Wednesday, 11 January 2023

NASIHAT KELUARGA




Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Semasa saya di dalam penerbangan Garuda Air menuju ke Jakarta pada tengahari ini pada 9 Januari 2023, saya sempat meneliti isu-isu semasa di media sosial. Masih hangat dibincangkan tentang saudara Syamsul Yusof, keluarga dan juga bapanya, Datuk Yusof Haslam. Isu yang agak lama berlarutan, sehingga dinoktahkan dengan pengakuan Syamsul baru-baru ini.

Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam isu ini. Sejujurnya saya tergerak untuk mengemukakan sedikit nasihat. Bukanlah ingin membuktikan saya lebih mengetahui, tetapi sekadar ingatan bersama berdasarkan sedikit ilmu yang saya ada. Saya lafazkan ‘أستغفرُ اللهَ وأتوبُ إليهِ’. Mudah-mudahan kita beroleh sedikit panduan dan pedoman.

Saya mulakan nasihat ini seperti berikut:

Pertama: Agama itu adalah Nasihat

Ini selaras dengan firman Allah SWT:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ ‎

Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran.”

(Surah al-Asr: 3)

Imam al-Tabari berkata: Maksud saling berpesan dengan kebenaran itu adalah mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590)

Kita mahukan apa yang terzahir adalah satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan. Begitulah yang ditafsirkan oleh Sayyid Qutb Islam pada ayat di atas. Allah SWT mahukan mereka menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan dan sentiasa saling berpesan sesama mereka supaya menjunjung kebenaran dan bersabar dalam perjuangan dan hidup saling mesra, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiyah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 17/521). Begitulah besarnya peranan nasihat.

Daripada Tamim al-Dari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: Tentang siapa? Sabda Baginda: Tentang Allah, tentang Kitab-Nya, tentang Rasul-Nya, tentang pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.” Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4944) dan al-Nasaie (7/156)

Nasihat tentang-Nya adalah nasihat untuk beriman kepada-Nya, mengikut segala titah perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Nasihat tentang kitab-Nya adalah nasihat supaya menurut segala panduan Allah SWT dalam kitab-Nya.  Nasihat tentang Rasul-Nya adalah nasihat untuk mengutamakan segala perbuatan, perkataan, dan pengakuan Rasulullah SAW sebagai role model dalam hidup. Manakala nasihat tentang pemimpin dan masyarakat adalah nasihat untuk kedua-duanya saling berperanan; peringatan untuk pemimpin agar memimpin dengan adil dan masyarakat untuk mematuhi pemerintah dengan sebaiknya selagi masih dalam hal-hal yang dibenarkan syarak.

Ibn Hajar menyatakan: Nasihat kepada orang Islam keseluruhannya bermaksud, antaranya menunjukkan jalan bagi mereka (masyarakat Islam) bagi keperluan mereka dalam urusan akhirat dan dunia, menghalang mudarat daripada kena pada mereka, mendatangkan kebaikan kepada mereka, menyuruh mereka berbuat kebaikan, menegah mereka daripada kemungkaran dengan cara yang sesuai pada tempatnya, mencintai suatu yang baik bagi diri mereka perkara yang dia cintai bagi diri sendiri, dan membenci suatu perkara yang buruk ditimpa kepada mereka seperti mana jika berlaku pada diri sendiri, menyeru mereka untuk berakhlak dengan apa yang termasuk dalam erti kata nasihat dengan mengikut petunjuk generasi Salafussoleh R.Anhum. Bahkan ada sebahagian salaf yang bersungguh-sungguh melakukan nasihat sehingga tergadai kepentingan dunia mereka sedangkan mereka tidak kisah.” (Lihat al-Fath al-Mubin 1/257)

 

Kedua: Syabas kepada Saudara Syamsul

Tindakan saudara meletakkan noktah bagi kemelut “cakap-cakap belakang” dengan mengisytiharkan perkahwinan tersebut adalah perlakuan yang berani. Saya katakan syabas kerana itulah kalimah yang terbaik kerana ia berakhir dengan tindakan yang selari dengan syarak. Semoga dengan ini, akan selesailah kemelut yang menjadi teka-teki yang hakikatnya menyebabkan keadaan menjadi lebih parah.

Ketiga: Syabas kepada Datuk Yusof Haslam

Sikap yang ditunjukkannya jelas amat matang. Nada suaranya memberi erti seribu satu macam makna yang hanya dirasai oleh seorang bapa yang sedaya upaya berlaku adil dengan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT sebagai pencorak kepada selembar kain putih. Sifat kebapaan yang dizahirkan, mengingatkan saya kepada kisah Nabi Nuh AS yang tegas dengan prinsip dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Inilah yang sewajarnya kita insafi dan kita lakukan.

Keempat: Kepada keluarga semua pihak yang terlibat, wajib untuk kita beriman dengan qadha’ dan qadar. Ingatlah firman Allah SWT:

 وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. Allah itu lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.”[1]

Surah al-Baqarah (216)

Ibn Kathir berkata: Hal ini berlaku untuk semua perkara. Boleh jadi manusia menyukai sesuatu, padahal tidak ada kebaikan dan maslahat sama sekali di dalamnya..Allah yang mengetahui akhir sesuatu dari perkara kita. Allah yang mengkhabarkan dengan apa yang ada maslahat untuk dunia dan akhirat kita. Maka lakukan dan patuhlah pada perintah-Nya, nescaya kita akan beroleh petunjuk.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/573)

Ini bersyaratkan dengan redha dan patuh kepada perintah Tuhan dan Rasul, buat mengikut kehendak-Nya dan menghindarkan hanya beriman dengan emosi dan perasaan. Kenyataan ini ditegaskan oleh tokoh tasawuf, Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari:

سَوَابِقُ الهِمَمِ لَا تَخْرِقُ أَسْوَارَ الأَقْدَارِ

Maksudnya: “Segala cita-cita terdahulu itu tidak boleh mencarikkan segala kota takdir.”

Ia membawa maksud bahawa sesuatu yang ditentukan Allah SWT sejak azali tidak boleh diubah dengan apa-apa jua pun termasuk kekuatan azam hati. (Lihat Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam, 1/22)

Antara tindakan kita, lihatlah ke hadapan dengan penuh optimis dan keyakinan yang tinggi. Jarakkan diri dari bersifat pesimis. Jika diberi segelas air limau yang masam, usahlah berang. Tambahkan gula secukup rasa, ukirkan senyuman yang terindah tanda terima kasih atas pemberian. Jadilah ia segelas air limau yang menyegarkan, manis dan mendamaikan bila diteguk. Justeru, kitalah yang akan mewarnai kehidupan kita untuk menuju kebahagiaan.

Kelima: Sikap kita semua

Kita akan menuju untuk menemui Tuhan. Ambillah kebaikan dalam hidup dan jadikan keburukan sebagai sempadan untuk membina semula kehidupan yang baharu. Tidak ada yang sempurna kerana kehidupan itu sendiri adalah medan ujian. Allah SWT berfirman:

‏ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ

Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Mulk: 2)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT lah yang mewujudkan mati dan hidup, serta menentukan keduanya semenjak azali lagi. Dia-lah yang menjadikan mereka (manusia) berakal agar mengetahui makna-makna pembebanan kewajiban sambil mereka melaksanakannnya. Begitu juga kerana Allah memperlakukan mereka dengan perlakuan orang yang menguji perbuatan mereka. Lalu Allah membalas mereka atas perbuatan mereka. Hal itu dilakukan, juga supaya Dia mengetahui mana dari kalangan mereka yang paling taat dan paling ikhlas kepada Allah dan amalnya yang paling baik. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/25)

Sayyid Qutb berkata: Allah SWT berfirman selepas itu, ‘وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ’ (“Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”) untuk mencurahkan ketenangan dalam hati yang sentiasa memelihara perintah Allah SWT dan takut kepada-Nya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Perkasa lagi Maha Mengalahkan, tetapi Dia juga Maha Pengampun lagi maha Bertolak Ansur. Apabila hati terjaga dan sedar bahawa ia berada di dunia ini untuk berdepan dengan ujian dan cubaan, di samping ia berhati-hati dan menjaga diri, maka dia berhak untuk bertenang, menetap dan berselesa kepada pengampunan dan rahmat Allah SWT. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 6/3631)

Untuk menghasilkan ‘أَحْسَنُ عَمَلًا’ (yang lebih baik amalnya), maka sudah tentu dengan mengutip pengajaran dan pengalaman terdahulu bagi memaknai kehidupan kita di dunia. Kehidupan yang berorientasikan akhirat. Bak kata Hamka, “Hidup ini hanya sekali, justeru biarlah bererti.” Justeru, binalah tekad untuk membina kehidupan baru yang lebih baik.

