Saturday, 11 September 2021

KENAPA SABAR KEMUDIAN SOLAT?




A153
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah 2:153)

Allah berfirman apabila kita diuji, بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ. Bermakna SABAR dan SOLAT. Bermakna, kena lakukan kedua-duanya. Bukan pilihan. Dan lakukan mengikut urutan. SABAR kemudian diikuti dengan SOLAT. Kenapa kena sabar dahulu baru solat?. Kalau kita mentafsirkan sendiri dengan MAZHAB PERASAAN mesti ada antara kita yang membuat andaian begini, "Agaknya sebab solat tu berat. Susah. Sebab tu lah Allah suruh sabar dulu baru solat."

Rasulullah SAW menjelaskan berkenaan SABAR dan SOLAT menerusi hadithnya.
الصبر ضياء
(as-Sobru Dhiya') Sabar itu laksana cahaya, sinar yang dipancarkan oleh matahari.
الصلاة نور
(as-Solatu Nur) Solat itu laksana cahaya, sinar daripada rembulan.

Kenapa Solat dikatakan Nur (نور) yakni ibarat cahaya atau sinar daripada bulan?. Kita berbalik melihat 'al-Qur'an senyap' iaitu alam semesta dan fenomena alam disekeliling kita yang telah Allah sediakan, terbentang luas di hadapan kita. Bagaimana perasaan kita ketika melihat cahaya bulan?. Menenangkan, nyaman, selesa, Indah. Rasa bahagia di hati. bukan?. Berbanding dengan cahaya daripada matahari. Panas dan terasa teriknya, Menyakitkan. Berbeza dengan sinar daripada bulan yang begitu mendamaikan, mengasyikkan dan tidak menyakitkan.

Jadi, kenapa Allah minta kita supaya SABAR dahulu kemudian SOLAT ketika diuji?. Kita lihat lagi alam semesta. Bagaimana bulan mendapatkan cahayanya?. Adakah bulan mengeluarkan cahayanya sendiri?. BULAN mendapat memancarkan cahaya adalah pantulan daripada cahaya matahari! Sebab itu Allah minta kita supaya SABAR dahulu kemudian SOLAT ketika diuji kerana kedua-duanya saling berkait.
Solat merupakan daripada perkataan صل yang bererti jalan perhubungan. Maka, الصلاة bermaksud jalan perhubungan seorang hamba dengan Tuhannya. Solat itu Nur (نور) ibarat sinar daripada rembulan yang menyenangkan, mendamaikan. Tapi adakah kita rasa menyenangkan, mendamaikan ketika kita berhubung dengan Allah ketika kita solat?. Seandainya kita terasa berat, sakit ketika solat bermakna kita sudah HILANG rasa keselesaan, ketenangan ketika berhadapan dengan Tuhan kita. Maka, cubalah kita untuk perbaharui dan perbaiki solat kita sehingga kita rasa selesa ketika kita melalukan solat seperti kita melihat bulan purnama. Kenikmatan dan Keselesaan ketika solat itulah HAKIKAT SOLAT.

Rasulullah SAW bersabda, "Wahai Bilal, rehatkanlah kami dengan solat." Sewajarnya, selepas solat akan buat kita rasa 'FRESH' rasa segar kembali kerana ketika kita diberikan tekanan, musibah, kemudian kita kembalikan kepada ALLAH ketika solat. ALLAH akan menghilangkan tekanan itu. Maka kita akan merasakan KETENANGAN ketika solat dan selepas solat. Meski masalah itu belum pun selesai, tapi nikmat ketenangan itu yang kita perlukan untuk terus optimis dan tidak berputus asa.



No comments: