Secara umum etika dan pembangunan adalah dua
perbincangan yang berlainan. Kedua-dua perkataan ini apabila digabungkan akan
membawa kepada perbincangan yang tidak menumpukan kepada pengertian
kedua-duanya secara berasingan tetapi tetapi membawa suatu pengertian yang
baharu.
Walaupun istilah etika pembangunan memberikan
maksud yg lebih menyeluruh dan bertepatan dengan maksud untuk memberi suatu
orientasi baru kepada amalan dan perspektif pembangunan namun dalam konteks
pembelajaran kursus ini kedua-dua istilah diguna pakai.
Pembangunan dalam erti yang luas membabitkan
transformasi manusia dan persekitarannya daripada satu tingkat yang rendah
kepada tingkat yang lebih tinggi. “A
progression from a simpler or lower to a more advanced, mature, or complex form
or stage” (The American Heritage Dictionary).
Dalam bahasa Inggeris digunakan juga perkataan
evolution, progress, advancement dll. Dalam bahasa Arab istilah seperti
taqaddum (maju ke hadapan, kemajuan), tanmiyyah (pertumbuhan/ pembesaran),
hadharah (kehidupan menetap-perbandaran) digunakan seperti taghayyur
(Perubahan).
Definisi pembangunan? Semenjak perang dunia
kedua, istilah pembangunan membawa erti yang luas, meliputi segala usaha
membangun, memajukan, mengembangkan diri (individu), masyarakat dan alam
sekitar. Namun Wan Mohd Nor Wan Daud (2001) mentakrifkan pembangunan sebenar
mengisyaratkan suatu kegiatan penting dan terancang yang menghasilkan kebaikan.
Dengan kata lain, ia merupakan suatu gerak dari keadaan buruk kepada baik,
daripada keadaan baik kepada lebih baik dan yang mengekalkan kebaikan tersebut.
Menurut beliau, mutu sebenar pembangunan
sesuatu bangsa bergantung pada mutu pembangunan diri perseorangan dan
masyarakat bangsa tersebut serta kesan-kesan dan bekas-bekas yang ditinggalkan pada
masyarakat lain dan alam persekitarannya. Kesan-kesan dan bekas-bekas ini bukan
sahaja terbatas pada hasil-hasil jasmaniah, jasadiah, dan kesan-kesan pada alam
semata-mata, malah lebih utama lagi, harus meliputi perkara-perkara akhlak dan
moral manusia seluruhnya. Beberapa ‘key word’ berkaitan perspektif tentang
Pembangunan: Proses perubahan dan transformasi, Menghasilkan kebaikan, Melibatkan
diri perseorangan, masyarakat dan alam persekitarannya.
Bertitik tolak drpd pengertian tersebut maka
beberapa perkara dan persoalan asas dalam pemikiran Pembangunan:·
Pembangunan adalah sifat tabii manusia, ·
Manusia dibekalkan dengan keupayaan akal budi
bagi menentukan survival, ·
Alam diciptakan untuk manfaat manusia, ·
Pembangunan tidak beradab akan menyebabkan mudarat
kpd manusia.
Adakah semua pembangunan membawa kebaikan kepada
manusia? Sekiranya pembangunan bermaksud suatu perubahan yang membawa kebaikan
kepada manusia, maka adakah apabila perubahan itu membawa mudarat, maka ia tidak
lagi dinamakan Pembangunan.
Salah Faham Tentang Konsep Pembangunan
Walaupun dalam perbendaharaan kata Melayu
perkataan pembangunan bersumberkan kata dasar “bangun” namun persepsi umum
sering melihat pembangunan sebagai suatu yang dikaitkan secara langsung dengan
“bangunan”.
Hasilnya, setiap kali bercakap tentang
pembangunan, maka yang terakam dalam pemikiran dan persepsi umum adalah
bangunan-bangunan yang bersifat fizikal dan nampak “visible”. Ini adalah fahaman yang silap kerana pembangunan
yang dimaksudkan tidak terhad kepada yang bersifat fizikal sahaja tetapi
termasuk juga yang bersifat spiritual.
