Friday, 21 September 2018

ISLAM LIBERAL

Image result for liberal islam

Konsep pluralisme agama dibawa oleh pengaruh pemikir-pemikir Indonesia ke Asia Tenggara sebagai manifestasi apa yang diperjuangkan oleh gerakan Islam Liberal. Mereka ini kebanyakannya belajar daripada orientalis dan mendokong ajaran Pancasila. Mereka juga banyak terpengaruh dengan rasionalisme iaitu fahaman yang meletakkan kekuatan akal melebihi segala-galanya hatta wahyu sekali pun. Seorang pemimpin pembangkang cuba menjuarai isu-isu Islam tetapi mempunyai sejarah mendokongi Islam Liberal. Dengan erti kata lain, proses taakulan dianggap sebagai perkara yang mutlak dalam agama. Sedangkan Al-Quran dan Al-Sunnah itu adalah sebenarnya yang mutlak dalam agama.

Prinsip utama para orientalis apabila memperkatakan mengenai alQuran ialah bahawa Al-Quran itu adalah percampuran unsur-unsur Perjanjian Lama, Perjanjian Baru dan berbagai sumber-sumber lain termasuklah pengaruh agama Yahudi. Al-Quran juga biasanya didakwa sebagai bukan wahyu Allah bahkan ia hanyalah semata-mata karangan Nabi Muhammad s.a.w.. Ini adalah dakwaan klasik yang telah terdengar sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi. Roboh Tunjang Sumber Peradaban Islam.

Dengan memberikan andaian yang merobah keaslian Al-Quran sebagai Kalamullah, para orientalis bukan sahaja telah cuba merobohkan tunjang sumber peradaban Islam bahkan boleh menggugat keaslian kesemua ajaran Islam itu sendiri. Begitu juga apabila dikatakan agama Islam serupa dengan agama-agama lain (walaupun agama Samawi), maka agama Islam tidak mempunyai sebarang nilai lagi berbanding dengan agama-agama lain sebagai satu entiti Al-Din yang tersendiri.

KENAPA ISLAM LIBERAL BERBAHAYA?

Konsep Islam Liberal amatlah merbahaya kerana ia merosakkan akidah umat Islam. Apa yang paling fundamental dalam gerakan pluralisme agama ialah pernyataan bahawa semua agama adalah sama.

Pertama. Pada tanggapan pendokongnya, agama-agama di dunia ini mempunyai nilai sepunya yang sama walaupun nama agamanya adalah berbeza seperti Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan seumpamanya.

Kedua, kebaikan yang dianjurkan oleh setiap agama juga dikatakan sama.

Ketiga, Tuhan semua agama adalah sama iaitu Tuhan yang satu walaupun agama masing-masing berbeza antara satu sama lain.

Keempat, kebenaran hakiki semua agama juga dikatakan sama kerana semua agama menuju kepada keredaan Tuhan yang satu seperti dalam ungkapan “Unity in Diversity” atau “One God Different Ways”.

Kelima, konsep kesamarataan agama. Dikatakan bahawa semua agama adalah sama rata.

SEMUA AGAMA SAMA??

Sekiranya dikatakan semua agama adalah sama, apa ertinya seseorang itu beragama Islam. Akan banyak berlaku kemurtadan kerana manusia Muslim akan keluar daripada agama Islam dan menganut agama lain jika ia berfahaman dan mengganggap memeluk semua agama adalah sama sebab semua agama adalah serupa belaka.Ini adalah fahaman yang sangat menyesatkan. Jika nilai semua agama dikatakan mempunyai persamaan kenapa wujud Tuhan yang berbeza-beza.

Allah adalah Tuhan orang Islam. Adakah Allah juga Tuhan agama-agama lain? Jawapannya tidak! Tentu sama sekali orang-orang Islam tidak akan bersetuju bahawa nilai ibadat dalam Islam sama dengan nilai ibadat dalam agama-agama lain. Semestinya juga orang Islam tidak akan bersetuju bahawa nilai dalam Islam itu sama tahapnya dengan nilai dalam agama-agama yang lain. Sebenarnya, cara hidup, agama dan Al-Din di sisi Allah hanyalah Islam. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-An’am ayat 153 yang bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

Isu pluralisme agama dan Islam Liberal menimbulkan fenomena baru dalam pemikiran Islam. Ia mencetuskan pelbagai kontroversi dalam dunia Islam dan antarabangsa serta menggugat akidah umat  Islam.

