LELAKI yang bakal menjadi pemimpin isteri dalam keluarga, sebaiknya permudahkanlah dan rendahkanlah sedikit penilaian terhadap calon isteri kita, dengan perkiraan setelah dia menjadi isteri kita nanti, insya-Allah kita akan terus mendidiknya lagi. Sayangnya, kebanyakkan kita berbuat sebaliknya… Diukur dirinya dengan piawaian soleh yang rendah, tetapi mengukur calon pasangannya dengan piawaian solehah yang tinggi. Ia satu kesilapan.
Jadi tunggu apa lagi, marilah kita tamatkan penantian solehah itu dengan mempercepatkan pembinaan soleh pada diri sendiri. Ubahlah diri, nescaya orang lain akan berubah hasil perubahan kita. Saya teringat unkapan motivasi yang sungguh menyentuh. Ungkapan berbunyi “Jadilah kawan… bukan carilah kawan”. Ertinya, kita mesti jadikan diri sendiri sebagai kawan terlebih dahulu, yakni dengan membina sifat kesetiaan, jujur, amanah, sabar dan lain-lain maka itu secara automatic akan menarik perhatian orang lain untuk berkawan dengan kita.
Dengan itu kita tidak perlu lagi mencari kawan kerana dengan sifat terpuji itu kawan-kawan akan datang dengan sendirinya. Maka keadaan yang sama boleh berlaku…jika menjadi soleh, maka solehah akan muncul dengan sendirinya. Jadilah soleh, bukan carilah solehah.
Yakinlah firman Allah:
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (An-Nuur 24:26)
No comments:
Post a Comment