Kepimpinan adalah isu yang besar dan serius, kerana kepimpinan
yang baik bakal membawa kemakmuran serta keamanan kepada negara, manakala
kepimpinan yang buruk dan zalim bakal memporak-perandakan negara. Kepentingan
kepimpinan ini terbukti apabila Rasulullah SAW mengesyorkan agar dilantik
seorang pemimpin ketika bermusafir walaupun dalam kumpulan yang kecil.
Baginda
turut menggambarkan bahawa semua individu Muslim itu dianggap sebagai pemimpin
dan dipertanggungjawab terhadap mereka yang berada bawah kepimpinannya. Ini
sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya:
“Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap
daripada kamu akan dipertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin.” - Riwayat
Bukhari
Berdasarkan pengertian hadis tersebut, kedudukan kepimpinan dalam
Islam bermula daripada memimpin diri sendiri dan seterusnya meningkat kepada
tanggungjawab terhadap kepimpinan dalam keluarga, masyarakat dan negara. Kepimpinan
perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab, adil dan amanah kepada setiap
golongan yang dipimpin. Firman Allah SWT maksudnya:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah
kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, supaya kamu
menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya
kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat,”
(al-Nisa’ 58)
Bagi merealisasikan tanggungjawab kepimpinan, ulama menetapkan
beberapa syarat dalam menentukan kelayakan seseorang pemimpin, antaranya ialah:
1. Keupayaan jasmani, 2. Pengetahuan undang-undang, 3. Kelayakan ilmu, 4. Adil,
dan 5. Menguasai ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran.
Menurut al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah bahawa:
“Seorang pemimpin itu hendaklah mempunyai pemikiran tajam untuk menjaga siasah
umat, pentadbiran menjamin kemaslahatan, berani, berupaya mempertahan negara
dan berjihad menentang musuh.”
Islam juga menggariskan ciri-ciri kepimpinan yang perlu diberi
perhatian. Antaranya ialah ‘al-Qawiyul Amin’ seperti mana firman Allah dalam
surah al-Qasas, ayat 26: bermaksud:
“Sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah orang yang kuat, lagi
amanah,”
Kuat : Bermaksud mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk mentadbir dari
sudut fizikal dan kesihatan, kemampuan berfikir serta menyelesaikan
permasalahan, mempunyai daya kreativiti tinggi, mempunyai kebijaksanaan dan
kemampuan melaksanakan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan
bangsa.
Amanah : Bermaksud seorang yang boleh dipercayai, tidak mengambil
kesempatan dengan kedudukan diperoleh untuk kepentingan peribadi serta
menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan sebaik mungkin, jujur dan tidak
memungkiri janji.
Dalam bahasa yang mudah : Kalimah ‘qawiy’ merujuk kepada nilai
kompetensi; dan Amanah difahami sebagai nilai integriti.
Selain daripada kuat dan amanah, pemimpin yang baik adalah mereka
yang memiliki ciri-ciri keislaman dan ketakwaan. Pemimpin sebegini akan
sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak tanduk mereka kerana yakin bahawa
setiap tindakan yang diambil bakal dipertanggungjawab di hadapan Allah pada
hari akhirat kelak.
Perintah taat kepada pemerintah bukan datang daripada pemerintah
tetapi Allah:
Firman Allah maksudnya: “Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada
Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang
berkuasa) dalam kalangan kamu,” (An-Nisa: 59)
Berdasarkan ayat ini, Imam Nawawi menjelaskan bahawa rakyat wajib
taat kepada pemerintah dan negara. Jika mereka cuai dan tidak bertanggungjawab,
maka mereka tidak beradab di sisi Allah. Selain itu, hubungan antara umara
(pemimpin) dan ulama sememangnya tidak wajar dipisahkan. Bahkan umara perlu
menjadikan ulama sebagai rujukan dalam menjalankan sistem pemerintahan atau
melantik ulama iaitu cendekiawan Muslim. Apatah lagi dalam urusan berkaitan hal
ehwal agama Islam. Banyak hal dalam pentadbiran negara yang memerlukan kepada
pandangan dan ijtihad ulama. Di sinilah pentingnya hubungan akrab antara dua
institusi ini.
Ini sebagaimana digambarkan melalui sabda Rasulullah SAW
mafhumnya:
“Ada dua golongan antara umat manusia yang apabila kedua-duanya
baik, maka akan baiklah seluruh manusia (masyarakat), dan apabila kedua-dua
golongan itu rosak, maka rosaklah seluruh manusia (masyarakat), iaitu ulama dan
umara’.” – Riwayat Abu Nu’im
No comments:
Post a Comment