Perbincangan tentang konsep pembangunan juga
sering memisahkan antara pembangunan fizikal dan non fizikal. Walaupun
perbincangan melibatkan konsep pembangunan ini bolehlah dibahagikan kepada dua
iaitu:- Pembangunan Fizikal/Material (Ekonomi, Alam
Sekitar, Industrialisasi dan Urbanisasi). Pembangunan non Fizikal (Manusia, Pendidikan,
Spritual, Psikologi, Sosial dan Budaya). Namun perbincangan berkaitan ttgnya
tidak boleh dibahaskan secara terpisah dan berasingan kerana kedua-dua elemen
ini saling lengkap melengkapi.
Beberapa Persoalan Dalam Etika Pembangunan
Sekurang-kurangnya terdapat 2 persoalan asas/
fundamental dalam etika pembangunan yang memerlukan jawapan moral
Persoalan pertama:- Apakah yg dimaksudkan
dengan pembangunan yang baik ? (Apabila membicarakan ttg baik dan buruk, maka
perbincangan pembangunan telah melibatkan perbincangan etika). Ini kerana
terdapat pembangunan yang gagal memenuhi tujuan/matlamat asal pembangunan iaitu
memberi kesejahteraan dan ketenangan kepada manusia.
Persoalan kedua:- Apakah yang dimaksudkan
dengan kesejahteraan? (Konsep kesejahteraan dan kebahagiaan juga merupakan
perbincangan etika). Kerana apa jua proses dan strategi pembangunan harus
memberi pertimbangan kepada matlamat akhir pembangunan, kerangka nilai yang
digunakan dalam perancangan strategi dan dasar, bagaimana meletakkan keutamaan
dan bagaimana menangani masalah sekiranya timbul masalah.
Daripada persoalan asas pembangunan ini maka
dapat difahami mengapa etika, nilai, adab, akhlak merupakan aspek yang tidak
boleh ditinggalkan dalam proses pembangunan dan merasionalkan kenapa etika
pembangunan merupakan wacana penting dalam era modernisasi dan globalisasi.
ETIKA PEMBANGUNAN: SATU DISIPLIN BARU DALAM
ILMU DAN SAINS PEMBANGUNAN
Etika pembangunan (development ethics).
Perbahasan akan ditumpukan kepada huraian dan penjelasan tentang latar belakang
yang mencetus dan seterusnya membawa kepada berkembangnya wacana tentang etika
pembangunan.
Ilmu atau wacana tentang pembangunan hanya
bermula sesudah berlakunya revolusi industri dan secara khusus selepas perang
dunia kedua. Pada ketika ini, kebanyakan negara terutamanya yang baru merdeka
sedang melalui proses merangka dan melaksanakan agenda pembangunan
masing-masing.
Di pentas politik antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) sebagai badan induk yang mengiktiraf dan mengklasifikasikan
negara-negara bangsa yang baru muncul kepada beberapa kategori seperti negara
maju, negara sedang membangun dan negara mundur. Terdapat juga pembahagian yang
berasaskan geo-politik seperti negara dunia pertama dan negara dunia ketiga,
negara utara dan negara selatan dan Blok barat dab blok timur.
Oleh kerana negara-negara mundur dan negara
sedang membangun sedang dalam proses membina keupayaan untuk membangun, maka
agenda pembangunan merupakan sesuatu yang menjadi agenda utama bagi
negara-negara ini. Atas sebab ini maka wacana pembangunan mengambil tempat
sebagai wacana penting dalam proses pengkayaan ilmu dan pemerkasaan
pengetahuan.
Di Malaysia, wacana pembangunan menjadi
landasan penting pembinaan tradisi ilmu di peringkat pengajian tinggi dan
ilmu-ilmu sosiologi, antropologi, politik dan ekonomi mengambil tempat utama
dalam kurikulum pengajian tinggi sejak 4-5 dasawarsa yang lampau.
Namun demikian etika pembangunan, sebagai suatu
wacana yang khusus masih agak baharu. Pengalaman negara-negara maju dalam
mengendalikan agenda pembangunannya menimbulkan beberapa persoalan dan
memerlukan penilaian semula. Ini kerana,
terdapatnya kepincangan-kepincangan dalam proses memaju dan membangunkan
masyarakat dan negara yang telah dialami oleh negara-negara maju. Isu-isu
termasuk alam sekitar, masalah sosial, kemiskinan, ketidak seimbangan sosial,
ketidak harmonian sosial dan sebagainya menghantui negara-negara yang dikatakan
sudah maju itu.
ETIKA PEMBANGUNAN
Dalam mana-mana wacana etika selalunya sebagai
suatu subjek yang bersifat “subversif”. Ini kerana etika dalam banyak keadaan
dilihat atau digunakan sebagai alat menguku dan kemudian “menghukum” sesuatu.
Ini menjadikan etika dilihat sebagai suatu disiplin yang sering membawa imej
“negatif” dan banyak mengadungi “larangan”. Selanjutnya, etika pembangunan
sudah tentulah dilihat sebagai sesuatu yang boleh memberi kesan kepada
pembangunan.
Etika pembangunan sebagai suatu sains merupakan
suatu disiplin baru yang mula berkembang melalui beberapa tokoh semasa seperti
Denis Goulet dan David Crocker. Oleh yang dalam menakrifkan etika pembangunan
kita tidak dapat tidak harus merujuk kepada tulisan-tulisan mereka.
Secara amnya etika pembangunan adalah
penggunaan neraca etika dalam proses, cara atau kaedah dan matlamat
pembangunan. Ini bererti proses memasukkan elemen etika dalam pemikiran
pembangunan bagi membolehkan para perancang dan pelaksana pembangunan merancang
dan melaksanakan pembangunan dengan berhemat dan berhikmat dan mengurangkan
mudarat dan kesan negatifnya.
Ini penting disedari kerana pembangunan sering
berhadapan dengan dikotomi antara kepentingan pembangunan dan kesan negatifnya
kepada manusia. Setiap manusia menghendaki pembangunan. Namun demikian apakah
bentuk pembangunan yang sepatut dan sewajarnya dibangunkan? Bagaimanakah bentuk
persekitaran yang sepatutnya diwujudkan?
Setiap masa kita sering mendengan melalui media
rungutan dan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat akibat kesan
pembangunan yang dikatakan menyebabkan mereka hidup tidak selesa. Sekiranya ini
berlaku, apakah ertinya pembangunan? Apakah segala implikasi negative yang
mungkin timbul disebabkan kerja-kerja pembangunan itu harus diterima seadanya
sebagai “collateral” kepada Pembangunan.
Atas asas inilah maka disiplin etika
pembangunan itu dikembangkan. Ini bertujuan memberikan landasan dalam bentuk
teori dan praktis akan arah adan hala tuju pembangunan bagi membolehkan manusia
hidup selesa dengan pembangunan yang berlandaskan etika. Bagi Denis Goulet,
para ahli etika pembangunan pun sehingga kini masih lagi dalam proses
memperkemaskan ruang teoretikal nya dan dalam masa yang sama terus menghasilkan
tulisan dan pandangan bagi memantapkan lagi disiplin ini.
Dalam konteks ahli politik atau pemerintah,
disiplin ini adakalanya dianggap subversive kerana banyak mendedahkan
perkara-perkara yang selalunya tidak disukai oleh mereka. Mungkin juga disiplin
ini telah berkembang sebagai response kepada lerosakan yang telah berlaku
dinegara maju di mana kebanyakan sumber alam telah diterokai atas nama
pembangunan. Pembangunan seolah-olah menjadi satu kalimah yang memberikan
harapan palsu kepada manusia, membangun untuk kemudiannya menempah kerosakan
dan musibah.
Isu-isu yang terdapat dalam banyak negara
didunia, khususnya dunia ketiga yang melibatkan pendidikan, kemudahan asas,
kemiskinan, kelaparan, ketidak adilan, dan segala macam masalah sosial dan
kemanusiaan yang sedang dihadapi pada masa kini. Selain itu isu-isu lain seperti kerosakan
alam, kepanasan dunia, bencana dan sebagainya adalah amat berkaitan dengan
etika pembangunan.
Atas asas ini maka tokoh-tokoh termasuk Goulet,
Joseph Lebret dan Gunner Myrdal mengemukakan pandangan mereka bahawa
pembangunan perlu dibahas dalam konteks dan kerangka moral dan etika.
Rumusan, bertujuan memberikan pendedahan kepada
pelajar tentang disiplin etika pembangunan sebagai satu disiplin “baru” dalam
sains pembangunan.
PEMBANGUNAN DARI PERSPEKTIF HOLISTIK (SEIMBANG,
SEPADU DAN BERADAB)
Salah satu konsep yang diperkenalkan dalam
wacana pembangunan moden adalah apa yang diistilahkan sebagai pembangunan
holistik. Maka perbincangan dalam unit ini akan memberi tumpuan kepada
bentuk-bentuk pembangunan dalam perbincangan pembangunan holistik iaitu
pembangunan seimbang, bersepadu dan beradab.
Mendalami pemikiran beberapa orang pemikir dan
sarjana yang berwibawa dalam falsafah dan pemikiran tentang pembangunan moden
maupun klasik seperti Sayyid Hussein al-Attas, al-Farabi dan Ibn Khaldun bagi
membantu pemahaman yang lebih mendalam mengenai konsep pembangunan holistic.
Maksud holistic?. Etimologi – holistic menyeluruh.
Bahasa Inggeris, holistic (balanced, integrated, sustainable, ethical,
civilized). Holistik + Pembangunan (=pembangunan yang bersifat menyeluruh yang
merangkumi segala aspek & faktor yang berkaitan dengan kehidupan manusia
daripada fizikalnya, persekitarannya
sehinggalah kepada soal psikologi jiwa dan kerohanian).
Kita perlukan pembangunan yang bersifat
holistik kerana perspektif holistik melihat pembangunan dalam kerangka yang
paling luas dan meyeluruh meliputi segala aspek yang berkaitan dengan kualiti,
keperluan dan persekitaran hidup manusia. Kerana sifat manusia yang tidak
putus-putus mencari jawapan kepada persoalan keperluan fitrah, naluri dan nafsu
bagi melengkapkan citarasa kehidupan mereka.
Manusia akan sentiasa menggunakan keupayaan
inteleknya mencari jalan bagi mewujudkan suasana persekitaran yang paling ideal
yang terjangkau oleh pemikiran mereka. Cetusan pemikiran pembangunan holistik
menjurus kepada pembangunan yang memberikan keselesaan, kesejahteraan dan
kedamaian kepada penghuninya bukan kemusnahan dan kemudaratan. Holistik
perlukan keseimbangan, kesepaduan dan adab.
Apakah yang di maksudkan pembangunan seimbang
(balanced development)? Pembangunan seimbang- beri konsep yang lebih menyeluruh
tentang Pembangunan. Meletakkan kedudukan tiap-tiap unsur dan faktor yg menjadi
tonggak membentuk pembangunan pada tempat yang betul secara saksama.
Kerana konsep dan manifestasi pembangunan
adalah berpasang-pasang seperti maju-mundur, kaya-miskin, desa-bandar dsbgnya. Antara
aspek-aspek lain yg terlibat dlm pembangunan adalah: Manusia ( rohani &
jasmani, mental & emosi, individu & komuniti). Persekitaran/ ekosistem
(komponen fizikal-alam semulajadi & komponen biologi-hidupan), Ekonomi
(makro & mikro), Pendidikan, Politik, dan Budaya.
Bagi mencapai pembanguan seimbang perlukan
perancangan yang teliti dengan mengambilkira dari perkara yang paling asas
iaitu falsafah, nilai hinggalah kepada matlamat. Pembangunan seimbang penting
kerana ia menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan manusia.
Apakah yang di maksudkan pembangunan bersepadu
(integrated development)?. Dari segi terminologi bersepadu bermaksud
mengintegrasikan pelbgai elemen yang membentuk satu kesepaduan. Beberapa elemen
yang asalnya terasing dan tiada kaitan antara satu dengan yang lainnya
diletakkan sekali dalam satu kesatuan dan membentuk satu entiti yang kuat
disebabkan proses integrasi tersebut.
Maka pembangunan bersepadu adalah pembangunan
yang mengintegrasikan segala elemen yang penting dalam proses dan strateginya. Konsep
pembangunan bersepadu melahirkan pelbagai konsep-konsep lain dalam memastikan
setiap bidang yang dibangunkan bersifat sepadu contohnya seperti pembangunan
mampan/lestari.
Apakah pembangunan mampan? Mengikut Brundtland
Report 1987: Pembangunan mampan ialah pembangunan yang dapat memenuhi keperluan
pada masa sekarang tanpa menjejaskan keupayaan memenuhi keperluan pada masa
depan. Pembangunan bandar yang mampan harus dijalankan dengan mengambil kira
keupayaan menampungnya; pengambilan sumber, pengagihan bahan buangan serta
kadar pencemaran yang dicetuskan ke atas bandar dan kawasan sekelilingnya.(White
& Whitney, 1992). Pembangunan bandar yang mampan perlulah mengambil kira
keadilan sosial, keperluan manusia asas, kesihatan awam, kesedaran persekitaran
dari segi ruang dan masa. Salah satu cara untuk mencapai pembangunan mampan
tersebut adalah melalui kesihatan ekonomi bandar. Justeru itu, aktiviti
ekonomi, peluang pekerjaan dan kemiskinan perlu diambil perhatian dan
daripadanya peranan aktiviti informal serta perdagangan skala kecil(petty
commodity sector) menjadi penting.(David Drakakis-Smith, 1995).
Matlamat Pembangunan Mampan: Pemuliharaan
Sumber, Pembangunan Fizikal, Kualiti Alam Sekitar, Kesaksamaan Sosial. Maka konsep pembangunan bersepadu ini amat
penting bagi memastikan sesuatu proses pembangunan tidak tidak tersasar
daripada matlamat asalnya tanpa disedari.
PEMBANGUNAN BERADAB
Apakah yang di maksudkan pembangunan beradab
(civilized/ethical development)?. Ia merupakan cetusan kepada pembinaan suatu
paradigma baru dalam wacana mengenai pembangunan masakini. Pembangunan yang
menekankan soal kemanusiaan kerana pembangunan yg sudah hilang wajah
kemanusiaannya, ia tidak lagi boleh dianggap Pembangunan.
Apakah yang di maksudkan pembangunan beradab
(civilized/ethical development)?. Ia merupakan cetusan kepada pembinaan suatu
paradigma baru dalam wacana mengenai pembangunan masakini. Menganjurkan
pembangunan yang menekankan soal kemanusiaan kerana pembangunan yg sudah hilang
wajah kemanusiaannya, ia tidak lagi boleh dianggap Pembangunan. Pembangunan
beradab adalah pembangunan yang meletakkan nilai pada tempat teratas. Manusia
harus memikul tanggungjawab atas apa jua bentuk dan rupa pembangunan. Sekiranya
pembangunan memberi mudarat maka manusia perlu berusaha memperbetulkan
mana-mana yang silap. Maka masyarakat manusia perlu melakukan sesuatu secara
bersama untuk memastikan perubahan yang berlaku atas nama pembangunan menepati
falsafah dan prinsipnya.
PEMBANGUNAN HOLISTIK
Antara persoalan yang sering ditimbulkan
tentang pembangunan holistik ialah apakah ianya boleh diwujudkan atau apakah
ianya adalah impian kosong yang tidak mungkin dapat direalisasikan?. Kerana
terdapat golongan manusia yang menolak pembangunan atas nama “kebahagiaan” kerana
mereka beranggapan pembangunan boleh menyebabkan manusia “tidak bahagia”. Apakah
bentuk pembangunan yang sebenar?
Bagi menghuraikan persoalan ini kita boleh
merujuk kepada beberapa tulisan dan pandangan sarjana.
1. Sayyid
Hussin al-Attas
Dalam makalahnya berjudul “Pembangunan dan Cita
Sempurna” Sayyid Hussin menggunakan istilah cita sempurna bagi menggarap
pemikiran tentang pembangunan yang dimaksudkan. Menurut beliau cita sempurna
adalah pandangan hidup yang menyeluruh bertujuan mewujudkan masyarakat
sempurna. Beliau mengemukakan lima syarat yang menjadi teras bagi mewujudkan
masyarakat sempurna:-Pertama, pembangunan itu mesti mempunyai sifat insaniah, Kedua,
pembangunan mesti dilaksanakan oleh pemimpin yang jujur, Ketiga, anggota mesti
mempunyai kefahaman dan kesedaran tentang Pembangunan, Keempat, pembangunan
mesti didasarkan kepada ilmu dan Kelima, pembanguan itu mesti memiliki ciri
estetika
2. Abu
Nasr Al-Farabi
al-Farabi yang mengemukakan konsep madinah
al-fadilah (the ideal state). Dalam huraiannya al-Farabi mengumpamakan sebuah
negara dengan tubuh manusia yang mana segala bahagian anggota memainkan peranan
seperti yang ditentukan setiap satunya. Apabila kesemua angota dapat memainkan
peranannya seperti yang ditentukan kepadanya maka manusia itu dapat berfungsi
dengan sempurna.
