Friday, 3 September 2021

BERGAUL : MANA PILIHAN TAWADUK ATAU TABARUK?
















Sebahagian daripada dalil membuktikan kebaikan bergaul dalam masyarakat berbanding uzlah ialah : berpeluang dapat banyak pahala daripada pelbagai punca, antaranya ialah apabila seseorang dapat hadiri urusan jenazah dan melawat orang sakit.

Selain itu, ia dapat melaksanakan solat berjemaah,program teragung Islam dan masyrakatnya. Sesungguhnya tiada rukhsoh (kelonggaran) di sisi agama untuk kebaikan solat fardhu berjemaah. Kecuali berlaku sesuatu bencana dan trajedi yang nyata seperti bencana besar dan kegawatan yang boleh mengancam nyawa, atau diri ditimpa petaka sehingga hilang upaya. 

Dalam situasi demikian jika gagal hadir solat jemaah, Tuhan akan arahkan malaikat supaya mencatitkan pahala berjemaah untuk hambanya itu.

Orang yang tiada melaksanakan solat fardhu berjemaah tanpa uzur syarie, golongan-golongan inilah yang pernah digertak oleh Nabi s.a.w hendak dibakar rumahnya.

Jika tidak berlaku halangan yang syarie, Tuhan tahu hambaNya pasti tidak abaikan solat jemaah.

Berdasarkan kesungguhan hamba-hambaNya melaksanakan solat jemaah pada waktu lalu, memang patut indIvidu tersebut mendapat pahala solat jemaah. 

Demikian juga orang bergaul dalam masyarakat, dapat mengikut pelbagai kegiatan berbentuk sunat dan sukarela. Kehadiran dirinya ke majlis tertentu boleh mengembirakan hati pihak yang mengundang. Ia jadi punca untuk mendapat pahala dan sebaliknya berdosa apabila menyakiti hati orang lain.

Adapun masalah jadi sumber pahala kepada orang lain. Di antaranya ialah orang lain berpeluang melawat dan ucap takziah ketika dirinya ditimpa musibah, beri peluang orang lain ucap takziah di atas nikmat yang mendatanginya. Justeru itu, hendaklah timbang pahala bergaul dengan kebinasaan hasil daripada bercampur gaul. Bergaul dengan orang ramai tidak terjamin 100 peratus baik.

Ada ketikanya menguntungkan diri dan pihak lain, ada masanya boleh merugi dan membalakan diri dan orang lain. Semuanya terletak atas diri sendiri, timbang dengan saksama setelah dikemukakan hujah dan dalilnya. Sekiranya lebih banyak yang merugikan diri dunia dan akhiratnya setelah diteliti secara mendalam, kerana situasi masyarakat sudah rosak binasa, pergaulan dan akhlak penduduknya melampaui sempadan syariat.

Mereka perlu fikirkan dengan serius untuk behijrah ke tempat lain, yang akhlak anggota masyarakatnya lebih murni. Supaya pergaulannya mendatangkan manfaat kepada setiap induvidu. TImbangkan perkara tersebut mungkin situasi tersebut lebih baik kepada mengasing diri (uzlah), sebaliknya mungkin lebih memberi manfaat jika bercampur gaul dalam masyrakat.

Buatlah kajian dengan teliti untuk kebaikan mengikut keadaan, berdasarkan panduan yang telah dikemukakan. Suatu dalil dan hujah lagi iaitu semasa dalam masyarakat umum dapat mendidik diri dengan sifar tawaduk (merendah diri), menjauhi sifat menyombong diri hanya dapat dilakukan dengan orang ramai.

Sesungguhnya tawaduk ketika bercampur dalam masyarakat umum, adalah seafdal maqam (kedudukan). Sikap tawaduk yang disukai oleh Allah SWT, tawaduk itu tidak akan terlaksana jika hidup menyendiri.

Kadang kala sikap takabbur jadi penyebab seseorang seseorang mengasingkan diri (uzlah), lantaran beberapa alasan merasakan kedudukan tinggi dirinya.

Bimbang tidak dihormati dalam majlis haflah (keramaian), atau tidak diberi peluang berada di baris hadapan di kalangan orang yang dimuliakan. Penghormatan terhadap kebaikan diri tidak perlu dicari. Jika seseorang itu berilmu dan berakhlak murni, miskin sudah meninggal dunia namun masih dalam kenangan orang ramai. Ibarat emas di perut bumi lantaran ia bernilai tinggi, walau sedalam mana pun akan digali orang untuk mendapatkannya. Sebaliknya sampah sarap berlonggok di tepi jalan dipandang jijik, dipijak oang sesuai dengan nilai fizikalnya yang tidak berharga.

Ada juga manusia beruzlah supaya kekal dalam anggapan orang ramai bahawa dirinya sebagai orang zahir dan `abid. Inilah contoh uzlah bukan kerana tawaduk sebaliknya termakan bisikan syaitan dengan sikap takabbur. Antara tanda orang sombong dan takabbur itu, ialah dia sangat suka orang menziarahinya tetapi dirinya tidak berhasrat untuk menziarah rumah orang lain. Andainya merasa gembira apabila orang menziarahinya, ini menunjukkan dia beruzlah bukan kerana tawadduk seperti sangkaannya tetapi kerana terlalu menjaga dirinya supaya tertarik kepadanya.

Adakah dia beruzlah kerana tawaduk atau kerana sombong, terletak atas tanda-tanda yang ada pada dirinya. Situasi begini hanya dia yang memahaminya. Sesungguhnya kerana hatinya berusaha sungguh untuk menarik perhatian orang lain kepadanya dengan pandangan hormat. Jika demikian, nyatalah uzlah yang dilakukan bukan kerana merendah diri sebaliknya kerana keangkuhannya

No comments: