Menjelas bagaimana cara bagi mudahkan seseorang bangun malam untuk qiamullail. Sesetengah daripada sebab sukar bangun tidur kerana banyak makan minum, perut kenyang menyebabkan tidur berlebihan. Timbul pertanyaan di kalangan orang awam bahawa mereka perlu makan untuk bekalan tenaga selaras dengan kerjanya yang berat , justeru sukar baginya makan hanya sedikit.
Apa tang perlu disedari ialah sukar untuk cari insan yang lebih kuat bekerja daripada Muhammad SAW beliau adalah sebaik contoh teladan seperti yang ditegaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi mu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan ) hari kiamat dan banyak menyebut Allah” (Surah Al-Ahzab ayat 21).
Nabi SAW satu-satunya peribadi yang wajib menjadi ikutan, suri teladan kepada seluruh umat manusia, Nabi SAW adalah seorang yang bersifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah. Lantaran saifat-sifat tersebut maka setiap yang disampaikan kepada umat manusia adalah perkara yang telah dilakukannya lebih dahulu. Nabi SAW tidak berkata perkara yang tidak dilakukannya, justeru Allah SWT amat murka perkara tersebut sebagaimana firmanya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, mengapa mengatakan perkara yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah Ash-Shaf ayat 2 dan 3)
Justeru Nabi SAW bersabda berhubung kaedah makan yang dituntut oleh Islam sebagaimana sabdanya yang bermaksud:”Kami kaum yang makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang” Para ulama dan ahli perubatan Islam menyarankan agar menjadualkan bagi program ma’adah dengan membahagikan kepada tiga supaya kesihatan terkawal dan tenaga diperoleh daripada sajian. Untuk keperluan beribadah dan bekerja iaitu satu bahagian ruang ma’adah untuk makanan, sebahagian untuk minuman dan sebahagian lagi bagi ruang udara untuk bernafas.
Ambil peluang sedikit masa untuk tidur ‘qailullah’ pada siang hari (setelah solat zuhur) dengan tujuan merehatkan tubuh badan bagi memperoleh tenaga untuk bangun malam hari. Juga untuk memudahkan bangun malam melakukan qiamullail dengan demikian dapat mengurangkan tidur pada waktu malam.
Seseorang itu harus mengetahui secara mendalam fadilat qiamullail melalui ayat-ayat al-Quran dan sabda Nabi SAW seperti yang dinyatakan di atas tadi. Hingga menebal rasa rindu dan harapan tinggi untuk mendapatkan pahala qiamullail itu berdasarkan dalil al-Quran dan sabda Nabi SAW. Hanya dengan itu seseorang sanggup bangun malam untuk dapat peluang yang ditawarkan oleh Allah SWT. Dalil-dalil tersebut menambah rasa rindu untuk mendapat syurga Allah SWT serta darjat yang tinggi oleh Allah SWT serta darjat yang tinggi dalam syurga.
Ayat yang dibaca itu ialah ayat yang dibaca oleh para sahabat seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab dan yang lain. Jika ayat tersebut boleh menggerakkan jiwa ribuan para sahabat dapat reda Allah SWT ke satu haluan menuju ke syurga, apakah sebabnya maka jiwa manusia selepas zaman sahabat dan tabi’in sukar digerakkan, menuju keredaan Allah SWT. Sebagaimana para sahabat mendapat pujiannya.
Jawabnya kemungkinan langsung tidak baca al-Quran atau baca al-Quran tetapi tersalah haluannya. Lazimnya baca al-Quran ketika ada kematian, sedangkan semasa hidupnya tidak hirau langsung fungsi al-Quran. Atau sekadar baca sebagai wirid saja, dalam keadaan tidak mengetahui maksud dan tujuannya. Bacalah al-Quran sebagaimana para sahabat membaca dan memahaminya.
Adapun perkara yang jadi pencetus semangat untuk qiamullail dan paling mulia ialah al-Hubbu Lillah iaitu kasih dan cinta kepada Allah SWT serta iman yang mendalam dan meyakini wahyunya. Tidak baca walau sepatah untuk bermunajat kepada Tuhannya. Allah SWT pula sentiasa memerhati serta tahu lintas dan gerak di hati insan, mereka yakin segala yang terlintas di hatinya itu daripada Allah SWT adalah cetusan jiwa insan berserta Nya.
Oleh itu apabila mereka kasih dan cinta kepada Allah SWT maka pastilah menyukai situasi berkhalwat seorangan untuk bersamanya. Rasa seronok dan lazatnya bermunajat dengan Allah SWT itu memerlukan masa yang panjang dalam dakap qiamnya sepenuh khusyuk. Keyakinan di hati amat mendalam ialah semasa qiam membaca ‘Kalam Allah’ iaiatu al-Quran al-Karim, Dia menurunkan wahyunya sebagai cara untuk bercakap dengan hambanya (insan).
Apabila manusia membaca al-Quran bererti mereka meniru apa yang Allah SWT firmankan. Umpama anak-anak meniru apa yang ibu bapanya katakan. Ibu bapanya terasa sangat gembira dengan perkembangan cerdas anaknya cepat meniru kerana sebelumnya memang si anak tidak tahu suatu apa pun. Demikian juga Tuhan amat gembira apabila manusia boleh menyebut satu persatu seperti apa yang Allah SWT nyatakan melalui wahyunya dalam al-Quran.
No comments:
Post a Comment