Mengikut pandangan al-Farabi, persoalan sama
ada pembangunan holistik yang
dimaksudkan dapat dilaksanakan atau tidak seharusnya tidak berbangkit. Ini
kerana konsep pembangunan sempurna itu pun merupakan sesuatu yang tidak
realistik kerana manusia adalah makhluk yang lemah dan jauh sekali dari
kesempurnaan. Manusia sebagai sifatnya makhluk yang lemah perlu mengambil daya
usaha untuk mewujudkan pembangunan diri dan persekitaran sebaik dan secanggih
yang mungkin.
3. Ibn
Khaldun
Ibn Khaldun berpendapat wacana pembangunan
perlulah dibina dalam kerangka sejarah. Ini kerana pembangunan adalah bersifat
penerusan (continuity) manakala sejarah pula adalah ilmu yang membahaskan
proses yang merangkumi:-sebab dan asal usul bagaimana dan mengapa sesuatu
proses perkembangan peradaban mencapai tahap kemajuan. Bagaimana pula proses
ianya menghadapi kemunduran.
Ibn Khaldun mengemukakan teori kitaran
(cyclical) bagi menjelaskan proses ini.Kitab Muqaddimah adalah gambaran
pemikiran Ibn Khaldun dalam mengemukakan idea, prinsip, dan segala aspek yang
berkaitan dengan proses itu ~ punca kejayaan dan keruntuhan sebuah dinasti,
negara, atau peradaban. Dalam analisis Ibn Khaldun, kejayaan dan keruntuhan
bukan hanya tergantung pada faktor ekonomi, tetapi juga tergantung pada
faktor-faktor lain yang menentukan kualiti, pemerintahan (psikologi, politik,
ekonomi, sosial, demografi, sejarah).
Dalam Muqaddimah, Ibn Khaldun menggarap
pemikirannya dalam berbagai bidang ilmu mengenai pembangunan. Rumusan penting
beliau yang sering dirujuk sebagai sebagai The Dynamic Model of Islam atau
‘Model Dinamika Islam’ ~ merupakan antara sumbangan besar pemikiran Islam
mengenai pembangunan.
8 prinsip penting dalam ‘Model Dinamika Islam’
adalah seperti berikut:Kekuatan pemerintah tidak dapat diwujudkan kecuali
dengan pelaksanaan syariah;Syariah tidak dapat dilaksanakan kecuali dengan
kuasa (pemerintahan); Kuasa politik dan pemerintah tidak dapat diperolehi
kecuali daripada rakyat; Masyarakat tidak dapat dibangunkan kecuali dengan
membangunkan kekayaan; Kekayaan tidak dapat diperoleh kecuali dengan Pembangunan;
Pembangunan tidak dapat dicapai kecuali melaksanakan keadilan; Keadilan
merupakan perintah Allah yang mesti dilaksanakan; dan Pemerintah (pemegang
kuasa) dibebankan dengan tanggung jawab untuk mewujudkan keadilan.
Sayyid Hussin al-Attas. “Pembangunan dan Cita
Sempurna” kemukakan 5 syarat teras. Ciri tersebut bersifat umum, perbincangan
yg panjang lebar boleh dibuat bagi menjelaskan maksud secara terperinci.
Abu Nasr Al-Farabi. Konsep madinah al-fadilah
(the ideal state). Ukuran yang membezakan kejayaan setiap proses pembangunan
itu adalah sejauh mana pencapaian menghampiri kesempurnaan (diukur dpd tahap
kesejahteraan, keseimbangan, keharmonian persekitaran)
Ibn Khaldun. Mengemukakan 8 prinsip penting
dalam ‘Model Dinamika Islam’ (The Dynamic Model of Islam). Rumusan ini
memperlihatkan hubung kait yang amat erat antara pelbagai faktor yang
menyumbangkan kepada pembangunan. Faktor2
tersebut ~ meliputi sosial, ekonomi dan politik, syariah, politik dan
pemerintahan, masyarakat, sumber kekayaan, keadilan yang kesemuanya membawa
kepada pembangunan. Faktor-faktor tersebut berada dalam satu kerangka yang
saling bergantung dan saling mempengaruhi antara satu dengan lain.
Perspektif pembangunan holisik perlu menjadi
kerangka dalam memahami falsafah pembangunan. Ini bagi membolehkan pembangunan
yang dirancang dapat memenuhi keperluan diri dan fitrah manusia, sesuai
dengan habitatnya dan dapat memberikan kesejahteraan dan kedamaian kepada
kehidupan manusia.
No comments:
Post a Comment