Tuesday, 21 July 2020

MUSAFIR YANG DI GALAKKAN

Allah SWT menegaskan bahawa telah dibentang ayat-ayatNya yang manzurah di muka bumi, tanda Maha Kekuasaan dan KepakaranNya mencipta seluruh alam maya (fil afaaq). Agar manusia menyakini kebenaran al-Quran sebagai hidayah dan tazkirah. Juga akui keagungan Allah SWT yang menurunkan Al-Quran kalamNya yang dibaca (maqruah). Di samping ayat yang dipandang (manzurah) agar jadi renungan.

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? (Fussilat 41:53)
Dalam Surah Fushshilat ayat 53 menegaskan bahawa diri manusia sendiri terdapat rahsia untuk mengetahui Maha Kepakaran Allah SWT mencipta manusia daripada tanah. Alangkah uniknya rahsia insan daripada tanah diproses hingga tercipta makhluk yang boleh berfikir serta bertutur dan sebagainya. Semua itu jadi tanda (ayat) menunjukkan ke Bijaksana Allah SWT.
Untuk mengetahui ayat-ayat Allah SWT yang manzurah di muka bumi dapat dipelajari rahsia ilmu yang berkaitan pelbagai pengalaman pakar sama ada dalam kajian sains dan sebagainya. Jika hasil kajian dapat mendekatkan dirinya ke arah mengenali dan meyakini Allah SWT Yang Maha Bijaksana bererti ia telah mendalami ilmu ukhrawi. Sebaliknya orang yang musafir kerana belajar ilmu agama tetapi niatnya untuk mendapat peluang yang lumayan ia tergolong dalam urusan duniawi meskipun kajiannya meliputi akidah dan syariah.
Musafir kedua ialah tujuan beribadat bererti ibadat Haji dan umrah di Makkah. Berjihad menentang pencerobohan atau khianat terhadap Islam. Musafir asas dua tujuan itu tergolong dalam urusan agama. Malangnya yang berlaku hanya peperangan antara golongan kapitalis dengan puak komunis atau antara sebuah negara dengan negara bangsa yang lain. Hingga persoalan jihad hampir tiada dalam pemikiran ummah sedangkan dalam kitab dan al-Quran disebut dengan jelas tentang kepentingan jihad. Menunjukkan ummah kian jauh daripada ajaran agama yang sebenar. Dijelaskan oleh sabda Nabi SAW yang bermaksud: “tiada musafir untuk ziarah masjid melainkan zirah kepada tiga buah masjid berikut iaitu masjid Nabi di Madinah dan Masjid Al Haram di Makkah serta Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis.” Hanya tiga buah masjid itu sahaja yang di anjur oleh Islam pergi menziarahinya untuk mencari iktibar serta mendapat keberkatan pahala seperti ditegaskan oleh hadis Nabi SAW. Melawat masjid-masjid silam bersejarah yang lain pada negara Islam di dunia ini hanya dapat melihat rupa bentuk dan seni binanya sahaja tetapi tiada janji berkat menziarahinya.
Musafir ketiga ialah kerana mengelak daripada perkara yang situasi menimbul kacau bilau agama. Musafir seperti itu baik bagi yang tidak terdaya mengatasinya. Dalam keadaan begitu jika ditunggu juga mungkin diri akan terjejas daripada pengaruh dan gangguan tersebut. Musafir bagi meninggalkan keadaan seperti itu adalah antara sunah Nabi SAW. Sebagaimana Nabi SAW dari Makkah dan berhijrah ke Madinah atas ziarah Allah SWT apabila gangguan dan permusuhan kaum musyrikin Makkah terlalu dahsyat terhadap Islam dan diri Nabi SAW. Musafir kerana mengenal dari suasana yang tidak mampu ditanggung itu adalah sunah para nabi-nabi dan rasul. Perjuangan Nabi SAW sentiasa dihiasi teknik dan taktik untuk mengelak diri menuju kepada keadaan lebih baik dan selamat. Nabi SAW pernah mengarahkan para sahabatnya pergi menyelamatkan imam dan Islam ke Habashah baginda juga pernah pergi ke Toif meskipun sambutan penduduknya amat menyedihkan.
Peristiwa bersejarah baginda SAW mengarah para sahabat hijrah ke Madinah akhirnya Nabi SAW setelah umat Islam selesai berhijrah diikuti Nabi SAW sendiri berhijrah diikuti Nabi SAW sendiri berhijrah ke bumi bertuah yang penduduknya lebih menghargai dakwah Nabi SAW.
Tinggal diri Nabi SAW serta bapa mentuanya dan Sayidina Ali bin Abi Tolib hijrah baginda SAW hanya setelah para sahabat selamat meninggalkan bumi Makkah. Adalah menjadi resam budaya golongan salaf meninggalkan kampung halaman bimbang kepada fitnah dahsyat yang tidak upaya untuk diatasi. Antara fitnah itu ialah harga barangan keperluan melambung mahal, musafir ke negeri yang harga barangannya murah. Lebih menyelamatkan agama dan mengurangkan dukacita kerana dapat elak daripada beban berat.
Yang keempat ialah musafir kerana menghindari wabak penyakit yang boleh mencacatkan tubuh badan sebagaimana pendapat Umar Al Khattab iaitu lari dari qada Tuhan kepada satu qada yang lain. Ataupun musafir kerana menghindari krisis ekonomi yang dahsyat kepada suatu tempat iklim ekonominya lebih cerah dan baik. Bagaimanapun dari segi pentadbiran negara kepada golongan profesional seperti doktor dan sebagainya tidak digalak meninggalkan negara semata-mata kerana keuntungan lebih kerana ia boleh menjejaskan kestabilan negara.
Wajar diadakan peraturan agar golongan profesional itu tidak berhijrah atas dorongan cari keuntungan semata. Kepentingan masyarakat dan negara perlu diutamakan lebih daripada kepentingan peribadi.

No comments: