Saturday, 27 November 2021

DOSA TERANG & TERSEMBUNYI



Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
A120
Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.(Al-An'aam 6:120)
Dalam menaksirkan ayat ini Mujahid berkata, Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW supaya meninggalkan perbuatan maksiat sama ada secara terang-terangan atau pun ia dilakukan secara tersembunyi. Dalam riwayat lain Mujahid berkata, tinggalkan perbuatan maksiat itu termasuk niat yang buruk yang tersembunyi di dalam hati walaupun zahir amalannya nampak baik. Namun oleh sebab niat yang tidak baik ia telah membatalkan kebaikan amalan yang dilakukan itu termasuk membuat sesuatu amalan baik kerana riyak menunjuk-nunjuk kepada orang lain bukan kerana Allah SWT. Hendaklah kamu menghindarkan diri daripada maksiat sama ada secara tersembunyi atau nyata, sedikit atau banyak.
Benda yang tidak baik sepatutnya orang yang mempunyai maruah diri dan bersih hati dan perasaan serta akal yang waras memahami perbuatan itu tidak baik sama ada dia orang Islam atau tidak kerana fitrah manusia (semula jadi) boleh merasainya.
Islam datang hanya untuk memberi panduan lebih jelas tentang mana yang baik dan mana yang buruk membetuli fitrah manusia itu yang mana ia ada pada orang Islam dan juga orang bukan Islam. Justeru Islam sebenar-benar panduan hidup manusia kerana menepati kehendak fitrah manusia itu sendiri.
Antara perbuatan maksiat yang besar ialah berzina. Zina boleh berlaku apabila seseorang lelak  melanggan pelacut atau perempuan yang tidak bermaruah dengan bayaran tertentu atau tanpa bayaran (sukarela). Ini zina yang jelas nyata. Manakala zina yang tidak nyata boleh berlaku di kalangan muhrim yang disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Semua perbuatan terkutuk yang Allah SWT tetapkan hukumannya di dalam hukum hudud yang mana semua manusia yang waras akalnya sama ada Islam atau bukan Islam mengatakan bahawa perbuatan itu tidak baik.
Apa lagi Allah SWT menjelaskan firmanya yang bermaksud:

A033


Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. (Al-A'raaf 7:33)
Allah SWT mengharamkan perbuatan buruk itu sama ada secara terang-terangan dilakukan atau secara tersembunyi. Semua itu mendatangkan keburukan kepada kehidupan manusia seluruhnya dan keturunan mereka. Justeru Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Ini kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa mereka akan dibalas terhadap apa yang telah mereka dilakukan.” (Surah al-An’am:120)
Yakni sama ada perbuatan jahat itu dilakukan secara terang atau sembunyi semuanya secara terang atau sembunyi semuanya mendapat balasannya yang setimpal di akhirat kelak. Bagi menjelaskan tentang maksiat atau perbuatan buruk ini Ibnu Kathir meriwayatkan hadis dari al-Nuwwas bin Sam’an yang berkata: 

Aku telah bertanyakan Rasulullah SAW tentang dosa atau perbuatan jahat lalu baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Keburukan (dosa) itu ialah apa yang ada kaitan (keburukan) di dalam dada kamu (hati kamu) dan ia ditegah daripada menyatakannya atau menyebarkannya di kalangan manusia.”
Setiap dosa yang berlaku di kalangan manusia ialah berpunca daripada kejahatan dosa yang tersembunyi di dalam hati mereka yang kemudiannya dizahirkan sebagai amalan. Ertinya hubungan amalan antara hati dan perbuatan zahir dan tingkah laku manusia mempunyai hubungan yang rapat dan tidak boleh dipisahkan. Sebab itu Allah menghukumkan kedua-duanya berdosa. Kejahatan yang tersembunyi di dalam hati manusia juga disifatkan sebagai dosa bukan apa yang zahir pada perbuatan manusia sahaja.
Apa lagi dosa syirik menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain di dalam hati manusia maka neraka lah balasannya kekal selama-lamanya di dalam neraka di akhirat kelak. Misal kata, seseorang itu berkata di dalam hatinya hukum hudud tidak sesuatu dilaksanakan zaman sekarang sedangkan dia bernama Islam dan sembahyang sebagaimana orang lain sembahyang. Dia sebenarnya tidak beriman dan balasannya ialah neraka jika tidak bertaubat. Inilah antara lain apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis tersebut.

No comments: