Thursday, 30 September 2021

KAHWIN LEWAT


Berkahwin pada usia yang lewat memberi kebimbangan yang akan memberi impak negatif kepada masyarakat, bangsa, negara dan agama. Justeru, ia perlu diselesaikan agar pembangunan negara dan umat Islam di Malaysia khususnya tidak terganggu oleh bilangan rakyat yang semakin berkurangan berbanding kadar keperluan sumber tenaga manusia. Kahwin Lewat di Kalangan Masyarakat Malaysia Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menyatakan bahawa peningkatan usia berkahwin bagi rakyat Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Berapakah usia yang dianggap lewat untuk berkahwin?. Perbahasan ini boleh dibincangkan berdasarkan dua buah hadith Rasulullah saw yang menjelaskan tentang perkahwinan.

Hadith Pertama: Sabda Rasulullah saw:
Maksudnya: “Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu, maka berkahwinlah, sesungguhnya ia lebih menundukkan pandanganmu dan lebih memelihara kemaluanmu, dan barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, sesungguhnya ia adalah perisai baginya.

Hadith ini menunjukkan bahawa usia berkahwin yang terbaik adalah pada usia pemuda kerana Rasulullah saw menggalakkan pemuda untuk berkahwin, tidak dinyatakan kanak-kanak mahupun orang tua.

Hadith kedua: Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra,

“Rasulullah saw memerintahkan untuk memberi mahar, dan sangat melarang hidup membujang, Baginda saw bersabda: “Nikahilah para wanita yang sangat penyayang dan subur kerana aku akan berbangga dengan banyaknya bilangan kalian di akhirat kelak.”
Hadith ini menunjukkan bahawa seorang lelaki atau perempuan yang terbaik untuk dinikahi adalah yang penyayang dan subur. Oleh itu, tahap kesuburan seseorang boleh menjadi asas kepada usia terbaik untuk berkahwin dan usia yang dianggap lewat berkahwin lantaran penurunan tahap kesuburan.

Pertama : Usia pemuda
Waktu baligh sehingga berusia 40 tahun kerana usia pemuda telah diiktiraf sebagai usia yang paling gagah bagi seseorang samada dari sudut mental, fizikal mahupun emosi. Sheikh Hashim Muhammad Ali ada mengingatkan bahawa Rasulullah saw dibangkitkan sebagai Rasul pada usia 40 tahun, bermakna usia ini masih dikira sebagai usia pemuda kerana Baginda dibangkitkan dalam keadaan yang paling tepat untuk membawa risalah Islam.
  
Kedua: Tahap Kesuburan
Tahap kesuburan lelaki dan wanita adalah berbeza antara satu sama lain. Lelaki mengalami tahap kemuncak kesuburan pada usia antara 20 hingga 39 tahun. Manakala wanita mengalami tahap kemuncak kesuburan pada usia antara 20 hingga 29 tahun. Pada usia 30 tahun, kesuburan wanita mula menurun, namun ia menurun secara mendadak selepas usia 35 tahun.

Usia Lewat Berkahwin Bagi Lelaki Dan Wanita:

Usia yang dianggap lewat berkahwin bagi lelaki adalah tidak sama dengan wanita kerana perkembangan mental, fizikal dan biologikal mereka adalah tidak sama. Oleh itu, usia 35 tahun boleh dianggap lewat bagi lelaki dan usia 30 tahun pula dianggap lewat bagi wanita untuk berkahwin kerana:

1. Manusia berada pada usia pemuda sekitar waktu baligh sehingga 40 tahun. Oleh
kerana usia baligh wanita adalah lebih awal berbanding lelaki, maka wanita lebih cepat
matang. Berkahwin pada usia yang melepasi tahap kemuncak kematangan mereka
merupakan waktu yang dianggap lewat kerana alam perkahwinan seharusnya dikemudi
ketika tahap pemikiran berada di tahap yang paling bijak dan fizikal yang paling gagah
dalam hidup agar matlamatnya dapat dicapai semaksima mungkin.

2. Tahap kesuburan lelaki menurun secara drastik pada usia 40 tahun. Manakala
penurunan kesuburan wanita pula jatuh secara drastik pada usia 35 tahun. Sekiranya
mereka berkahwin pada usia ini, maka kemungkinan untuk mendapatkan anak adalah
sangat rendah. Oleh itu, untuk mencapai salah satu daripada matlamat perkahwinan,
usia paling lewat bagi lelaki dan wanita berkahwin ialah 5 tahun sebelum tahap
kesuburan mereka menurun secara drastik.

Punca Berlakunya Fenomena Kahwin Lewat di kalangan masyarakat Malaysia
Mahar dan hantaran yang tinggi - kaum lelaki yang perlu menyediakan mahar dan hantaran buat isteri yang bakal dikahwininya. Islam tidak pernah menetapkan kadar mahar bagi seorang wanita. Namun, adat dan budaya masyarakat Melayu yang telah menjadikan mahar sebagai bahan kemegahan menyebabkan mereka berlumba-lumba meletakkan mahar yang tinggi sehingga lelaki perlu berfikir panjang untuk berkahwin.
Akhirnya, mereka tiada pilihan selain menguburkan sahaja niat mereka lantaran permintaan pihak wanita yang tidak mampu dipenuhi.

Tidak bertemu jodoh yang sesuai - Mencari jodoh sangat berkait rapat dengan soal kufu samada dari segi usia, agama, keturunan dan sebagainya. Timbulnya permasalahan tidak bertemu jodoh yang sesuai adalah disebabkan oleh taraf wanita yang semakin tinggi di mana ramai wanita menjawat jawatan tinggi di tempat kerja mereka dan banyaknya bilangan mereka yang mempunyai taraf pendidikan tinggi. Ketidakseimbangan nisbah ini menyulitkan pencarian jodoh yang sekufu. Atas konsep kufu dalam perkahwinan, biasanya wanita akan mencari calon suami yang sama taraf atau lebih daripadanya. Dengan statistik sebegini, sukar bagi wanita menemui jodoh yang sesuai untuk dirinya. Apabila bilangan wanita tidak berkahwin semakin banyak, ini sekaligus menyebabkan bilangan lelaki tidak berkahwin juga bertambah banyak.

Merasa tenang hidup sendirian - Dengan kerjaya dan gaji yang mencukupi, banyak juga wanita yang merasa selesa hidup bersendirian tanpa suami. Ada juga anak-anak yang ingin berbakti menjaga orang tua mereka, tidak mahu berkahwin kerana bimbang komitmen keluarga akan menghalangnya daripada terus berbakti kepada ibubapanya sendiri. Punca ini kebanyakannya berlaku di kalangan wanita berkerjaya dan berpendidikan tinggi.
Kesan sihir ke atas kelewatan berkahwin - Kewujudan sihir firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 102:

Maksudnya: “Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitansyaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahwa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (Tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitanlah yang kafir (mengerjakan sihir). mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir". Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya.”

Sabda Rasulullah saw:
Maksudnya: “Sesungguhnya jampi, azimat dan sihir pengasih adalah syirik.
  
Penyelesaian Pendekatan al-Sunnah dalam menangani Kahwin

Pendekatan al-Sunnah dalam menangani fenomena kahwin lewat yang berpunca daripada kadar mahar dan hantaran yang tinggi.

Rasulullah saw bersabda:

Maksudnya: “Berkahwinlah kamu walau dengan sebentuk cincin besi.”

Hadith ini mengharuskan perkahwinan berlaku walaupun dengan kadar mahar yang sangat kecil seperti sebentuk cincin besi kerana apa yang penting dalam perkahwinan bukanlah tingginya nilai mahar yang diberi, tetapi taqwa seseorang. Taqwa ini akan membina kekuatan untuk seseorang melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dalam sebuah rumahtangga. 

Dalam urusan hantaran perkahwinan yang biasanya bertujuan untuk kegunaan majlis kenduri walimah,

Rasulullah saw bersabda:
“Adakanlah kenduri kahwin walau dengan seekorkambing.”

Pendekatan al-Sunnah dalam menangani fenomena kahwin lewat tidak bertemu jodoh yang sesuai.

Sabda Rasulullah saw:
Maksudnya: “Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah agama, nescaya kamu akan bahagia.”

Hadith ini menyatakan tentang kecenderungan nafsu lelaki untuk mencari calon isteri yang mempunyai harta, keturunan, kecantikan dan agama. Maka Rasulullah saw memerintahkan agar seorang lelaki memilih agama mengatasi kecenderungan nafsunya terhadap selain itu, nescaya kamu akan bahagia. Oleh itu, Islam mengajar agar umatnya tidak terlalu memilih dalam mencari pasangan hidup sehingga menolak perkahwinan hanya kerana kekurangannya pada sudut lain selain agamanya.

Bagi wanita, Rasulullah saw mengajar agar menerima lamaran seorang lelaki yang baik agama dan akhlaknya sehingga jika seorang wanita menolak lamaran dari lelaki sedemikian, maka akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar. 

Baginda saw bersabda:
Maksudnya: “Apabila datang seorang lelaki yang engkau redha dengan agama dan akhlaknya, maka berkahwinlah dengannya, jika tidak, akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar.”

Agama seharusnya menjadi ukuran utama dalam memilih pasangan hidup. Oleh itu, ibubapa memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan masa depan anak-anak mereka. Ayah sebagai wali, perlu berusaha mendapatkan jodoh yang soleh bagi anak perempuannya. Begitu juga sebagai ayah kepada anak lelaki, dia seharusnya mengambil berat tentang solehah atau tidak jodoh pilihan anaknya. Inilah salah satu daripada tanggungjawab seorang ayah yang kian diabaikan hari ini.

Pendekatan al-Sunnah perasaan tenang hidup bersendirian - Dalam hadith Hamid bin Abi Hamid al-Tawil, bahawasanya beliau mendengar Anas bin Malik ra berkata: telah datang 3 lelaki ke rumah isteri-isteri Nabi saw bertanya tentang ibadah Nabi saw. Apabila dikhabarkan kepada mereka tentang ibadah Baginda saw, mereka seolah-olah memperkecilkan ibadah Baginda, lalu berkata: Siapalah kami jika dibandingkan dengan Nabi saw? Allah telah mengampunkan segala dosa Baginda yang telah lalu dan akan datang. Berkata salah seorang dari mereka: “Sesungguhnya aku solat sepanjang malam.” Berkata seorang lagi: “Aku berpuasa sepanjang hari tanpa berbuka.” Berkata seorang lagi: “Aku menjauhi wanita dan aku tidak berkahwin,” 

Kemudian Rasulullah saw datang kepada mereka, lalu bersabda:
Maksudnya: “Kaliankah yang berkata begini dan begini? Demi Allah, aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertaqwa dari kalangan kamu, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku solat dan tidur, aku berkahwin dengan wanita, maka barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, dia bukanlah dari kalanganku.”

Hadith ini secara tidak langsung memberitahu bahawa walau sebesar manapun ibadah dan kebajikan yang ingin dilakukan oleh seseorang melalui hidup bersendirian tanpa pasangan hidup, ia tetap bertentangan dengan apa yang lebih utama (khilaful aula). Perkara yang lebih utama adalah mengikuti sunnah Rasulullah saw dengan berkahwin.

Pendekatan al-Sunnah dalam menangani fenomena kahwin lewat yang berpunca daripada sihir yang menyebabkan kelewatan berkahwin.

Sabda Rasulullah saw:
Maksudnya: “Sesungguhnya jampi, azimat dan sihir pengasihadalah syirik.”
Apabila kembali kepada sunnah, seorang Islam tidak akan melakukan sihir yang merupakan perbuatan syirik sebagaimana dijelaskan dalam hadith di atas.



No comments: