Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;(A-li'Imraan 3:133)
Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar. (Al-Hadiid 57:21)
Surah A-li'Imraan ayat 133 dan surah Al-Hadiid ayat 21 agak sama iaitu bersegera dan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan. Golongan yang mana seharusnya berlumba-lumba dan bersegera itu? Allah SWT sangat suka kepada golongan muda. Merujuk kepada hadis Nabi SAW riwayat Abu Hurairah: “Ada 7 golongan manusia yang akan naungan/pelindungan Allah ada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.
(1) Pemimpin yang adil,
(2) Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah
(3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid,
(4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah berkumpul dan berpisah kerana Allah
(5) Seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’,
(6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya
(7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.” (Sahih Bukhari, Hadis no 620)
Orang muda sentiasa menganggap diri mereka muda lagi. Masih
boleh berseronok kerana merasakan masih mempunyai masa yang panjang untuk
bertaubat. Bagi mereka apabila mencapai usia tua, barulah mula menjejakkan kaki
ke masjid. Maka habis segala hukum-hakam agama dilanggar. Solat tidak
dikerjakan, zikir tiada dan sebagainya. Kebanyakan orang menjangka mereka akan
hidup sekurang-kurangnya selama 60 tahun. Nanti apabila sudah pencen, barulah mula mengerjakan ibadat umrah, hendak berkebun di keliling rumah dan pelbagai lagi
perancangan selepas alam persaraan.
Malangnya, dalam dunia yang penuh dengan penyakit ini, lebih
ramai orang akan mati awal. Ada juga meninggal dunia akibat kemalangan jalan
raya ketika pergi atau pulang dari tempat kerja. Perjalanan kita di alam
barzakh nanti sebenarnya amat panjang. Jika banyak melakukan amalan kebaikan
ketika hayatnya di dunia, amal itulah yang akan melindungi diri kita kelak. Jika
hanya pada penghujung usia baru hendak membuat amal, dibimbangi kita tidak
mampu membawa bekalan yang cukup untuk melalui satu perjalanan yang panjang.
Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?. (Al-Anbiyaa' 21:34)
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Al-Anbiyaa' 21:35)
Cerita Firaun Yang Lambat Bertaubat
Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)". (Yunus 10:90)
(Allah berfirman): "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?. (Yunus 10:91)
Perpatah Melayu menyebut "Sudah terhantuk baru terngadah" atau apabila tersepit dan tidak boleh kemana barulah mengaku bahawasanya Allah SWT itu benar.
PERBUATAN MELAKUKAN KEBAIKAN
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; (A-li'Imraan 3:134)
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (A-li'Imraan 3:135)
Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.(A-li'Imraan 3:136)
Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul). (A-li'Imraan 3:137)
(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. (A-li'Imraan 3:138)
Kesimpulannya, perbaiki diri menjadi diri lebih baik. Perbanyakkan membaca Quran dan baiki bacaan serta memahami isi alQuran. Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak ke Masjid dan mengajar cara-cara untuk bertaubat dari dosa supaya tidak BUTA HATI.
No comments:
Post a Comment