Seringkali kita menghadapi kesukaran untuk memaafkan orang yang pernah melakukan kesilapan terhadap kita. Adakalanya kita terbawa-bawa dengan kesilapan yang telah dilakukan terhadap kita bertahun-tahun yang lampau sehingga menjejaskan hubungan dengan orang berkenaan. Tidak dapat menafikan kelukaan dan kekecewaan masih lagi masih terasa.
Sabda Nabi S.A.W:
"Tidak sempurna keimanan seseorang antara kamu semua sebelum dia mencintai saudaranya (sesama muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri". (riwayat al-Bukhari)
Sabda Nabi S.A.W:
"Orang yang paling gagah perkasa antara kalian semua adalah mereka yang dapat mengawal nafsunya di waktu marah dan orang paling sabar antara kamu semua adalah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal dia mampu membalasnya". (riwayat Ibn Abi al-Dunyan).
Sesungguhnya di dalam AlQuran terdapat sebuah kisah mengenai kemaafan iaitu kisah Nabi Yusuf a.s. Contohi Sifat Kemaafan Nabi S.A.W walaupun ia sukar.
Firman Allah:
“Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) pada hari akhirat serta dia sentiasa menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang).” – Surah al-Ahzab 21.
Rasulullah s.a.w mempunyai sikap pemaaf berdasarkan daripada Aishah r.a berkata:
“Tidak pernah Rasulullah s.a.w menggunakan tangannya untuk memukul isteri atau pelayang kecuali ketika dalam perang fi sabilillah dan belum pernah Rasulullah diganggu lalu membalas kecuali jika melanggar sesuatu hukum Allah maka dia membalas kerana Allah S.W.T.”-Hadis riwayat muslim.
Hadis di atas menjadi dalil sifat pemaaf ini harus sesuai dengan keadaan. Sekiranya hukum Allah SWT ditolak malah dihina, maruah umat Islam dicalar, maksiat berleluasa dan lain-lain perbuatan berat yang menyalahi syarak maka sewajarnya kita memberi balas atau mengambil tindakan sewajarnya
Berbagai perasaan anugerah dari Allah itu amat berguna kepada manusia, bukan sekadar perasaan sayang dan simpati sahaja berguna, malah perasaan marah juga tetap berfaedah kepada kehidupan manusia. Marah yang kena pada tempatnya adalah suatu kebaikan, malah ada kalanya dituntut oleh agama kerana tanpa perasaan marah mungkin manusia akan menjadi dayus.
Jika seseorang sudi memaafkan orang lain walaupun mungkin hatinya terluka akibat perbuatan buruk orang itu, maka sesungguhnya dia telah memilih langkah bijak bagi menyelesaikan dua perkara secara serentak. Pertama dia telah menyelesaikan perselisihan antara dia dan orang yang terlibat, dan keduanya dia berjaya memadamkan api kemarahan yang sedang membakar hatinya. Sifat pemaaf mempunyai nilai yang tinggi, oleh itu Islam menganjurkan persaudaraan.
Firman Allah S.W.T
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu damaikan antara kedua saudaranyamu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujurat ayat 10).
Justeru itu alangkah baiknya jika manusia memahami betapa perlunya seseorang itu mempunyai sifat toleransi dan pemaaf terhadap sesama manusia, kerana sifat pemaaf itu akan mendatangkan kebajikan kepada dirinya dan juga kepada orang yang diberi kemaafan. Memaafkan orang lain dari kesalahan yang dilakukan terhadap dirinya, bererti dia menolong saudaranya dari beban dosa, sifat itu menjadi saluran rahmat Allah terhadap dirinya, sebagai mana sabda Rasulullah S.A.W.
“Sesungguhnya Allah tidak menyayangi kecuali kepada hambaNya yang penyayang, tidak mengampun kecuali terhadap hambanya yang pengampun dan tidak menerima taubat kecuali terhadap hambaNya yang sanggup memaafkan kesalahan saudaranya.”
Bagaimanapun kemaafan seseorang itu biarlah pada tempatnya, jika sentiasa pemaaf hatta setiap apa jua yang diperlakukan orang terhadap dirinya sehingga hilang maruah diri, akhirnya orang akan mengeksploitasi sikap itu sehingga hina dan hilang harga diri, maka pemaaf seperti itu tidak wajar.
No comments:
Post a Comment