Konsep bekerja dari rumah mula dilaksanakan secara meluas ketika Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia berikutan wabak COVID-19. Bagi sektor kerajaan, amalan bekerja dari rumah menimbulkan beberapa persoalan dan tanda tanya berikutan ramai yang tidak jelas tentang konsep ini.
Bekerja dari rumah
Konsep bekerja dari rumah semasa COVID-19 tidak sama ketika dilaksanakan dalam amalan biasa. Dalam konteks amalan biasa, wujud aspek keluwesan (flexibility) yang tinggi antara majikan dan pekerja dan terdapat unsur sukarela untuk melakukannya. Konsep ini boleh diaplikasikan dalam pelbagai jenis pekerjaan. Bentuk dan mekanisme pelaksanaannya adalah pelbagai dan persetujuan dicapai antara pihak-pihak yang terlibat. Bagi sektor awam, secara umum terdapat pekeliling am untuk perkara ini. Kumpulan pekerja yang terlibat adalah satu kelompok tertentu sahaja dan amalannya tidak meluas. Bagi pekerja sektor swasta, kerja dari rumah boleh dirujuk kepada kerja-kerja yang ditawarkan oleh syarikat sama ada secara langsung atau melalui pihak ketiga yang dijalankan secara individu atau kumpulan di premis tertentu yang digunakan.
Mengapa perlu bekerja dari rumah?
Arahan bekerja dari rumah mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Secara umumnya, bekerja dari rumah mempunyai pelbagai kelebihan seperti masa yang fleksibel, persekitaran ruang tempat kerja yang tenang, keseimbangan lebih baik antara rumah dengan pejabat serta tidak perlu terbabit dalam kesesakan lalu lintas. Beberapa hasil penyelidikan menunjukkan bekerja dari rumah dalam keadaan santai dapat menurunkan tekanan, membantu untuk berehat dan menenangkan fikiran.
Ketika penularan COVID-19, bekerja dari rumah membantu mengurangkan risiko jangkitan melalui kurangnya kontak langsung antara pekerja dengan mereka yang berpotensi menjadi pembawa virus. Keadaan ini ditambah dengan penyebaran wabak ini yang juga boleh berlaku bagi mereka yang tidak mempunyai tanda-tanda awal jangkitan. Penjarakan sosial (social distancing) dapat dijalankan dan hal ini akan dapat memutuskan rangkaian COVID-19 dan menjadi antara mekanisma kawalan.
Cabaran
Terdapat pelbagai cabaran untuk menjayakan konsep bekerja dari rumah sepanjang tempoh COVID-19. Beberapa cabaran dan rintangan termasuklah ketiadaan sumber fizikal dan kewangan seperti tiada ruang kerja lebih besar, berada di luar struktur organisasi pejabat, kurang sumber inspirasi, tiada sokongan rakan sekerja dan rasa terasing. Cabaran paling besar adalah untuk menjadi lebih produktif di luar daripada struktur organisasi pejabat.
Pastinya terdapat beberapa faktor yang boleh mengganggu produktiviti pekerja apabila bekerja dari rumah. Antara yang utama berkaitan dengan konsentrasi atau fokus terhadap tugas hakiki yang dijalankan. Terdapat tugas hakiki yang melibatkan interaksi antara pekerja dan sasaran atau khalayak ramai seperti aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Aktiviti sebegini mengalami kesan langsung.
Cabaran yang tidak kurang pentingnya adalah tahap kefahaman pekerja terhadap konsep bekerja dari rumah. Tahap pengetahuan dan kefahaman pekerja adalah rendah apatah lagi apabila mereka diminta untuk mengaplikasikan konsep itu secara serta-merta. Ini menyebabkan mereka tidak mengetahui apa yang patut dilakukan. Ada yang mengambil sikap tunggu dan lihat dan menganggap ini adalah cuti yang diberikan oleh pihak kerajaan dan majikan. Ini ditambah pula tiada prosedur operasi standard (SOP) yang jelas tentang perkara ini. Hal ini menyebabkan timbulnya banyak persoalan. Tanpa pengetahuan, pemahaman dan kaedah pelaksanaan konsep ini yang jelas, sudah pasti pekerja mengalami masalah yang besar untuk melaksanakan konsep ini dengan berkesan dan secara terbaik.
Konsep bekerja dari rumah memerlukan aspek disiplin kerja dan penjadualan yang sistematik. Justeru, penting untuk mempunyai jadual jelas dan berpegang teguh dengan ketetapannya. Bekerja dari rumah sepanjang PKP memerlukan disiplin tinggi untuk mencapai tahap keberkesanan yang terbaik. Sokongan daripada ahli keluarga adalah sangat diperlukan. Kemungkinan untuk bekerja secara sambil lewa atau tidak secara berfokus adalah sangat tinggi.