CIRI ISLAM LIBERAL DAN PLURALISME

Agama
Ia mempunyai satu gerakan yang terancang yang berlindung di bawah gerakan-gerakan seperti global ethics, human rights dan interfaith dialogue atau dialogue of faith dan civilizational dialogue. Jaringan Islam Liberal. Ia mempunyai jaringan luas hampir di seluruh dunia termasuklah Malaysia dan telah lama berakar umbi di Indonesia.
Ideologi dan fahaman pluralisme agama merupakan suatu serangan mental dan penjajahan pemikiran yang berbahaya terhadap Islam serta penganutnya. Ia dilakukan secara halus untuk mengelirukan pemikiran umat Islam atas nama rasional, toleransi dan perpaduan. Ia mempunyai elemen-elemen fahaman Islam Liberal, sekularisme, rasionalisme, penolakan terhadap autoriti keagamaan, longgar dalam perbahasan mengenai hakikat kebenaran sesuatu agama dan sentiasa cuba menyamaratakan ajaran-ajaran agama yang berbagai.

Prinsip Islam Liberal
Ia mempromosi nilai-nilai barat dengan berselindung di sebalik slogan dan penekanan kepada terminologi universal values, good values, shared-values, positive values, noble values dan istilah-istilah yang lunak didengari. Ia menanamkan bibit kekeliruan dan ketidakpastian dengan menggunakan moto yang kelihatan baik dan muluk seperti “One God Different Ways”, “Unity in Diversity”, dan lain-lain lagi. Ia memisahkan nilai daripada agama dengan menyatakan nilai sejagat atau universal mengatasi kebaikan nilai agama dan ini menidakkan peranan agama dalam kehidupan seseorang. Apabila fahaman ini menyatakan nilai-nilai yang diterima majoriti itu adalah suatu kebaikan, maka ia sebenarnya menolak autoriti agama, kesahihan agama dan keabsahan agama. Ia memperjuangkan kebebasan mengeluarkan pendapat dalam beragama kononnya setiap orang berhak untuk memberikan pandangan walaupun pandangan itu sebenarnya bertentangan dengan agama atau pandangan itu boleh menyakiti penganut-penganut agama lain.

Islam Liberal dan Frasa Kebenaran
Metodologi yang digunakan mereka iaitu relativisme iaitu dengan menyatakan bahawa kebenaran adalah relatif dan tidak boleh didakwa mana-mana pihak, yang bertujuan kononnya memberi kebebasan yang mutlak dalam mengeluarkan pendapat dalam agama masing-masing. Jika kebenaran adalah relatif, maka agama juga bermakna bukanlah sesuatu yang benar dan tidak mutlak. Pluralisme agama lebih cenderung meletakkan neraca akal melebihi neraca agama kerana akal dianggap sebagai berautonomi dan mampu memikirkan segala-galanya.

CARA MENANGANI ISLAM LIBERAL

Menguatkuasakan undang-undang untuk mencegah penularan gerakan Islam Liberal.

Memperkasa akidah umat Islam dengan menfokuskan kepada ancaman gerakan Islam Liberal.

Mendedahkan kepada masyarakat secara meluas akan gejala gerakan Islam Liberal yang boleh merosakkan akidah dan pemikiran umat Islam.

Umat Islam perlu berhati-hati, berwaspada dan berawas dengan gerakan fahaman pluralisme agama kerana matlamat akhir gerakan ini ialah menghapuskan semua agama. Apabila nilai akal diletakkan diletakkan lebih tinggi daripada agama, maka agama tidak lagi mempunyai sebarang signifikan dan peranan.

Umat Islam perlu berpegang teguh dengan agama Allah agar kita tidak terpesong. Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-An’am, ayat 153 yang berbunyi: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutinya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya bertaqwa.”

No comments: