Monday 30 November 2020

APA HUKUM ORANG YANG BERAZAM UNTUK MURTAD, BERKATA AKU BERJAUH DIRI DARI ISLAM, AKU KELUAR ISLAM?

 


Telah banyak kitab yang menyebut mengenai Riddah/Murtad sama ada di kalangan ulama Arab mahupun Melayu. Ada satu kitab yang mulia, ianya ringkas tetapi bermanfaat sehingga banyak ulama menggunakan kitabnya untuk diajarkan, ditahqiq, dialih bahasa supaya sampai kepada orang awam. Kitab tersebut namanya Sullam al-Tawfiq karangan Syaikh Abdullah ibn Husayn ibn Tohir al-Hadhramiy. Di dalam kitab ini ada membicarakan bab khusus mengenai murtad, perkara-perkara yang boleh menyebabkan orang jatuh murtad.

Gambar yang saya lampirkan ialah gambar dua buah kitab. Pertama, kitab alih bahasa dari Sullam al-Tawfiq kepada Bahasa Melayu (Jawi) oleh Syeikh Dawud al-Fathani dan diberi nama Sullam al-Mubtadiy. Kedua, kitab yang ditahqiq dan ditarjih akan masalah Fiqh dan Tasawwuf di dalamnya yang dikarang oleh Al-Muhaddith Syeikh Abdullah al-Harariy dan diberi nama Mukhtasar Abdillah al-Harariy, kandungannya sama dalam Sullam al-Tawfiq juga, cuma ada tahqiq dalam masalah Fiqh dan Tasawwuf. Masalah Akidah masih sama. Perhatikan dalam gambar-gambar ini, susunan perkataannya, gaya bahasanya, sama. Melayu (jawi), Arab, dan terjemahan Melayu (rumi).

Kita ringkaskan:

Riddah atau Murtad terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Iktikad

2. Perkataan

3. Perbuatan

Di antara iktikad yang menyebabkan orang jatuh murtad ialah berazam untuk kufur seperti keluar Islam, atau berazam melakukan perbuatan kufur seperti mencampak Al-Quran dalam Tong Sampah, atau berbelah-bahagi sama ada nak Murtad atau tak mahu Murtad. Lihat pada gambar, saya dah merahkan.

Konklusinya, JATUH MURTAD

Kemudian, di antara perkataan yang menyebabkan orang jatuh murtad ialah seperti berkata “Aku berlepas diri dari Allah, Malaikat, Nabiy, Syariat atau Islam”. Lihat pada gambar, saya dah merahkan.

Konklusinya, JATUH MURTAD

Maka sesiapa yang jelas tanpa paksaan bunuh, bukan tersasul, bukan dalam keadaan hilang akal, bukan dalam keadaan meriwayatkan perkataan orang lain, kemudian dia berkata:

“Aku tak mahu Islam, Aku nak keluar Islam, Aku bukan orang Islam” dan seumpamanya. 

Konklusinya, JATUH MURTAD

INI PERKATAAN ULAMA ZAMAN-BERZAMAN BUKAN PERKATAAN SELEBRITI YOUTUBE ATAU TELEVISYEN.

Apa Bukti Kasih Sayang Kita Kepada Saudara Kita Yang Dah Murtad?

Iaitu dengan cara kita menyuruhnya:

1. Mengucap Dua Kalimah Syahadah

2. Meninggalkan perkara yang menyebabkan Murtad tadi

3. Menyesal atas perlakuannya yang menyebabkan Murtad

4. Bertekad untuk tidak mengulanginya kembali

Mari kita sama-sama doakan saudara kita diberi hidayah oleh Allah. Takutlah azab neraka yang kekal selamanya berbanding nikmat dunia yang sedikit lagi tiada kekal.

No comments: