Allah SWT sengaja timbulkan perkara yang tiada dalam nas dalil, supaya minda dan akal kurniaan-Nya yang sangat bernilai dapat berperanan menyelesaikan sebahagian daripada urusan manusia. Akal menjadikan manusia sebagai ciptaan Allah SWT yang paling baik dan teristimewa yang dapat membezakan dengan makluk lain.
Apa gunanya minda dan akan jika tidak digunakan untuk berfikir. Bagaimana hendak berfikir jika semua perkara sudah diajar dan disediakan nas dengan selengkapnya oleh Allah SWT.
Islam agama yang sempurna diciptakan Allah SWT untuk semua manusia pada semua zaman hingga kiamat, Nabi SAW sebagai utusan-Nya daripada jenis manusia yang wajib menempuh kematian. Nabi SAW tinggalkan dua perkara iaitu al-Quran dan Sunnahnya, jika manusia berpegang dan beramal dengannya serta digunakan akal dalam perkara yang diperlukan. Nescaya akan selamat dapat bertemu Nabi SAW di pinggir telaga Khausar di akhirat kelak.
Dengan kebijaksanaan Allah SWT, sengaja ditakdirkan wjud perkara yang tidak mempunyai dalil nas selepas kewafatan Nabi SAW. Tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada akal manusia berperanan, menyelesaikan masalah yang berbangkit lantaran tiada nas dalil.
Justeru timbul kewajipan bermesyuarat seperti yang ditegaskan dalam Surah Ali Imran ayat 159, tetapi Tuhan tidak menyatakan peraturan bagaimana cara mesyuarat itu dilaksanakan. Untuk melaksanakan kewajipan mesyuarat itu sekali lagi akal manusia diberi peranan, untuk memikirkan cara dan peraturannya. Sama ada hendak mencipta sendiri atau bebas memilih daripada peraturan yang sedia ada dikalangan manusia sejagat. Maka, ambillah peraturan yang lebih beradab sejajar dengan peranannya untuk membawa Islam hingga ke hari kiamat.
Demikianlah peranan akal manusia untuk membincangkan apa jua perkara yang timbul dalam masyarakat manusia agar tidak jumud dan salah anggap terhadap perkara yang baruha muncul, yang tidak terdapat ketika hayat Nabi SAW.
No comments:
Post a Comment