Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). (Al-An'aam 6:44)
Biarkanlah Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan Al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.(Al-Qalam 68:44)
Al-Razi berkata: “Istidraj ialah dengan meminta kurnia turun kepadanya satu darjat kepada darjat yang lain sehingga mereka terpedaya. Tatkala mereka melakukan dosa, Allah SWT menambahkan lagi nikmat sehingga melupakan mereka daripada istighfar.”
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, Rasulullah SAW bersabda:“Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”
Di dalam Tafsir al-Jalalain disebut, “Ketika mereka meninggalkan peringatan yang diberikan kepada mereka, tidak mahu mengendahkan peringatan tersebut, Allah SWT membuka kepada mereka segala pintu nikmat sebagai bentuk istidraj kepada mereka. Sehinggalah mereka berbangga berkenaan hal itu dengan sombongnya. Kemudian kami seksa mereka dengan tiba-tiba. Lantas mereka pun terdiam dari segala kebaikan.”
Ibnu ‘Athaillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam berkata bahawa hendaklah seseorang merasa takut jika dia selalu mendapat kurniaan dan kebaikan daripada Allah SWT, sedangkan dia masih tetap melakukan maksiat kepada-Nya. Kata beliau:
Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah SWT sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh jadi satu istidraj (pesona dan tipudaya) sepertimana firman-Nya: ““Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah al-Qalam, ayat 44)
Syekh Zarruq berkata, “Wahai para murid, takutlah terhadap kurniaan-Nya kepadamu dalam bentuk kesihatan, kelapangan, rezeki yang melimpah ruah, di tengah-tengah kederhakaanmu terhadap-Nya berupa kelalaian dan kecuaian.”
Kesimpulan
Kurniaan Allah biasanya diisi sebelum dan selepasnya dengan ketaqwaan, kebaikan dan ketaatan. Hal ini sepertimana seseorang yang rajin melakukan solat malam, rajin bersedekah, rajin melakukan Solat Dhuha, kemudian Allah SWT melimpah ruahkan rezekinya. Maka itu kita namakan sebagai kurniaan atau karamah.
Namun orang yang tidak mengerjakan sembahyang lima waktu, berterusan melakukan maksiat dan derhaka kepada-Nya, namun dia kelihatan kaya dan rezekinya juga mudah, maka inilah yang dinamakan istidraj.
Justeru, marilah sama-sama kita sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT selaras dengan firman-Nya:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.(A-li'Imraan 3:102)
No comments:
Post a Comment