Siapa sahabat baik anda?
Ibu, bapa, Suami, kawan, adik, saudara sepupu atau sesiapa jelah yang berkenan di hati. Kalau orang tanya saya, saya akan jawab IBUKU. Mengapa?. Ibu telah menerima penderitaan lebih daripada bapa. Tidak ada seorang manusia pun di muka bumi ini yang menanggung sengsara, susah payah, lebih daripada seorang ibu. Bermula daripada dihamilkan, dilahirkan, disusukan, dijaga dan mendidik sehingga dewasa. Oleh itu, al-Quran melukiskan sebahagian daripada penderitaan ibu dengan ungkapan yang indah dan ringkas.
Firman Allah SWT:
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (Al-Ahqaaf 46:15)
Ibu telah dibekali sejak semula jadi bersifat lemah lembut, kasih sayang dan rindu kepada anaknya. Sebab itu, tidak terdapat satu ayat pun dalam al-Quran yang menyuruh dan menggalakkan kedua-dua ibu bapa supaya mengasihi anaknya. Lantaran itu, sifat-sifat ini wujud secara fitrah dalam diri mereka. Itulah sunnatullah yang tidak akan berubah.
Namun begitu, al-Quran dan ajaran Islam keseluruhannya mengarahkan agar anak-anak sentiasa berbakti kepada ibu bapa, taat dan patuh kepada kedua-duanya selagi tidak menderhakai kepada Allah SWT dan Rasulnya. Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya merupakan kasih sayang yang tulus ikhlas. Tanpa mengharapkan sebarang ganjaran dan balasan, tidak mengenal waktu dan tempat, susah dan senang. Lebih-lebih lagi ketika si anak ditimpa bala bencana. Sekalipun anak itu pernah menderhaka, menentang dan menyakiti nya.
Balasan Orang Yang Berbakti Kepada Ibu Bapa
- Orang berbakti kepada ibu bapa akan dapat balasan setimpal di akhirat kelak. Manakala di dunia ini mereka akan memperoleh balasan yang sama kepada anak-anak mereka. Sebab itu, sering kita lihat orang yang berbuat baik kepada ibu bapa akan berlaku baik pula oleh anak-anak mereka terhadapnya
- Doa mereka dimakbulkan Allah serta melepaskan daripada kesulitan dan balas. Ini kerana mereka berbakti dengan penuh ikhlas serta mengharapkan keredaan Allah SWT semata-mata
Bentuk Derhaka Kepada Ibu Bapa
Derhaka bererti melawan dan tidak menunaikan hak-haknya. Antara bentuk derhaka adalah seperti berikut:
- Memandangkan kepada kedua-dua ibu bapa dengan pandangan yang menjeling sambil marah
- Menganggap dirinya sama dengan bapanya
- Enggan mencium kedua-dua tangan mereka kerana berasa dirinya lebih besar dan mulia
- Berasa malu untuk memperkenalkan bapanya kerana kesombongan disebabkan dia disanjung dalam masyarakat
- Tidak melaksanakan keperluan nafkah bagi kedua-dua ibu bapa yang fakir
- Sebesar-besar derhaka ialah mengucapkan kata-kata seumpama “Alah”, “Ciss” atau “Hiss”, menyergah, bersasa jemu dan meninggi suara, menegur dengan kata-kata yang menyakitkan hati, menghina dan mencaci peribadi mereka berdua
Kepada Ibubapa, perlu perhatikan komunikasi anak-anak tidak bercakap dengan perkataan “Alah”, “Ciss” atau “Hiss”, menyergah, bersasa jemu dan meninggi suara, walaupun budaya keluarga tidak mengapa tetapi ditegah dalam Islam.
No comments:
Post a Comment