Keenam: Kehidupan yang baru hendaklah diteruskan. Inilah realiti, di mana semua pihak perlu akur. Nasihat saya, dalam kehidupan rumah tangga, tiga perkara utama perlu dititikberatkan:

  1. Keadilan sama ada dari nafkah zahir dan batin, termasuk juga perasaan kasih sayang.
  2. Mu’asyarah (pergaulan) yang baik. Hal ini menjadi perintah Tuhan. Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Imam al-Zamakhsyari menjelaskan bahawa ““Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik” secara umum ditafsirkan “berlaku adil dalam hal tempat tinggal dan nafkah, serta memperhalusi tutur kata.” (Lihat Tafsir al-Kasysyaf, 1/491)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut. Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

iii. Zahirkan rasa kasih sayang kepada kaum keluarga dan anak-anak. Ini selaras dengan kisah Nabi bersama al-Aqra’ bin Habis R.A, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya: Rasulullah SAW telah mencium al-Hasan bin Ali dan bersamanya ada seorang sahabat bernama al-Aqra‘ bin Habis al-Tamimi R.A yang sedang duduk. Lantas Al-Aqra‘ R.A berkata: “Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun di antara mereka.” Rasulullah SAW lalu berpaling memandangnya seraya bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam mengulas hadith ini, menukilkan daripada Ibn Battal yang menyebut, “Hadis ini mengandungi maksud galakan agar bersikap rahmat (perasaan belas kasihan) terhadap semua makhluk. Termasuk dalam maksud rahmat adalah sentiasa memberi makan, minum, meringankan beban dan tidak melakukan tindakan salah laku dengan memukul.” (Lihat Fath al-Bari, 10/440)

Ingatlah anak merupakan hibah atau anugerah kurniaan Tuhan. Ia menjadi penyambung warisan kehidupan kita. Ingatlah bahawa dengan kita meninggalkan anak yang soleh merupakan aset kita di hari akhirat kelak, yang mendoakan kebaikan kepada kita. Saya teringat kisah anak saya yang meninggal baru-baru ini akibat kanser. Saya muatkan kisahnya dalam buku terbaru saya, Salam Terakhir.

Ketujuh: Jadilah suami dan bapa yang terbaik

Inidikator ini telah diumumkan oleh Rasulullah SAW kepada semua dengan menyebut:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya: “Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang terbaik kepada keluarganya dan aku adalah yang paling baik di antara kamu terhadap keluargaku.”

Riwayat al-Tirmizi (3895), Ibnu Majah (1977), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (16117), Syu’ab al-Iman (10502) dan Ibn Hibban (4177) daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma. Kata Imam al-Tirmizi: Hadis hasan sahih.

Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: (Iaitu) kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/269) Justeru, jelas bahawa hadis di atas merupakan di antara bukti keagungan dan keindahan ajaran Islam yang menganjurkan orang lelaki khususnya para suami untuk berbuat baik kepada ahli keluarga yang meliputi isteri, anak-anak, kaum kerabat, dan selainnya.

Ertinya, kebaikan seseorang bukan semata-mata dinilai pada hanya memberi, menjamu, bersedekah, solat, zakat dan haji, tetapi dalam hablum min al-nas atau hubungan sesama manusia. Maka kebaikan itu melimpah dengan cara memukadimahkan kebaikan kepada kaum keluarga.

Kelapan: Bahagia merupakan impian utama. Ingatlah, dalam kehidupan, semua dalam kalangan kita inginkan bahagia dalam hidup. Tetapi tidak semua dapat mencapainya. Benarlah kata pujangga, Hati’ah al-‘Absi yang mengungkapkan:

وَلَستُ أَرى السَعادَةَ جَمعَ مالٍ         وَلَكِنَّ التَقيَّ هُوَ السَعيدُ

Aku tidak melihat kebahagiaan hakiki dengan terhimpunnya harta

            Akan tetapi, orang yang bertakwa itulah orang yang bahagia.

(Lihat al-Adab al-Syar’iyyah oleh Ibn Muflih, 3/307; Tarikh Madinah Dimasyq oleh Ibn ‘Asakir, 72/65)

Sila baca lebih lanjut dalam buku kami bertajuk Baiti Jannati.

Kesembilan: Mohonlah maaf kepada kedua ibu bapa. Taat dan patuhlah kepadanya serta berbaktilah kepada keduanya. Sesungguhnya, inilah perintah Allah SWT kepada kita semua. Benarlah firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra’: 23)

Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932)

Kesepuluh: Kepada rakan netizen, sebaik-baik dalam kalangan kita adalah yang mendoakan kebaikan kepada rakan kita, saudara Syamsul dan keluarganya. Bukan dengan tindakan seolah-olah ingin menjatuhkan dan menghancurkan rumah tangga yang telah dibina berdasarkan syarak. Antara doa yang terbaik adalah doa saudara kepada saudaranya tanpa diketahuinya seperti yang dinaskan di dalam hadith.

Kesebelas: Jangan marah kerana sifat marah boleh menghilangkan pertimbangan akal dan membawa kepada persengketaan. Tindakan pada ketika itu akan lebih kepada mengikut hawa nafsu dan melepaskan amarah. Daripada Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW:

أَوْصِنِي. قَالَ: لَا تَغْضَبْ، فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ: لَا تَغْضَبْ

Maksudnya: “Wasiatkanlah kepadaku.” Baginda pun bersabda: “Janganlah marah.” Orang itu mengulanginya beberapa dan Baginda bersabda, “Janganlah marah.”

Riwayat al-Bukhari (6116)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada Ibnu al-Tin, katanya: “Nabi SAW telah menghimpunkan kebaikan dunia dan akhirat dalam sabdanya, ‘Jangan marah,’ kerana marah boleh menyebabkan sikap saling memutuskan hubungan dan menghalang sikap lemah-lembut sesama manusia. Bahkan, ia dapat menyakiti orang yang dimarahi sehingga dapat mengurangkan agama.” “Untuk membantu seseorang meninggalkan marah adalah dengan segera mengingati keutamaan dan kelebihan menahan marah. Begitu juga dengan mengingati ancaman terhadap sikap marah. (Apabila hendak marah), maka berlindunglah daripada syaitan (dengan mengucapkan ‘أعُوذُ باللهِ مِنَ الشَّيْطانِ الرَّجِيمِ’) dan kemudian berwudhu’. (Lihat Fath al-Bari, 29/391)

Maksud perkataan “Janganlah Marah” yang dikatakan kepada lelaki tersebut adalah jangan menuruti hawa nafsu kemarahan itu, dan bukanlah maksudnya melenyapkan sama sekali nafsu itu. Ini kerana kemarahan adalah satu-satunya daripada tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan. Oleh itu, maksud Rasulullah SAW dengan larangannya kepada perkara menimbulkan kemarahan itu dan pernah juga Rasulullah SAW menerangkan: “Bahawa kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan dari api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila seseorang dalam kalangan kamu marah maka hendaklah dia berwuduk.” Baginda bersabda pada hadis yang lain: “Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang menyala-nyala dalam hati anak Adam. Cubalah lihat apabila salah seorang kamu dalam keadaan marah, kedua matanya merah, urat lehernya kelihatan timbul. Apabila salah seorang berasa marah, maka hendaklah dia berbaring atau duduk di atas bumi.” (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 156-157)

Kedua belas: Kita tidak mahu menjadi golongan yang tergelincir lidah, bahkan rugi kepada diri kita sendiri. Ingatlah, kita semua banyak melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah yang sentiasa bertaubat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ ، وَخَيْرُ الخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: “Setiap anak Adam banyak melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang banyak melakukan kesalahan adalah orang yang banyak bertaubat.”

Riwayat al-Tirmizi (2499), Ibn Majah (4251) Ahmad (13049), Ibn Abi Syaibah (34216), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5/420), al-Hakim (4/244), al-Darimi (2727) dan Abu Ya’la (2922). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya hasan dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (5/92)

Berdasarkan hadits di atas, difahami bahawa manusia tidak akan terlepas daripada kesilapan. Syeikh al-Mubarakfuri berkata:  ‘كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ’ yakni banyak kesalahan.  Ungkapan  ‘وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ’ (Sebaik-baik orang yang banyak melakukan kesalahan adalah orang yang banyak bertaubat) bermaksud mereka kembali kepada Allah dengan bertaubat daripada segala maksiat, dan sebaliknya giat dalam melakukan ketaatan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/202)

Marilah sama-sama kita sentiasa mengulangi istighfar dan taubat. Semoga Allah SWT menerima taubat dan istighfar kita serta amalan baik yang kita lakukan. Bak kata pepatah Melayu, “Buang yang keruh, ambillah yang jernih.”

Ketiga belas: Jagalah solat antara suami isteri, terutamanya solat Tahajjud di waktu malam bagi meraih rahmat daripada Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

رَحِمَ اللهُ رَجُلاً قَامَ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّى وَأَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّتْ فَإِنْ أَبَتْ رَشَّ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ. رَحِمَ اللهُ امْرَأَةٌ قَامَتْ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ وَأَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَإِنْ أَبَى رَشَّتْ فِيْ وَجْهِهِ الْمَاءَ

Maksudnya: “Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun di tengah malam lalu solat dan membangunkan isterinya lalu isterinya pun solat. Jika isterinya enggan, maka ia memercikkan air ke wajahnya. Dan semoga Allah merahmati seorang isteri yang bangun di tengah malam lalu solat dan membangunkan suaminya lalu suaminya pun solat. Jika suaminya enggan, maka dia memercikkan air ke wajahnya.”

Riwayat Abu Daud (1308) dan Ibnu Majah (1336)

Akhir sekali, marilah sama-sama kita mengamalkan doa yang diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)

Semoga Allah SWT jadikan rumahtangga kita sentiasa aman, baik dan bahagia. Amin.

Nota Hujung:

[1] Walaupun ayat ini berkenaan dengan kewajipan jihad atau perang tetapi kaedah menyebut:

الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ الْلفظِ لاَ بِخُصُوصِ السببِ

Maksudnya: “Pengajaran diambil dengan umum lafaz bukan sebab yang khusus.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir, al-Subki, 2/134)

Tuesday, 8 November 2022

TEORI MEMBESAR ANAK


Teori membesarkan anak waktu kecil belum tentu boleh digunakan untuk membesarkan anak waktu awal remaja ataupun remaja.

Sebagaimana fizikal anak berubah, perkembangan otak, emosi, kognitif, dan sosial anak juga berkembang dan berubah.

Pendedahan dan persekitaran juga berubah.

Ibubapa juga memerlukan set skil yang berbeza untuk membesarkan anak usia awal remaja dan remaja.

Nasihat yang diterima dan diberi juga haruslah bersesuaian dengan tahap usia. 

Bentuk pendidikan anak:

a) tunjuk 

b ) ajar (ajar Al-Quran, kenal Nabi,kenal ahli kekuarga Nabi saw)

d) bentuk suruhan / ayat perintah - Ada nilai ketegasan seperti solat,puasa

d)beri contoh teladan - IBU ajar anak masak

Semua pendidikan ada sifat,nilai, perasan dan akhlak sendiri

You will only understand when you get ‘there’. 

SURAT LAMARAN



Kepada Calon Suamiku,


Calon suami saya, 
calon bapa anak-anak saya,
calon menantu Ibu dan bapa saya
serta calon buat adik-adik saya

Assalamu'alaikum WBT dan Selamat Sejahtera,

Mohon maaf kalau awak tidak berkenan. Tapi saya memohon bacalah surat ini sehingga akhir. Kemudian sila abaikan, tapi saya mohon, bacalah dulu sampai selesai. Saya merayu! 

Saya, yang bernama Nur Furay'ah menginginkan awak sebagai Calon Suami Saya (maafkan saya berterus terang). Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya insan biasa. Datang bukan dari keluarga berada tapi biasa-biasa sahaja. Untuk pengetahuan awak, ketika ini saya bekerja di Wilayah Persekutuan. Saya mempunyai sedikit pendidikan tapi tidaklah tinggi mana.

Saya hanyalah manusia biasa, yang punya banyak kelemahan dan beberapa kelebihan. Saya menginginkan awak untuk mendampingi saya. Untuk menutupi kelemahan saya dan mengendalikan kelebihan saya. InshaAllah.

Kerana saya hanya manusia biasa maka cinta saya juga biasa saja. Oleh kerana itu. Saya menginginkan awak supaya membantu saya memupuk dan merawat cinta ini, agar menjadi luar biasa.

Saya tidak tahu masa hadapan, apakah kita nanti dapat bersama-sama sampai mati. Kerana saya tidak tahu suratan jodoh saya. Yang pasti saya akan berusaha sebaik mungkin menjadi isteri dan ibu yang baik. InshaAllah.

Kenapa saya memilih awak? Sampai saat ini saya tidak tahu kenapa saya memilih awak. Tapi apa yang saya nampak masa depan saya hanya di mata awak. Saya juga rasa penyebab hati saya memilih awak kerana komitmen menjadi lebih baik, seorang yang berusaha beramal agama, seorang jujur, bertanggungjawab, tidak hipokrit dan harapnya akhlak juga baik. Saya menyukai awak kerana mungkin awak juga seorang bapa yang baik dan penyayang.

Saya sudah solat istiqarah berkali-kali, dan saya semakin yakin memilih awak. Yang saya tahu, Saya memilih awak kerana Allah. Dan yang pasti, saya ingin menyempurnakan agama saya, juga sunnah Rasulullah saw.

Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, saya hanya berusaha mungkin menjadi lebih baik dari sekarang ini. Saya memohon awak solat istiqarah dulu sebelum memberi jawapan pada saya. Saya beri masa untuk menjawab, semoga Allah redha dengan jalan yang kita tempuh ini. Amin

Wassalamu'alaikum Wr Wb.

Nur Furay'ah