Tuesday, 24 September 2019

MUHASABAH DIRI SEBELUM AJAL

Hari-hari yang kita lalui di pentas dunia ini penuh dengan pelbagai dugaan. Macam-macam yang kita pelajari daripada kerenah, penglibatan dan penglihatan kita sehari-hari. Latihan yang kita terima amat berharga bak sebutir mutiara. Deretan untaian-untaian mutiara yang kita perolehi daripada sumber-sumber tersebut jika dijalinkan akan menjadi pedoman kepada kita di kemudian hari.

Walaupun manusia itu dibekalkan dengan pengalaman tersebut jika ianya tidak didasari dengan keimanan kepada Allah semuanya akan menjadi sia-sia bak kapas yang berterbangan ditiup angin. Keseluruhan amalan kita di atas muka bumi ini akan diperhitungkan oleh-Nya di akhirat nanti. Segala bekalan yang akan kita bawa pastinya menjadi penyelamat kita di hari hisab nanti. Perlu kita ingat, apakah amalan-amalan yang kita perlu sediakan sebagai bekalan menemui Allah kelak dan apakah ia sarat dengan amalan kebajikan ataupun kejahatan?

Jika diteliti daripada sirah Rasululllah, baginda amat menitikberatkan perkara ini sehingga dijelaskan oleh Aisyah r.a bahawa beliau pernah melihat baginda Rasulullah bersolat sehingga kakinya bengkak-bengkak. Ertinya disini walaupun baginda seorang manusia yang terpilih disisi Allah dan merupakan kekasihnya namun baginda tetap tekun melakukan ibadah-ibadah ditakuti baginda dikategorikan sebagai seorang hamba yang tidak bersyukur. Juga pernah dijelaskan oleh baginda darihal seseorang apabila ia menghapiri saat kematiannya dan saat ia akan dikuburkan dengan sabdanya:

“Mayat ke kubur akan diiringi oleh tiga perkara, iaitu keluarganya, harta bendanya dan amalannya, yang dua akan pulang (kembali) dan satunya akan tinggal. Yang pulang ialah keluarga dan harta bendanya sedangkan yang tetap akan tinggal ialah amalannya”.

Walaubagaimanapun terdapat beberapa amalan yang dapat meringankan kesakitan semasa menghadapi ajal. Antaranya amalan taubat yang diamalkan oleh hamba dapat meringankan siksa disaat kematiannya. Jika dia masih mempunyai dosa yang memerlukan kepada taubat bererti ia masih lagi belum bersiap sedia menemui Tuhannya. Menyedari hal yang sedemikian maka bersegeralah bertaubat, sebab mereka yang senantiasa dalam kekuatiran dan ketakutan maut akan menjemputnya akan beroleh kenikmatan hidup diakhirat kelak.

Kadang-kadang kita mudah terpedaya dengan kemewahan dan tarikan duniawi sehinggakan kita terlupa tentang persinggahan yang seterusnya iaitu alam akhirat yang semestinya pasti. Kata-kata Abu Darda’ mungkin boleh menginsafkan kita tentang matlamat kita sebenarnya. Abu Darda’ r.a. berkata:

“Ada tiga hal yang membuat aku tertawa dan tiga hal yang membuat aku menangis. Aku tertawa melihat orang yang terlalu mengejar dunia padahal dia dikejar kematian, orang yang lalai padahal dia tidak pernah dilalaikan, dan orang yang tertawa dengan makanan penuh dimulutnya sedang dia tidak mengetahui samada Allah meredhainya atau memurkainya”. Adapun orang yang membuat aku menangis ialah saat berpisah dengan kekasih Allah iaitu Muhammad s.a.w dan para pengikutnya, dan aku bersedih memikirkan betapa dahsyatnya permulaan kematian ketika menghadapi sakaratul maut dan bagaimana keadaanku ketika berdiri dihadapan Allah pada saat perbuatan yang selama ini tersembunyi dipertontonkan lalu aku tidak tahu apakah ke Syurga atau ke Neraka.”

Walau bagaimanapun terdapat beberapa amalan yang dapat meringankan kesakitan semasa menghadapi ajal. Antaranya amalan taubat yang diamalkan oleh hamba dapat meringankan siksa disaat kematiannya. Jika dia masih mempunyai dosa yang memerlukan kepada taubat bererti ia masih lagi belum bersiap sedia menemui Tuhannya.Firman Allah: “Hai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taubat, mudah-mudahan Allah menghapuskan kesalahanmu dan memasukkan kamu kedalam syurga yang mengalir air sungai dibawahnya”. [al-Tahrim: 8]

Lagi firman Allah:“Dan orang-orang yang melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun atas dosa-dosa mereka. Dan tiada siapa yang mengampuni dosa melainkan Allah dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya, sedang mereka mengetahuinya”. [Al-Imran: 135]

Menyedari hal yang dinyatakan dalam ayat ini, maka bersegeralah bertaubat kerana kematian akan menjemput pada bila-bila masa sahaja. Sayidina Ali k.w. pernah menjelaskan dengan katanya:

Taubat adalah kata-kata yang mempunyai enam erti:

1. Taubat atas dosa-dosa yang telah lalu adalah dengan menyesal.
2. Taubat atas melakukan kewajipan-kewajipan secara serampangan adalah mengulangi
3. Taubat atas mengambil hak orang lain secara zalim adalah dengan mengembalikan kepada pemiliknya
4. Membiasakan diri melakukan ketaatan sebagaimana sebelumnya terbiasa melakukan kemaksiatan
5. Membuat nafsu merasakan pahitnya taat sebagaimana sebelumnya merasa manisnya maksiat.
6. Menghiasi diri dengan taat kepada Allah sebagaimana sebelumnya menghiasi diri dengan maksiat kepada-Nya serta menangis sebagai ganti setiap ketawa yang kamu lakukan.

Sebenarnya, kematian tidak pernah mengenal batas usia dan waktu. Hal itu agar sesiapapun selalu berwaspada dan bersiap-siap menghadapinya. Sabda nabi s.a.w: "Orang yang cerdik ialah orang yang berjaya menakluki dirinya”Ertinya dalam hadith di atas menceritakan kepada kita bahawa orang yang cerdik ialah orang yang mampu menakluki dirinya sendiri sehingga mahu beribadah kepada Allah sebagai bekalan mempersiapkan dirinya untuk menjalani kehidupan setelah mati dan bertemu Allah s.w.t.

========================
Artikel ini di tulis Ustaz Rosdi bin Yusof sebelum kematiannya.
Semoga pesanan ini menjadi peringatan buat kita, kerana tarikh mati kita, belum tahu lagi bila (??)

Sumbangan: Blog DrHasanah.

No comments: