Saturday 26 November 2011

PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1433H

Alhamdulillah, hari ini umat Islam menyambut kedatangan tahun baru 1433 Hijrah.
Konsep hijrah hari ini menuntut kepada perubahan demi kemajuan  individu, masyarakat dan negara berlandaskan pemikiran yang kreatif dan inovatif. Ini memerlukan keazaman, kemahiran, kecekalan dalam usaha ke arah kemajuan.
Pertembungan di antara kebenaran dan kebatilan yang memerlukan hijrah sebagai satu gerak permulaan membawa seribu makna dan iktibar untuk semua pejuang kebenaran dan keadilan.
Rasulullah SAW telah membina sebuah tamadun dan pemerintahan yang berteraskan keadilan, kebebasan, integriti dan prinsip tadbir urus yang baik. Selain menjamin hak umat Islam, pentadbiran Rasulullah SAW juga turut memelihara kebajikan golongan bukan Islam dan kaum Yahudi yang sebelum ini begitu mencurigai sistem keadilan Islam.
Jika direnung kembali konsep pentadbiran Rasulullah SAW, — meski pun Baginda berbangsa Arab Quraisy — tidak pernah sekali pun Baginda melebih dan meletakkan keutamaan kepada kaumnya semata-mata. Baginda juga tidak pernah melaung-laungkan slogan perkauman atau retorik ‘ketuanan Arab’ dalam usaha mendapatkan sokongan dari penduduk Madinah.
Kita perlu melakukan pengorbanan untuk membawa perubahan. Ini kerana tiada perubahan yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah suatu tuntutan dalam kehidupan manusia. Ia meliputi perubahan daripada perkara yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik.
Sempena menyambut kedatangan tahun baru Hijrah hari ini, saya mengucapkan Salam Ma’al Hijrah buat seluruh umat Islam.



No comments: