Coretan kisah hidup sewaktu menginjak alam remaja ke dewasa. Saat manis ketika bersekolah di tingkatan 4 dan 5. Aku sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Jaya (SMKDJ). Belajar bersama-sama dengan teman untuk memburu cita-cita yang diidamkan. Ketika usia remaja, perasaan menyukai lelaki itu normal. Memendam perasaan tanpa pengetahuan teman-teman bahawa aku meminati seorang lelaki. Apabila bertemu dengan si dia, hati berdenyut kencang. Tandanya “aku sangat suka dengan dia”.
Di sekolah, aku diletakkan kelas sederhana sebaliknya si dia kelas pertama aliran sains. Ramai peminat, penampilan menarik, tutur kata sopan dan bijak. Terfikir juga macam mana ingin menyatakan hasrat hati bahawa aku sangat meminati dia (angan-angan). Alangkah indahnya menjadi orang bijak boleh terus memikat hati dia.
Suatu hari, pihak sekolah telah mengadakan pertandingan berbalas pantun di peringkat sekolah. Aku tidak meminati menyertai pertandingan itu. Atas desakan teman, aku terpaksa rela menyertainya. Aku tidak menyangka si dia juga turut menyertai pertandingan tersebut. Kami bertentang mata dan senyum. Sejak daripada itu si dia menyedari kehadiran aku di sekolah itu. Alhamdulillah Allah SWT mempertemukan jejaka idaman aku ketika itu.
Sejak pertandingan itu, aku dan si dia sering bertemu di majlis sekolah, kantin dan korikulum. Setiap kali bertemu terasa indahnya. Si dia berani menegur ku dan menghulurkan salam persahabatan. Kami memang rapat dan mengakui aku dan dia dilamun cinta sehingga tamat persekolahan.
Tamat persekolahan tamat juga cinta aku. Frust menonggeng!. Dia telah mendapat keputusan SPM yang cemerlang dan dikhabarkan akan menyambung pengajian di luar negara. Waktu terakhir melihat dia ketika mengambil keputusan SPM. Waktu itu teman mengejek dan berpesan “jangan mengulangi malang pungguk merindukan bulan. Bulan tak gugur, pungguk mati kesepian”.
Setelah beberapa tahun berlalu, kami bertemu semula di pusat membeli belah Bandar Utama. Pertemuan tanpa disengajakan. Kami bertaut semula cinta yang terputus di tengah jalan. Dia seorang lelaki berkerjaya, kaya, kacak dan bijak berbanding aku cuma sederhana. Seperti bak pepatah enggang sama enggang, pipit sama pipit. Sebab itu pipit tidak boleh terbang bersama dengan enggang. Apabila pipit jatuh ke bumi, sakitnya amat dahsyat. Doa seorang frust bercinta “Oh, Tuhanku, Kau cabut lah nyawa ku, aku tidak tahan bertapa sakitnya putus cinta”
Orang bercinta selalunya indah. Kami gembira, ketawa dan indahnya nikmat bercinta. Suatu hari, dia memberitahu bahawa keluarga ingin menjodohkan dengan kenalan keluarganya. Aku kira setaraf dengannya. Aku terdiam dan merasa tewas. Mana mungkin empunya emas sesaga seperti aku boleh menewaskan orang kaya kalau emas menjadi hitung nya. Tapi dia berkeras menolak gadis itu kerana mahu bersama dengan diriku. Dia kata sanggup menghadapi semuanya. Sejak itu, aku berasa sedih dan kecewa.
Beberapa hari kemudian, ibunya bertemu dengan aku. Ibunya seorang yang berhemah tinggi, bahasanya mulia. Dengan penuh santun nya, ibunya menceritakan tentang kasihnya dia kepada anak lelakinya. Aku mula mengerti. Akhirnya dengan hormat juga ibunya meminta memahami kasih sayang seorang ibu untuk melihat anaknya bahagia dan bahagia itu tidak ada kepada aku. Aku mengalah. Sejak peristiwa itu, aku berazam untuk membaiki hidup ini.
Kini dia bahagia dengan isteri dan anak. “Ah, bahagianya mereka”. Andai dapat aku undur waktu, aku tidak mahu bercinta dan bertemu dengan dia. Benarlah kata teman ku, cinta tidak semestinya bersatu. Mungkin ada jodoh yang terbaik untuk diriku.
No comments:
Post a Comment