Monday, 23 September 2019

HALAL DAN HARAM


Hasil dari menguasai ilmu (fardu ain dan fardu kifayah) manusia akan bertemu batas halal dan haram. Meskipun seseorang memiliki bergulung ijazah dari menara gading, jika tidak tahu batas haLal dan haram maka segala yang diperolehi di menara gading itu tidak layak disebut sebagai ilmu. Asas ilmu yang utama ialah untuk mengetahui perkara halal dan haram sebaliknya mereka membuang umur hanya mendalami dalam perkara yang bukan keutamaan tidak mustahak. Sesungguhnya inilah orang berilmu yang malang di sisi Allah SWT.

Mengapa seseorang itu perlu mengetahuI halal dan haram kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud:
A157
"Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Al-A'raaf 7:157)

Ayat tersebut memberi isyarat bahawa semua Perkara yang halal adalah baik (toiyib) di sisi Allah SWT berguna dan mendatangkan manfaat untuk manusia meskipun manusia tidak tahu perkara itu berguna. Sementara barang yang haram itu amat buruk di sisiNya mendatangkan mudarat kepada manusia di dunia dan akhirat. Semak dan pelajari alQuran dan Sunnah untuk mengetahui perkara haram. Apabila sudah jelas sesuatu itu haram maka tinggalkanlah ia sekali pun ada kajian menunjukkan bahawa disebalik yang haram itu manfaatnya kerana keburukkannya lebih dashyat dari manfaatnya sebagaimana yang dinyatakan oleh alQuran yang bermaksud:

A219
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:(Al-Baqarah 2:219)

Allah SWT menjelaskan bahawa arak dan judi itu meski pun ada manfaatnya kepada manusia tetapi doasanya lebih besar berbanding manfaatnya. Justeru itulah keduanya perkara yang keji itu diharamkan sekali pun masih ada manfaatnya.

Dalam hal ini Allah SWT menyuruh supaya tinggalkan kedua amalan keji itu kerana akibat dosanya lebih dashayat berbanding manfaat yang terdapat padanya. Pada ayat tersebut juga mengandungi unsur pendidikan di mana Islam menganjurkan agar menolak perkara yang bercampur antara manfaat dan dosa. Ibarat madu bercampur racun maka ke semuanya sudah menjadi racun. Satu contoh tentang halal dan haram, renunglah firman Allah SWT yang bermaksud:

A275

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Al-Baqarah 2:275)

Jual beli dan riba jika dipandang sekali imbas bagaikan serupa sama-sama bermodal dan sama-sama mendapat untung. Tetapi Allah SWT halalkan jual beli dan mengharamkan riba. Sesungguhnya jual beli itu halal kerana atas usaha jerih berniaga berasaskan keadilan, mereka berusaha dengan bermodal untuk mengadakan barangan (produk), mengadakan iklan untuk tarik perhatian umum supaya membeli barangan yang disediakan. Hasil usaha jerih dan titik peluh di samping menyediakan perkhidmatan kepada ramai orang. Mendapat untung dengan susah payah melayan pelanggan dengan baik dan mesra maka adillah mereka mendapat keuntungan. Antara penjual dan pembeli saling mendapat manfaat. Reda dengan keadaan barangan erta kadar harga yang dipersetujui bersama barulah terjadi pertukaran barang dan duit setelah sama-sama berpuas hati. Sistem jual beli dalam Islam ada kaedah bayaran bertangguh (hutang) untuk memberi peluang kepada pengguna memiliki sesuatu dalam keadaan tidak cukup wang ketika itu.

Berdasarkan kepada  hadis Nabi SAW bahawa pemberi hutang mendapat pahala 15 peratus berbanding memberi sedekah mendapat 10 peratus bererti dapat pahala lebih 5 peratus kerana memberi hutang bererti menolong seseorang dalam keadaan yang sangat memerlukan. Bersedekah pahalanya tidak sebanyak pahala memberi hutang kerana bersedekah kadangkala berlaku ketika orang tidak terlalu memerlukannya sebagaimana orang yang berhutang.

Menunjukkan dalam sistem jual beli berdasarkan syariat Islam tersemat unsur kemanusia dan timbang rasa sanggup memberi hutang untuk mmebolehkan orang lain memiliki sesuatu yang diperlukan ketika tidak memiliki wang yang cukup. Sedangkan riba penuh penindasan, keuntungan hanya berpihak kepada pengajur riba. Jika bayaran semula hutang tertangguh lagi atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan maka ia menjadi alasan bagi pihak pemberi hutang untuk menaikkan lagikadar riba. Berkemungkinan ribanya terus meningkat hingga sama atau lebih dari jumlah hutang asal.

Kesengsaraan sentiasa menjerat orang yang berhutang berasaskan riba, lantaran itulah riba diharamkan dalam syariat Islam oleh Allah SWT kerana ia memudaratkan kepada justeru kepada masyarakat manusia.


Justeru itu dalam banyak perkara yang wajib dipelajari ialah mengenai halal dan haram supaya dapat menyelamatkan diri dengan yang halal dan menghindari perkara yang haram dan memudaratkan. Barulah seseorang tergolong sebagai berabdi kepada Allah SWT berasaskan ilmu Islam.

No comments: