Wednesday, 7 July 2021

MISTERI JODOH



Fitrah untuk disayangi dan menyayangi. Ujian wanita bujang walaupun umur sudah terlebih sepatutnya daripada kebiasaan nikah, mereka ini tetap tenang dengan pertanyaan dan perlian manusia. Label wanita  andartu (anak dara tua) atau andalusia (anak dara lanjut usia)  amat menyakitkan yang mana memberi kesan kepada mental, spiritual dan emosi. Hati juga terasa apabila melihat pasangan dan anak-anak orang lain, hati berbisik “bila agaknya giliran aku nak ada suami, Isteri, aku juga nak anak”. Biar ramai yang menggelar 'terlalu memilih'. Hati terkadang cemburu melihat mereka yang telah berkeluarga. Bahagia rasanya. Allahuakbar, sungguh sedih rasanya.


Berdasarkan Laporan Bancian Penduduk tahun 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat lebih 5.56 juta lelaki dan wanita berusia 30 tahun ke atas masih belum berkahwin di seluruh negara. Malah, statistik 10 tahun lalu itu juga menunjukkan jumlah wanita bujang 30 tahun ke atas jauh lebih tinggi iaitu seramai 4.8 juta berbanding jumlah lelaki bujang 739,000 orang. Lebih mengejutkan berdasarkan kajian Peratusan dan Bilangan Individu Bujang (dalam kalangan 30 tahun ke atas), Selangor merekodkan jumlah tertinggi wanita bujang apabila angkanya melebih 1,014,327 orang orang. Ia diikuti wanita bujang di Johor seramai 636,537 orang. Bagaimanapun dari segi peratusan jumlah penduduk, wanita bujang 30 tahun ke atas lebih tinggi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang apabila masing-masing merekodkan 14.81 peratus dan 12.60 peratus.

Apabila membaca statistik tersebut, hati merasa amat takut. Isu kahwin lewat ini menjadi konflik seseorang individu dan kebimbingan di hari tua. Memiliki mahligai perkahwinan memang menjadi idaman. Tapi apakan daya jodoh belum kesampaian lagi. Sejujurnya amat struggle melaluinya proses mencari pasangan menemui kegagalan dan menghadapi masalah dari si lelaki. Berusaha berkawan tetapi berjumpa yang tidak jujur dan mengambil kesempatan dengan kebaikan. 

Seorang kenalan lelaki pernah bertanya “mengapa wanita sekarang berkerjaya, umur sudah lanjut masih tidak bertemu jodoh? Adakah mereka memang suka hidup tanpa seorang suami?.

Jawapannya, wanita bukannya tidak ingin berkahwin, tetapi tidak ramai lelaki yang layak untuk dijadikan suami. Sudahnya, suami orang juga yang diintai, lebih-lebih lagi suami misali, kerana memikat hati ramai wanita. Tunggu punya tunggu tidak ada juga orang yang sudi, akhirnya masa berlalu. Takut juga kalau tangkap muat, bimbang kalau menyesal di kemudian hari.

Kenapa lambat berkahwin? Bukan sebabnya terlalu memilih jauh sekali menafikan sunah Nabi SAW. Wanita tidak boleh hidup keseorangan. Amat memerlukan teman untuk mengubat kesunyian dan kesepian. Itulah dugaan Allah Yang Maha Mengetahui.

Kepada lelaki, cinta lelaki yang tidak bersedia hanya mencuri perasaan wanita walaupun niatnya baik, berdiam diri itu adalah lebih baik dari mengganggu emosi wanita. Jangan jiwang sangat. Jiwang sorang-sorang sudahlah. Niat lelaki itu untuk mencari calon isteri dan meluahkan perasaan kepada wanita, tidakkah itu menganggu emosi wanita? Apabila menerima lamaran, tiba-tiba senyap. Tidakkah itu amat Menyakitkan hati perasaan wanita?. 

Misteri sungguh jodoh. Belajar untuk lebih bersyukur dan percaya semuanya berlaku pada waktunya. Belajar menghargai yang ada dikeliling dari mengharapkan sesuatu yang tidak pasti. Sebab tiada apa yang pasti di masa hadapan kecuali mati. Kematian itu pasti bagi setiap yang bernyawa. Kehidupan selepas mati adalah tujuan hidup yang utama. 

Bagaimana untuk berdamai dengan ketetapan Allah buat saat ini, sabar menghadapi ujian, doa dan usaha yang belum berhasil, dan tetap bahagia dalam apa jua keadaan. Kerana, bahagia dan syurga itu bukan pada nikah, pada pasangan atau anak, pada harta atau takhta. Bahagia dan syurga itu ada pada Hati Yang Tenang. Tenang itu datangnya daripada iman, iaitu yakin bahawa ketetapan Allah adalah yang terbaik walau pahit walau perit, hatinya tetap kuat menelannya. Bersangka baik dengan Allah.

No comments: