Friday, 4 June 2021

PENDIDIKAN ANAK-ANAK DENGAN ISLAM


Isu keluarga bahagia sentiasa diperkatakan oleh masyarakat. Isu perceraian yang tinggi turut membimbangkan apatah lagi isu didikan anak-anak yang dikasihi.
Ibu bapa merupakan pendidik yang pertama sebelum guru atau pensyarah bagi setiap umat manusia di atas muka bumi ini. Apabila menyebut pendidik semua akan merujuk kepada guru tetapi terlupa bahawa ibu bapa adalah pendidik yang pertama. Ibu bapa akan menyebabkan anak-anak, sama ada menjadi baik, nakal atau jahat. Ibu bapalah orang pertama jadi pendidik kita.  Peranan ibu bapa sebegini,  Nabi Muhammad SAW selalu menasihati umatnya supaya mencari pasangan yang beragama kerana sudah tentu dia tahu hubungan dengan Allah. Juga tahu akan hubungannya dengan suami, mertua dan keluarga. Justeru senarai pendidik mestilah meletakkan ibu bapa dalam senarai pertama.
Tujuan utama mendirikan rumah tangga adalah semata-mata tuntutan agama. Dalam rumah tangga itu terdapat tanggungjawab dan amanah. Sebab itu, agama menyuruh kahwinlah dengan dia kerana agama dan baik akhlaknya untuk menegakkan agama Allah SWT.
Isunya mungkin kita sudah mempunyai isteri solehah atau suami soleh tetapi terdapat kekangan untuk melaksananya. Suami isteri diminta untuk mencari rezeki memandangkan tuntutan ekonomi yang tidak mencukupi. Pendidikan anak disiang hari terpaksa diberi kepada taska atau pengasuh yang mungkin “solehah” atau “tidak solehah”. Bagaimana untuk ibu bapa memindahkan akhlak soleh dan solehah kita kepada anak-anak. Inilah cabaran dunia hari ini kita terpaksa menerima bahawa media-media massa turut mendidik anak-anak.

Tanggungjawab mendidik dan mengajar adalah tanggungjawab kedua ibu bapa. Mengajar dan mendidik adalah dua perkara yang berbeza. Mengajar untuk jasad manakala mendidik pula adalah untuk roh. Oleh itu, seorang lelaki diminta untuk berkahwin wanita yang ada agama dan akhlak baik kerana ia sangat berkaitan.
Setelah bernikah, kita halal melakukan hubungan jimak bersama suami isteri. Islam telah mengajar sebelum tidur bersama isteri, suami diminta untuk membaca doa seperti dibawah untuk tujuan menghalau syaitan.
Minta pertolongan Allah SWT yang mampu menghalau syaitan sekiranya kita direzekikan anak. Kesannya, anak ini terjamin untuk tidak murtad dan terkeluar dari Islam. Nakal-nakal tu biasalah. Niat kita untuk mendapatkan anak adalah untuk meramaikan umat Nabi Muhammad SAW yang berkualiti.
Setelah bersetubuh, diminta untk mandi junub dengan menggunakan air bersih lagi membersihkan untuk menghalau syaitan. “Mandi adalah meratakan air ke seluruh tubuh”. Niat adalah seperti ini.

Mandi disebabkan bersetubuh antara suami dan isteri

نَوَيْتُ الغَسْلَ عَنِ الْجَنَابَةِ لِلهِ تَعَالَى

Maksudnya : “Sahaja aku mandi junub kerana Allah Taala”.

Apabila isteri kita disahkan mengandung, tanggungjawab bapa adalah untuk menyimpan wang persediaan kelahiran bayi nanti. Ibu bapa perlu memperbanyakkan doa, baca alQuran, solat sunat dan berakhlak baik. Isteri pula selalulah mengamalkan doa dan membaca alQuran serta zikir.
Anak yang dilahirkan perlu diazankan (telinga kanan) dan iqamat (telinga kiri). Tujuannya adalah nama Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW terlekat di dalam hati dan fikiran bayi itu.
Setelah cukup 7 hari kelahiran, ibu bapa perlu untuk melakukan akikah untuk tujuan membuang majal atau perkara yang buruk. Anak lelaki 2 ekor kambing dan anak perempuan 1 ekor kambing. Sekiranya tidak 7 hari boleh juga dibuat pada hari ke 14 atau ke 21 hari. Bapa diminta untuk mengosokkan kepala bayi kerana bapa lebih ikhlas dan kasih sayangnya kepada anak sendiri berbanding orang lain. Doanya adalah seperti berikut:

Doa Pelindung Anak dari Gangguan Syaitan

 أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ غَضَبِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِيْنِ وَأَنْ يَحْضُرُوْنِ

Maksudnya: Aku berlindung dengan (berkat) kalimah Allah yang sempurna dari kemurkaan-Nya, dari kejahatan hamba-hamba-Nya dan dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung kepada Engkau ya Tuhanku dari kedatangan mereka kepadaku. (Riwayat Abu Daud)
Ketika ini kurma dan air zam-zam diberi kepada bayi iaitu `tahnik’. Menggosok langit-langit bayi dengan kurma. Caranya: Kurma yang dikunyah diletakkan di atas jari, kemudian memasukkan jari berkenaan ke dalam mulut bayi. Gerak-geraknya ke kanan dan ke kiri dengan lembut hingga merata. Antara sunnah menyambut kelahiran anak ialah mencukur kepada anak pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian bersedekah kepada orang-orang fakir dengan perak seberat timbangan rambutnya itu. Antara sunnah menyambut kelahiran bayi ialah memberinya nama dengan nama-nama yang baik.
Peristiwa ini mengingatkan kita kepada kisah Nabi Ismail AS ketika lapar, kaki Nabi Ismail menendang-nendang tumitnya kerana lapar dan menangis hingga terpancut air zam-zam. Kurma pula mempunyai pelbagai zat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.
Bayi juga mesti mencukur semua rambutnya sambil berdoa dengan tujuan mengeluarkan penyakit hati seperti kecewa, runsing, sakit dan sebagainya. Setelah anak membesar, ibu bapa perlu mengajar anak doa ketika hendak tidur dan selepas tidur.

Doa Sebelum Tidur

بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ اَمُوتُ وَاَحْيَا

Dengan namaMu Ya Allah yang mematikan  dan menghidupkan

Doa Selepas Tidur

اَلْحَمْدُ لل الَّذِى اَحْيَانَا بَعْدَمَا اَمَاتَنَا وَاِلَيْهِ النُّشُوْرَ

Segala puji bagi Allah yang menghidupkanku sesudah mematikanku dan kepadaMu tempat kembali
Apabila anak sudah sedikit besar, bapa perlu mengajak anak untuk ke masjid atau surau. Laungan azan tanda adalah untuk orang ramai dan bukan untuk bersendirian. Ikut tok imam agar anak berdisiplin. Dunia bukan untuk seorang diri sebaliknya bermasyarakat. Ibu bapa perlu mengharapkan anak ini menjadi pemimpin yang mutaqqim.

SURAH FURQAN 74 : Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: 

"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
Ibu bapa perlu mengajar anak mengambil wuduk dengan air yang sedikit dan berjimat cermat. Semasa basuh muka. Berdoalah ketika membasuh muka. Tujuannya adalah untuk melihat muka anak kita tidak berwajah masam atau stress ketika menempuh masalah sebaliknya wajhanya tenang ketika menghadapi masalah.

Peringatan ibu bapa supaya mencari rezeki yang halal. Jangan mencari rezeki yang haram. Kenyang perut dan roh gemuk kerana roh hanya makan yang halal. Rohani sihat dikerumuni oleh malaikat tetapi rezeki haram dikerumuni oleh syaitan. Sebab itu anak tidak mudah patuh perintah Allah SWT dan RasulNya.

Bentuk pendidikan anak-anak hendaklah bermula dari kecil hingga baligh supaya anak itu bersedia dan mampu memikul tanggungjawab sebagai seorang Islam. Hal ini bertujuan agar mereka terbiasa melakukannya. Contohnya usia anak 7 tahun sudah mula mengajar anak solat. Sebab itu tempoh untuk anak berlajar solat bermula umur 7 tahun hingga 9 tahun untuk mereka fasih dan faham. Ketika usia 10 tahun anak tidak solat, ibu bapa mesti rotan anak-anak tujuan untuk mendidik.

Mendidik anak mesti bermula dengan Islam. Hidupkan dalam keluarga dengan ajaran Islam dan kebesaran Allah SWT. Takwa mesti ada dalam jiwa anak-anak. Jika tiada takwa, dunia tidak aman!


No comments: