Orang yang buta mata hati tidak dapat memahami peringkat bersuci. Hanya mengerti tahap rendah iaitu taharah luaran sahaja. Hanya menumpu luaran menghabiskan masa untuk beristinjak dan membasuh kain. Tanpa prihatin terhadap kebersihan yang bersifat batin.
Sayidina Umar Al-Khattab tidak menyusahkan diri dengan meragui kebersihan dan kesucian air dari kendi orang Nasrani bagi tujuan berwuduk. Para sahabat sering mengerjakan solat di atas tanah di dalam atau luar masjid tanpa bimbang kesucian dan kebersihan tanah kerana mereka tahu bahawa sifat semula jadi tanah itu suci.
Ramai orang hanya memikir kebersihan anggota zahir. Mereka tidak peduli kebersihan rohani sama ada rezeki yang di makan hasil daripada sumber halal atau haram. Malangnya ramai orang tidak peduli kebersihan di hatinya dari najis hasad, takabbur, ujuk, jahil, riyak dan nifak.
Kita tidak merasa jijik apabila mendirikan solat dengan keburukan sifat mazmumah dan kejahilan yang terbeban dalam hatinya bersama solatnya. Walau bagaimanapun, kebersihan zahir itu tidak diabaikan meskipun ia merupakan kebersihan yang paling terkebawah di sisi ulama terdahulu berbanding kebersihan yang bersifat rohaniah.
Bersuci yang zahir terbahagi kepada tiga (3):
- Suci dari perkara keji – berkait dengan tandas iaitu syaitan. Dedah aurat dalam tempat yang cemar seperti tandas juga dikira keji kerana ia boleh memberi peluang kepada syaitan untuk berperanan. Oleh itu Nabi SAW mengajar sebagaimana doa ketika hendak memasuki tandas.
“Ya Allah Ya Tuhanku, aku minta perlindungan Mu dari khubuts dan khabaits”
- Suci dari hadas besar dan kecil
- Suci dari “fadhulatilbadani” seperti daki, kuku panjang. Disucikan dengan mandi atau membasuhnya untuk mengelak terkumpul najis yang terlindung.
Kebersihan yang zahir belum memadai selagi hati belum dibersihkan kerana disatukan tempat (fokus) pandangan Allah SWT kepada makhluknya. Oleh itu, berasa malu menghadap Allah SWT dalam keadaan kekotoran mazmumah. Maka, orang itu sedar dengan membersihkan hati hanya bertaubat, suci bersih dari sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah SWT. Perangai yang dibenci adalah jahil, sombong, dengki, dendam, khianat dan seumpamanya. Justeru itu, berperangai dengan sifat mahmudah itu lebih baik daripada menumpukan kerja terhadap kebersihan zahir dan batin.
No comments:
Post a Comment