Rezeki daripada Allah S.W.T terbahagi kepada dua iaitu rezeki yang boleh dilihat, ditujukan kepada jasad kepada manusia. Sementara rezeki yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar adalah keperluan rohani manusia. Meskipun manusia diberi tubuh badan dan anggota sempurna, namun kesemuanya tidak akan dapat berfungsi sekiranya Allah S.W.T tidak memberikan suatu zat yang tidak boleh dilihat iaitu roh. Justeru, roh juga memerlukan rezeki yang tersendiri. Ia tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Sebagaimana tubuh yang lahir memerlukan rezeki, maka roh juga menginginkan rezeki bagi meneruskan fungsinya. Antara rezeki yang membahagiakan roh iaitu iman, taat, ibadat dan semuanya direzekikan oleh Allah S.W.T melalui wahyu yang disampaikan kepada rasulNya untuk diajarkan kepada seluruh umat manusia. Bagi mereka yang memberikan perhatian terhadap kesihatan roh, mereka akan memberikan makanan melalui iman, taat, ibadat dan seterusnya. Mereka tergolong dalam golongan terhadap anugerah Allah S.W.T. Merekalah sebenarnya manusia yang beriman. Sebaliknya orang yang tidak memperdulikan makanan roh, sudah tentu rohnya akan kurus dan mati sebelum jasad mereka menemui ajal.
Apa yang boleh dijadikan teladan oleh orang-orang yang beriman daripada sifat Allah Ar-Razzak. Antaranya mereka mestilah berusaha mendapatkan rezeki yang disediakan oleh Allah SWT, sama ada rezeki bersifat kebendaan atau pun rezeki untuk keperluan dan kesihatan rohani. Kemudian diedarkan kepada pihak lain sama ada dalam bentuk sedekah, merawat orang yang sakit, mengajar orang yang jahil, menasihati orang yang lalai, atau pun melalui urusan jual beli dan juga memberi hutang kepada mereka berhajat. Semua itu bererti mengagihkan rezeki kepada orang lain dalam pelbagai bentuk dan cara.
Bentuk-bentuk Rezeki
Ramai mengatakan rezeki adalah kekayaan material semata-mata. Harta yang melimpah ruah, wang ringgit berkepuk-kepuk, ternakan subur membiak dan sebagainya sering disinonimkan dengan makna rezeki. Sedangkan tafsiran sebegitu adalah kurang tepat mengikut konsep Islam.
Hakikatnya, rezeki menurut tafsiran dan pertimbangan agama Islam lebih meluas aspeknya berbanding pemahaman kebanyakan manusia hari ini. Rezeki mengikut Islam merangkumi segala kurniaan Allah SWT kepada hambaNya, sama ada yang berbentuk material mahu pun bukan material.
Dalam Islam, sinar matahari merupakan rezeki, roh yang bersatu dengan jasad adalah rezeki, jiran yang baik adalah rezeki, isteri solehah adalah rezeki, kemampuan menunaikan ibadat adalah rezeki dan banyaknya kemudahan serta keselesaan hidup dibumi ini adalah rezeki.
Dalam memperkatakan hubungan rezeki dengan kehidupan manusia, seseorang hamba dilarang melakukan maksiat. Ini kerana, maksiat merupakan penghalang utama untuk mendapat rezeki.
“Sesungguhnya diharamkan rezeki seseorang lelaki itu dengan dosa yang dilakukannya”. HR Ibni Hibban: 873
Ulama berselisih pendapat apabila memperkatakan tentang maksud hadis ini. Apakah rezeki yang dimaksudkan Nabi SAW itu adalah rezeki berbentuk material atau bagaimana?
Menurut satu ulasan, terdapat maksud ‘diharamkan rezeki’ merujuk kepada sekatan yang Allah SWT berikan terhadap rezeki yang berbentuk non-material. Contohnya Allah SWT menarik kebahagiaan hidup, kaya tanpa ketenangan dan banyak lagi.
Apa Yang Maha Pemberi Rezeki Mahukan?
Apa yang Allah SWT iaitu Tuhan yang memberi rezeki mahukan dari manusia adalah seperti berikut:
1. Allah SWT melarang menjamah makanan haram
Islam melarang sama sekali manusia itu makan makanan yang haram. Ini kerana, sikap tidak peduli tentang halal haram makanan kan member kesan buruk kepada kehidupan manusia. Ini termasuklah dari sudut kesihatan fizikal, mahupun kerohanian. Dengan memakan makanan haram, nisa mengakibatkan doa tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.
Sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya Allah SWT itu baik, dan tidak akan menerima melainkan perkara yang baik. Sesungguhnya Allah SWT menyuruh orang beriman melakukan perkara yang Allah SWT suruh para rasul lakukan. Firman Allah SWT; Wahai Rasul, makanlah perkara yang baik dan beramal dengan amalan soleh, sesungguhnya aku mengetahui dengan apa yang kamu lakukan dan juga firman Allah SWT; Wahai Orang-orang yang beriman, makanlah perkara yang baik dari apa yang kami rezekikan kepada kamu.” HRMuslim: 1638
2. Berusaha
Allah SWT menuntut agar manusia berusaha untuk mendapatkan harta yang halal. Allah SWT tidak akan memberikan sesuatu rezeki tanpa adanya usaha daripada mereka yang mengharapkan rezeki itu. Ibarat pepatah ‘yang bulat tidak dating bergolek, yang pipih tidak datang melayan’. Untuk mendapatkan sesuatu rezeki, ia datang dari hasil usaha manusia.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah sesuatu kaum, hinggalah kaum itu mengubah diri mereka sendiri.” Surah ar-Ra’d:11
Dalam berusaha mendapatkan rezeki, janganlah lalai daripada mengingati Allah SWT. Itu yang paling penting. Itu yang perlu diutamakan. Mencari rezeki adalah perkara wajib, jika ia menyebabkan seseorang itu lalai daripada mengingati Allah SWT, maka itu menjadikan haram.
Firman Allah SWT:
“Dihiasi bagi mereka yang kafir itu kehidupan dunia”. Surah alBaqarah:212
Reda Dengan Rezeki
Sebarang pemberian Allah SWT hendaklah dipenuhi dengan rasa kesyukuran dan keredaan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Manusia reda apabila rezeki yang didapati berbentuk material. Apatah lagi jika dia mendapatkan harta dalam jumlah yang banyak. Namun, amat sukar untuk mereka bersyukur dan reda.
Apa guna jika mempunyai harta yang banyak, tetapi hidup diselubungi kesusahan. Apa gunanya kaya, jika hidup dipenuhi kesengsaraan dan kerosakan akhlak ahli keluarga, anak yang derhaka, isteri atau suami yang nusyuz dan seumpamanya. Tiada erti kekayaan material lantaran ia tidak mampu menjadi medium untuk kita membina kehidupan yang harmoni dan sejahtera. Lebih malang, apabila dengan rezeki tersebut kita tidak mampu meningkatkan keimanan dan ketakwaan diri dan keluarga kepada Allah SWT.
Justeru, Islam meletakkan sesuatu asas yang penting dalam mencari rezeki, iaitu hendaklah meletakkan perasaan inginkan keberkatan disebalik rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Keberkatan ditafsirkan sebagai zat bagi makanan. Ada sebilangan manusia mempunyai badan yang gempal, tetapi mukanya pucat. Apabila ditanya, mengapa wajahnya pucat sedangkan dari fizikalnya terbuka mempunyai makanan yang cukup. Jawabnya, makanan yang dimakan tidak mempunyai zat.
Keadaan yang sama juga bagi mereka yang mempunyai harta yang banyak, tetapi tidak mempunyai keberkatan Allah SWT di sebalik kurniaan harta tersebut. Ini menyebabkan kekayaan yang melimpah ruah, tetapi tidak mampu memberikan kebahagiaan hidup, malah dipenuhi dengan kesengsaraan.
Persoalannya, bagaimana hendak mendapatkan keberkatan tersebut? Reda dengan pemberian Alah SWT adalah cara untuk mendapat keberkatan rezeki.
REDA bermaksud bercita-cita untuk mencapai yang lebih utama dengan kepuasan hati pada kenyataan diatas.
Orang yang reda adalah orang yang mempunyai perasaan berpuas hati dengan kondisinya setelah diusahakan semampu boleh. Reda tanpa usaha, jauh daripada reda yang berkonsepkan Islam.
Terdapat manusia yang tidak pernah reda dengan pemberian Allah SWT. Perkara ini diakui sendiri oleh Nabi SAW.
Memetik isi buku daripada Negara tetangga yang berjudul Dengan NamaMu Aku Hidup halaman 181 menyebut bahawa…”Reda adalah pintu yang besar disisi Allah SWT. Ia adalah tempat istirehat orang-orang yang beramal soleh dan ia adalah syurga dunia.” Demikian ungkapan Imam Ibnu alQayyim alJauziyyah.
Tanda-tanda Hati Reda
Ulama tasawuf ada menyebut bahawa hati yang reda mempunyai tiga tanda iaitu;
a) Tidak menggunakan peluang yang ada dengan sebebas-bebasnya melainkan beristikharah terlebih dahulu.
b) Tidak merasa azab dan penderitaan terhadap sesuatu ketetapan dari Allah SWT waima dibentangkan dengan kesusahan
c) Perasaan cinta terhadap Allah SWT tetap berkekalan walau ketetapan itu amat mencabar
Golongan Yang Reda
Nabi SAW pernah ditimpa dengan ujian yang pelbagai. Walaupun baginda adalah kekasih Allah SWT, tetapi ujian Allah SWT tetap datang bertubi-tubi menguji baginda. Antara ujian yang didatangkan kepada baginda adalah kematian puteranya yang bernama Ibrahim.
Saat dikurniakan putera kecil itu, Rasululah SAW amat gembira. Kegembiraan itu diterjemahkan apabila Rasulullah SAW sentiasa mengendong puteranya ke rumah para sahabat untuk diperkenalkan kepada mereka.
Ketika Ibrahim mencecahkan usia dua tahun, Allah SWT telah mengambil roh anak kesayangannya itu. Rasulullah SAW menangis dengan berita kewafatan anaknya. Sambil menangis Rasulullah SAW berkata:
“Sesungguhnya air mata mengalir dan hati bersedih. Aku tidak mampu mengungkapkan apa-apa melainkan apa yang Tuhanku reda sahaja. Dan sesungguhnya aku amat bersedih dengan pemergianmu wahai Ibrahim.” HR Buhkari:1220
Begitu juga keadaan yang berlaku kepada seorang tokoh ibadat yang bernama Fudhail bin Iyadh yang kematian anak lelakinya. Beliau adalah manusia yang jarang tersenyum, disebabkan sentiasa runsing untuk berhadapan dengan kematian.
Pun begitu, pada saat kematian anaknya, dia telah tersenyum, menyebabkan orang tertanya-tanya disebalik senyumannya itu.
Apabila ditanya dia mampu menjawab:
“Sesuatu yang dicintai Allah SWT, sudah pasti aku juga mencintainya. Hati kecilku mahu menangis, teapi kupaksakan diriku tersenyum agar aku tergolong dalam kalangan orang yang reda dengan ketetapan Allah.”
Apa yang pasti, segala musibah yang menimpa hendaklah disambut dengan perasaan reda kepada Allah SWT. Sesuatu musibah yang tidak didepani dengan keredaan, boleh menjerumuskan manusia kepada kekufuran terhadap Allah. Alangkah malang seandainya terjadi kepada kita. Nauzubillah. Jika kita reda, kita diberikan ganjaran pahala yang besar.
Firman Allah SWT:
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-rang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.” Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah: 155-157)
Demikian balasan pahala yang amat besar telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka yang reda dengan ketentuanNya. Apakah kita mampu berusaha kea rah itu atau tidak? Semoga kita mampu menjadikan hati kita reda dengan Allah SWT.
Badwi Yang Menyakini Rezeki Allah
Badwi adalah satu kaum dalam istilah Melayu meruju kepada orang asli. Jursteru dalam pengertian mudah, kaum Badwi ialah orang asli Arab. Orang Badwi adalah orang yang tidak mempunyai pendidikan dan tidak bertamadun. Pada zaman Rasulullah SAW, orang Badwi sentiasa dirujuk sebagai kaum yang mundur, ketinggalan dan dikaitkan dengan pelbagai tindakan yang tidak bertamadun.
Lantaran itu, jika kita merujuk hadis, banyak kisah-kisah telah menggambarkan beberapa tindakan orang Badwi yang tidak beradab. Seperti kencing di dalam masjid atau menjerit ketika memanggil nama Rasulullah SAW yang sedang berkhutbah dan banyak lagi.
Pernah diceritakan bahawa suatu hari, seorang Badwi telah mendengar satu firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dilangit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu.” Surah az-Zariyat: 22
Mendengar sahaja ayat ini, Bdwi tersebut terus berkata:
“Bernalah apa yang telah Allah ungkapkan itu.”
Beberapa bulan kemudian, turun sambungan ayat yang berbunyi:
“Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya yang dijanjikan itu adalah benar-benar (akan terjadi) seperti perkataan yang kamu ucapkan.” Surah az-Zariyat:23
Mendengar sambungan ayat tersebut, sambil menangis Badwi itu berkata:
“Apakah kalian tidak mempercayai akan kebenaran ayat yang sebelumnya. Sehinggakan Allah SWT terpaksa bersumpah? Padahal, ketika aku mendengar ayat yang pertamanya telah menyebabkan hatiku bertambah yakin tanpa sebarang syak lagi.”
Nah! Apakah maksud sebenar yang ingin Allah SWT tunjukkan kepada manusia melalui perlakuan Badwi ini? Apakah iktibar yang boleh ita kutip andai kita merenungi kisah ini?. Apakah ia hanya sekadar diriwayatkan bagi mengisi ruang keperlbagaian cerita kisah manusia zaman lampau tanpa ada sedikit pun hikmahnya?.
Sebenarnya, jika diperhatikan kepada kisah ini dengan mata fikir yang matang, pasti kita akan dapat menyinkap apa yang tersirat di sebaliknya. Asalkan akal fikiran kita mahu berfikir dan sentiasa bersedia menerima iktibar, pasti amat besar faedah yang dapat kita kutip.
Sejujurnya, ia menghantar pesan yang amat bermakna buat kita sebagai manusia. Betapa tingginya darjat manusia itu apabila mereka menumpahkan seluruh keyakinan tehadap Allah SWT melebih daripada segala-galanya. Itulah yang sebenar-benarnya.
Segala keyakinan ini tidak akan bias berlaku, melainkan manusia itu mempunyai hati yang bersih, jernih dan suci. Dengan kebersihan hati, telah menjadikan manusia menjadi muttaqin yang dijanjikan syrga oleh Allah SWT, waima dia dari kalangan badwi.
Sekalipun manusia itu dipandang rendah dikalangan manusia, ia bukan bermakna kedudukannya renah disisi Allah SWT. Inilah hakikat yang dapat kita pelajri daripada kisah ini. Keturunan dan kaum tidak pernah membatasi seseorang itu untuk mencapai kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT. Biarpun dipandang hina oleh manusia lain, ia tidak bermakna hina di sisi Allah SWT.
Sewajibnya kita yakin bahawa kemuliaan seseorang di mata manusia tidak pernah menjanjikan kemuliaan di Allah SWT. Kehebatan seseorang pada neraca perhitungan manusia tidak pernah menjanjikan kehebatan pada neraca perhitungan Allah SWT.
Kedudukanm kehebatan dan kemuliaan di sisi Allah SWT itu bergantung kepada keyakinan, keimanan dan ketaqwaan seseorang itu kepada Allah SWT. Seandainya dapat kita tumpahkan seluruhnya kepada Allah SWT, maka darjat kedudukan Allah SWT amat tinggi.
Sesungguhnya kemuliaan pada mata sesame manusia itu adalah sesuatu yang fana. Bahkan, dengan sedikit kesilapan sahaja ia akan melenyapkan segala pujiaan yang selama ini mereka berikan kepada kita. Malah, kemuliaan indera mata manusia tidak mampu menjamin kita untuk meraih keredaan Allah SWT. Sebaliknya, kemuliaan di sisi Allah SWT yang akan kekal dan menjanjikan kesejahteraan di hari akhirat kelak. Kemuliaan pada neraca perhitungan Allah SWT sebenarnya yang lebih agung. Kemuliaan mengikut perhitungan Allah SWT kelak yang akan membantu kita meraih keredaan Allah SWT.
Justeru, kemuliaan manakah yang ingin kita buru? Kemuliaan di mata atau perhitungan Allah SWT?
SELAMAT MEMBACA!
No comments:
Post a Comment