Hikmah atau tujuan petunjuk Allah (istiqamah) yang dipohon pada setiap rakaat solat ketika mengadap Allah setiap waktu yang diwajibkan atau solat sunat, termasuk solat jenazah yang tidak ada rukun-rukun yang lain, namun Al-Fatihah memohon istiqamah tetap diwajibkan.
Rasulullah S.A.W menyebut ayat tersebut di atas kepada para sahabatnya R.A sambil menggaris di atas tanah garisan yang betul lurus dan panjang dengan jarinya yang mulia. Kemudian digariskan cabangnya yang banyak di sebelah kiri dan kanan. Baginda S.A.W menegaskan garis yang satu sahaja (Islam) wajib diikut. Adapun yang lain, di kiri dan kanan adalah jalan yang digoda oleh syaitan.
Lalu ditegaskan pula bahawa Al-Quran adalah petunjuknya dan Rasulullah S.A.W yang bersabda dan beramal adalah penjelasannya dalam semua perkara yang dinamakan agama atau urusan dunia yang tidak terpisah daripada Islam yang sempurna merangkumi seluruh kehidupan manusia dalam hubungannya dengan Allah, dirinya dan manusia yang lain sehinggalah alam sekelilingnya yang nyata sehingga alam ghaib, daripada bumi sehingga angkasa lepas, daripada dunia sehingga akhirat.
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-An'aam 6:153)
Rasulullah S.A.W menunjukkan cara
beribadat sehinggalah cara berpolitik memerintah negara masyarakat majmuk.
Dijelaskan dengan nyata wajib berwala’ (berketuakan atau kepimpinan dan
pengurusannya) kepada orang-orang yang beriman. Diharamkan berwala’ kepada
bukan Islam menjadi sempadan berpolitik. Hanya dibenarkan bermasyarakat madani
(bertaaruf), bertahaluf, berdamai dan bertaawun sahaja. Firman Allah
menegaskan:
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. (A-li'Imraan 3:28)
Maka termasuk dalam prinsip dan
dasar keimanan yang menjadi akidah tetap, jelas dan nyata tidak harus berbeza
pendapat. Hanya perkara furu’ atau cabang boleh berkhilaf atau berbeza pendapat
kerana berbeza sebab, realiti dan situasi yang melahirkan mazhab yang diizinkan
oleh syara’, bahkan semuanya diberi pahala berijtihad dengan syarat- syarat dan
sifat keahlian ilmu dan akhlaknya, kerana sabda Rasulullah S.A.W:
“Apabila seseorang yang mencari
hukum secara ijtihad (dalam perkara yang tidak ada nas yang nyata) kemudian dia
betul, nescaya diberi dua pahala. Dan apabila dia berjtihad, kemudian dia salah
necaya diberi kepadanya satu pahala” (Muttafaqun ‘alaih)
Orang-orang yang telah pun
beriman kepada Kitab Allah (Al-Quran) pula ada berbagai-bagai peringkat dan
kemampuan melaksanakannya. Ada yang rajin, ada yang malas dan ada yang
tenggelam ke dalam maksiat, namun tetap beriman kepadanya. Allah berfirman:
“Dan Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu
(Wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan
Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya, lagi Maha Melihat dan
Memerhatikan.
Dan Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hambaNya, lagi Maha Melihat dan memerhatikan. (Faatir 35:31)
Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (Faatir 35:32)
Adapun mereka yang menolak
Al-Quran, membatalkan iman dan Islamnya, atau membatalkan Dua Syahadahnya yang
telah diikrarkan atau melanggar baiahnya, Firman Allah telah menyatakan akibat
menimpa mereka di Hari Akhirat apabila Al-Quran tidak dijadikan petunjuk dengan
sengaja, bukannya jahil atau hilang akalnya sama ada pemimpin atau pengikut:
Dan orang-orang yang kafir berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada Al-Quran ini dan tidak juga kepada Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya". Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang tertindas berkata kepada orang-orang yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya): "Kalaulah tidak kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi orang yang beriman". (Saba' 34:31)
Orang-orang yang sombong takbur itu menjawab kepada orang-orang yang tertindas: Kamikah yang telah menghalang kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia datang kepada kamu? (Bukan kami yang menghalang) bahkan kamulah yang menyebabkan diri sendiri menjadi orang-orang yang berdosa". (Saba' 34:32)
Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu: "Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan. (Saba' 34:33)
Maksudnya ingkar terhadap perkara
dasar, syarat dan rukun di luar daripada urusan ijtihad mazhab di dalam Islam,
seperti mereka menganut ideologi atau teori yang dicipta di luar daripada
prinsip dan hukum yang nyata di dalam Islam yang menyeluruh, walaupun
diletakkan jenama Islam dan istilahnya dengan tujuan menipu atau cara yang
sesat, kerana mencari jalan pintas untuk kemenangan dunia tanpa peduli terhadap
wawasan akhirat.
Perkara yang ditegaskan oleh
Rasulullah S.A.W apabila ditawarkan kepadanya kuasa tanpa mendaulatkan Islam.
Sabda Baginda S.A.W kepada Abu Talib, bapa saudaranya:
“Wahai bapa saudara kesayanganku! Kalaulah
diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, nesacaya aku tidak akan
meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam), sehinggalah Allah memenangkannya
atau aku mati dalam menuntut kemenangannya (yang belum dicapai)”
Begitulah juga perintah Allah
supaya terus beristiqamah bersama Islam apabila dicabar oleh musuhnya dengan
bersyarat kemewahan dunia atau menunjukkan perkara luar biasa atau bala
mendatang supaya mereka menerima tawaran Islam:
Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami. (Al-Israa' 17:90)
Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. (Al-Israa' 17:91)
Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. (Al-Israa' 17:92)
Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya". Katakanlah (wahai Muhammad):" Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?. (Al-Israa' 17:93)
Maka termasuk tidak beristiqamah
juga, sehingga berjanji apa sahaja demi kemenangan semata-mata, walaupun berbohong
dengan janji yang tidak mungkin ditunaikan dalam sekelip mata. Amaran lebih keras terhadap
berwala’ kepada musuh Islam demi mencapai cita-cita kemenangan sehingga
disenaraikan dengan sifat munafik. Firman Allah:
Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (An-Nisaa' 4:138)
(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya). (An-Nisaa' 4:139)
Sejarah hilangnya kuasa Islam di
Andalusia dan kejatuhan Negara Arab, Nusantara dan lain lain oleh penjajah
cukup menjadi iktibar supaya tidak berulang lagi kerana sabda Rasulullah S.A.W:
“Tidak seharusnya seseorang yang
beriman itu disengat daripada satu lubang sebanyak dua kali”
No comments:
Post a Comment