Di dadamu ada sumber makan dan minumnya, ternyata Tuhan menjadikan fizikalmu sendiri sebagai alat dan keperluan untuk insan lainnya.

Ujian dan musuh seorang wanita, hanyalah emosi dan perasaannya yang selalu dipermainkan oleh syaitan, agar dia cuma mahu hidup untuk dirinya.

Maka sia-sialah segala kejelitaannya, sia-sialah bakat dan kebolehannya, sia-sialah fizikal dan kemampuan dirinya yang dikurniakan Tuhan.

Hanya kekal sebagai fitnah dan godaan. 

Pergunakanlah dirimu, jadikanlah dirimu dipergunakan untuk tujuan-tujuan kebaikan.

Jika tidak, engkau akan menjadi wanita yang tidak berguna dan hanya membawa fitnah keburukan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

الشُّؤْمُ فِي المَرْأَةِ وَالدَّارِ وَالْفَرَسِ

"Adakalanya kesialan itu terletak pada perempuan, rumah, dan kuda. ”

[HR Al-Bukhari]

Membawa nasib malang apabila dirinya hanya menjadi sumber fitnah dan keburukan pada kehidupan orang lain. 

وإلى الله ترجع الأمور