Keadaan persekitaran rumah adalah berbeza dengan suasana di tempat kerja dan terdapat pendedahan yang tinggi kepada pelbagai gangguan. Gangguan boleh datang dari karenah anak-anak, suhu serta persekitaran, faktor kesediaan teknologi dan perhubungan, dan perkara-perkara lain yang sukar dikawal. Gangguan bunyi, keadaan yang hingar bingar dan persekitaran yang tidak kondusif boleh menyebabkan wujud rasa tidak selesa dan wujudnyaa suasana tidak seronok untuk bekerja dari rumah.
Faktor perbezaan antara individu juga perlu diambil kira. Sesetengahnya boleh bekerja dengan lebih baik dalam keadaan yang hingar-bingar, sementara ada yang tidak dapat menumpukan perhatian dan memerlukan ruang kerja yang kemas. Produktiviti perlu diutamakan dalam apa juga keadaan. Teknologi juga menjadi kekangan kepada mutu kerjaya yang berkualiti.
Refleksi
Arahan agar semua pegawai bekerja dari rumah menimbulkan pelbagai reaksi. Kepada yang berfikiran positif, arahan ini dilihat sebagai sesuatu yang flesibel, menjadi lebih kreatif serta menyesuaikan diri dengan pantas dengan perubahan baharu atau kebiasaan baharu (new normal). Kebiasaan baharu sepatutnya diterima dengan hati terbuka tetapi hal ini tidaklah berlaku dengan mudah. Pekerja, dalam hal ini perlu mengadaptasi arahan yang diberi dengan pantas dan cepat.
Terdapat juga pekerja yang menyatakan ketidakpuasan hati apabila perlu bekerja dari rumah. Hal ini berlaku kerana garis panduan bekerja dari rumah yang dikeluarkan longgar dan membuka kepada pelbagai bentuk interpretasi. Ada pekerja yang mula bertanya apakah bentuk pekerjaan yang dapat dijalankan dari rumah kerana fail dan keperluan kerja yang lain terdapat di pejabat. Pejabat pula tidak dapat dikunjungi kerana batasan PKP.
Ada juga pekerja yang mengambil sikap agar pihak Ketua Jabatan menghubungi mereka untuk mengetahui bentuk tugas yang perlu dilaksanakan. Hal ini bertambah parah apabila sesetengah Ketua Jabatan pula tidak tahu perkara yang perlu dan mampu dilakukan. Ada juga yang menganggap arahan duduk di rumah sebagai peluang untuk bercuti dan melakukan pekerjaan lain. Tiada siapa pun yang dapat disalahkan dalam hal ini atas salah tanggap dan atas kekeliruan yang timbul.
Mungkin di peringkat global, satu perincian mendalam dan satu jawatan kuasa perlu dibentuk pada masa hadapan untuk menentukan tahap wabak agar tindakan pantas dapat dibuat bagi merancang dan mengambil tindakan atas apa yang berlaku. Bagi kerajaan Malaysia sendiri, pada masa akan datang satu pelan kontigensi yang lebih rapi perlu disediakan sebelum wabak ini menjadi parah. Rakyat perlu diberi penjelasan tentang keadaan yang berlaku dan peranan mereka untuk menanganinya. Pastinya pekerja, perlu disedarkan tentang tugas dan peranan yang dilakukan. Diharap konsep bekerja dari rumah yang diperkenalkan dapat difahami dan barulah tindakan terhadapnya dapat dilakukan secara sistematik dan terkawal. Tidak dinafikan penguatkuasaan konsep bekerja dari rumah yang diambil oleh kerajaan adalah sebagai satu langkah serta- merta yang sesuai. Namun demikian, perlu diingati tanpa pengetahuan dan kefahaman tentang konsep bekerja dari rumah, hal ini akan membawa suasana panik.
Kajian menggunakan soal selidik oleh firma penyelidikan pengguna dalam talian Vase.ai terhadap 1,100 responden tentang cara rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan bekerja dari rumah semasa PKP menunjukkan dapatan kajian yang sangat menarik untuk direnungkan. Kajian mendapati 35 peratus memberitahu bahawa sambungan internet tidak stabil adalah cabaran yang dihadapi ketika bekerja dari rumah. Didapati bahawa 77 peratus daripada responden mengakui menghadapi kesukaran untuk bekerja dari rumah. Hanya sembilan peratus rakyat Malaysia menyatakan penerimaan yang lebih produktif untuk bekerja dari rumah.
No comments:
Post a Comment