Thursday 10 November 2011

PENGORBANAN NABI ISMAIL A.S



Sejarah 5000 tahun dahulu bagaimana Nabi Ismail a.s. telah dengan rela hati meminta ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. mengikuti perintah Allah SWT agar dia dikorbankan sering disebut-sebut oleh manusia. Kita tahu bagaimana di saat-saat akhir, Allah SWT telah menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan seekor biri-biri, yang akhirnya menjadi korban.

Apa yang harus kita ingat ialah pengajaran. Cuba kita fikirkan bagaimana peritnya perasaan si bapa, Nabi Ibrahim a.s. yang harus mengetepikan naluri kebapaan nya yang terlalu mengasihi anaknya demi mengerjakan perintah Tuhan. Pengorbanan inilah yang diperlukan dengan mengetepikan perasaan sendiri demi sesuatu yang lebih besar dari diri kita sendiri yang harus kita ingati dan kita amalkan. Subhanallah.

·   Pengajaran kisah Nabi Ismail a.s ialah kita dituntut untuk bersabar segala dugaan, berteduh dengan iman

·    Kita mudah menyebut ikhlas. Adakah keikhlasan kita itu sampai kepada Allah SWT iaituTuhan Yang Esa. Keikhlasan hati datangnya dari hati manusia kepada penciptanya.

·   Nabi Ismail a.s mengenal dirinya sendiri dan mengetahui bahawa dirinya adalah kepunyaan Allah SWT. Baginda tahu bahawa kita tidak miliki apa-apa pun. Oleh itu, ungkapan ‘Aku Punya’ berubah kepada ‘Allah Punya’. Kita hanya pinjaman dan semuanya akan kembali kepada Allah SWT

·         Allah SWT menuntut kita berkorban masa 50 minit sehari untuk bersolat, korban harta dan sebagainya. Sebaliknya, kita sukar untuk berkorban kerana menganggap ‘Aku punya, Aku hebat’, ‘Aku Besar’ dan lupa diri kita empunya Allah SWT.

Firman Allah SWT:

Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). Surat Al-Kawthar

·         Nabi Ismail memiliki wawasan untuk mencapai redha Allah SWT di akhirat iaitu syurga. Oleh itu, kita seharusnya mempunyai wawasan untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Melaksanakan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. Sesungguhnya azab amat dahsyat. 

Saya beranggapan dengan kesibukan menangani masalah keduniaan, wajar kita diperuntukkan waktu dalam urusan kerohanian. 

A.K. Brohi, pemikir dan sarjana undang-undang Pakistan pernah mengingatkan  pesanan ahli sufi Sindhi berdasarkan Hadis Rasulullah saw. Menurutnya, ibarat sekuat besi di dalam air; akhirnya berkarat jua! Justeru wajib diangkat dan diselaputi minyak dari masa ke masa sebelum dibenamkan semula di dalam air. Begitu juga kita aktivis yang bergelut dalam kancah politik, perniagaan atau sebarang lapangan, harus ada waktu beruzlah, munajat dan memperkuat aqidah (iman amiq) dan kerohanian.

Marilah kita mengambil iktibar dari kisah-kisah ini dengan menanamkan semangat, perteguhkan iktikad, dan janganlah kita asyik memikirkan diri sendiri hingga melupakan perintah-perintah Allah untuk berbuat baik sesama kita, untuk menegakkan keadilan dan menentang kebatilan. Mudah-mudahan kita dapat mengasah kesedaran yang sama di kalangan umat Islam.

No comments: