Alam
kehidupan yang dikehendaki oleh ajaran Islam adalah alam yang bersifat rabbani
dan insani. Tidak boleh ditinggalkan
salah satu di antaranya. Sekiranya ditinggalkan maka akan berlaku kepincangan. Rabbani di sini bermaksud setiap aspek
kehidupan itu diambil daripada arahan dan hukum Allah S.W.T dan menuju kepada
Allah dengan seluruh perasaan dan amalannya. Insani pula bermaksud ia
merangkumi segala jenis kemanusiaan di bawah lembayung akidah. Tiada
bezanya di antara seseorang manusia kecuali ketinggian iman dan taqwa yang merangkumi
hal-hal yang berkaitan dengan institusi perkahwinan dan kekeluargaan sebagai
asas utama pembentukan masyarakat sejagat agar bersifat rabbani dan insani.
Ini
memperlihatkan bahawa institusi perkahwinan dalam agama dan falsafah Islam
merupakan asas dan dasar utama dalam melahirkan insan-insan rabbani dari kecil.
Inilah yang akan terus mempastikan pembangunan negara dan bangsa umat Melayu
yang kekal dan beriman.
Prinsip Pemilihan
Pasangan dalam Islam
Agama
Islam amat menitik beratkan kesejahteraan sesebuah perkahwinan yang bakal
dibina. Justeru, pemilihan pasangan adalah sangat
penting sebagai pola asas membentuk sistem kekeluargaan gemilang.
Sesungguhnya di dalam Islam telah menetapkan ciri-ciri pasangan yang akan
dipilih samada lelaki ataupun wanita.
Firman
Allah S.W.T bermaksud : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan
kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa
dan bersuku puak, supaya kamu berkenalkenalan (dan beramah mesra antara satu
dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang
yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau
bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam
pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). Surah al-Hujurat (49):13
Ayat
di atas menerangkan bahawa pemilihan pasangan hidup ataupun jodoh dalam Islam
adalah berasaskan sifat ketaqwaan kepada
Allah S.W.T. Jelas pemilihan pasangan dalam Islam bukanlah hanya
bersandarkan kepada harta kekayaan, mulianya keturunan atau tingginya pangkat
dan darjat semata-mata tetapi lebih daripada itu, iaitu beriman dan bertaqwa
kepada Allah S.W.T.
Sebagaimana
hadith Rasulullah S.A.W mafhumnya bermaksud : "Wanita dikahwini kerana
empat perkara iaitu; Hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka
agama adalah lebih baik"
Justeru
dalam Islam disarankan memilih wanita yang bertaqwa dan solehah iaitu yang
dimaksudkan wanita yang beragama. Ini kerana wanita tersebut mampu menenangkan
hati apabila memandangnya, banyak mengetahui hal ehwal agama, menggalakkan
kepada sifat-sifat yang baik, mampu mendidik anak-anak serta menguruskan rumahtangga
dengan sempurna. Selaras fungsi isteri iaitu untuk menenangkan suami, untuk
disukai, berkongsi hidup, membina rumahtangganya, ibu kepada anak-anaknya dan
sebagainya.
No comments:
Post a Comment