Tuesday, 8 November 2022

ISTIDRAJ DAN CABARAN SYAHWAT


Kesenangan dunia dimiliki oleh umat manusia. Ada yang dilalaikan dengan kesenangan dunia dan ada juga yang tidak dilalaikan dengannya. 

Bagi yang lalai, kesenangan dunia menjadi istidraj kepada dirinya, sehingga dia lupa sama sekali dengan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah SWT. Mereka merasakan kekayaan dan kesenangan merupakan lambang kasih sayang Tuhan, padahal kesenangan tersebut semakin menjauhkan daripada Allah SWT yang boleh mengakibatkan dia terjerumus kepada kemaksiatan dan yang paling buruk sehingga terjerumus ke lembah kekafiran.

Manakala bagi yang tidak dilalaikan, maka kesenangan dunia ini menjadi sebab untuk dia lebih berbakti untuk Allah SWT dan agamanya. Hal ini menyebabkan dia memperoleh tempat yang lebih baik di alam akhirat. Terdapat tiga pengajaran yang boleh diambil daripada perbincangan tafsiran ayat ini, iaitu tentang berhati-hati dengan anugerah kesenangan dunia, mengutamakan kenikmatan syurga berbanding kesenangan dunia, dan mengamalkan sifat orang yang bertakwa. 

Allah SWT berfirman maksud: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun- timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang ternak serta kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia.  Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (14) Katakanlah (wahai Muhammad), “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan/isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah.” Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-Nya; (15) (Iaitu) orang yang berdoa dengan berkata, “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka"; (16) (Dan juga) orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur. (17) (Surah Ali ‘Imran, 3: 14-17)

Ayat ini Allah SWT menjelaskan bentuk kesenangan dunia yang banyak diberikan kepada orang kafir dan juga kepada orang Islam dengan penegasan bahawa ada perkara yang lebih baik daripada kesenangan dunia ini, iaitu sifat beriman dan bertakwa. 

Kesenangan dunia tanpa iman dan takwa adalah satu kehinaan sebaliknya pula kesenangan dunia bersama dengan iman dan takwa memberikan umat manusia kedudukan yang lebih baik dan indah di alam akhirat, iaitu dalam syurga Allah SWT.

Mengutamakan kenikmatan syurga berbanding kesenangan dunia nikmat syurga sangat jauh bezanya dengan kesenangan dunia. Walaupun tidak menjadi kesalahan untuk mendapatkan kesenangan dunia, tetapi kelalaian untuk memperoleh syurga disebabkan kesenangan dunia adalah sesuatu yang sangat merugikan umat manusia. 

Allah SWT menjelaskan jenis kesenangan kehidupan dunia yang ada manusia terlalai dengannya dan ada pula manusia tetap tidak lalai untuk beriman, bertakwa, serta beramal soleh di samping kesenangan dunia. Golongan kedua ini yang dipuji oleh Allah SWT sehingga Allah SWT menjanjikan mereka balasan syurga yang kekal abadi.

Nikmat syurga wajar dijadikan matlamat ketika memiliki kesenangan dunia kerana nikmat syurga bersifat kekal abadi. Sedangkan nikmat dunia akan binasa dengan kematian seseorang. Oleh kerana itu, Allah SWT menegaskan nikmat syurga dengan menjadi takwa asas kehidupan merupakan cara hidup terbaik ketika manusia menikmati kesenangan dunia (Surah Ali ‘Imran, 3: 15). 

Syurga

Tanah syurga merupakan tanah yang sangat subur yang disuburkan dengan sungai yang mengalir daripada empat jenis sungai madu, arak, susu, dan air tawar yang suci dan murni daripada sebarang pencemaran. Syurga ini tempat yang abadi bagi sesiapa yang sudah terpilih untuk memasukinya. 

Kesenangan dunia berupa wanita di dunia, amat jauh bezanya dengan wanita syurga dan bidadari yang sahaja sentiasa dara, tetapi suci daripada sebarang haid, nifas, dan tiada langsung penghasilan bau yang busuk daripada tubuhnya. Memilih wanita dan bidadari syurga sebagai matlamat kesenangan abadi adalah lebih baik daripada memilih wanita dunia, tetapi melalaikan seseorang daripada menjadi insan yang bertakwa (Surah Ali ‘Imran, 3: 15). 

Perkara yang paling berharga bagi ahli syurga ialah mendapat keredaan Allah SWT buat selama-lamanya (Surah al-Tawbah, 9: 72) kerana tiada apa yang lebih membahagiakan seseorang hamba selain keredaan, kasih sayang, cinta Tuannya serta layanan yang baik diberikan oleh Tuannya kepada dirinya. 

Pengajaran Ayat

Umat manusia khususnya umat Islam wajar mengetahui, memahami, dan mengamalkan perintah Allah SWT terhadap perkara berikut, iaitu tentang berhati-hati dengan anugerah kesenangan dunia, mengutamakan kenikmatan syurga berbanding kesenangan dunia, dan mengamalkan sifat orang yang bertakwa.

Berhati-hati dengan anugerah kesenangan dunia. Terdapat lima bentuk kesenangan dunia yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat manusia, iaitu wanita, anak-anak, harta, kenderaan tunggangan, binatang ternakan, dan pemilikan tanah khususnya untuk bercucuk tanam.

Bersifat dengan sifat hamba Allah swt yang bertakwa. Beberapa sifat orang yang bertakwa dijelaskan dalam firman-Nya (Surah Ali ‘Imran, 3: 16- 17) untuk dijadikan panduan buat umat Islam dan umat manusia, iaitu:

Beriman dengan Allah SWT, Rasul-Nya, dan Kitabnya

Ciri pertama insan yang bertakwa ialah beriman dengan Allah SWT, Rasul-Nya, dan Kitab-Nya. Rasul di sini ialah Nabi Muhammad SAW selaku Rasul yang diamalkan syariatnya sedangkan Rasul yang lain diimani mereka sebagai nabi dan Rasul. Manakala kitab-Nya pula merujuk al-Quran dan kitab-kitab yang lain dengan al-Quran menjadi panduan amalan dan kitab-kitab yang lain sebagai keimanan terhadap kitab-kitab pernah diturunkan oleh-Nya (Surah Ali ‘Imran, 3: 16).

Berdoa dengan Doa Keampunan

Orang yang bertakwa juga selalu memohon keampunan (Surah Yusuf, 12: 98) dan beristighfar khususnya pada waktu sahur (Surah Ali ‘Imran, 3: 17) dan memohon untuk dijauhkan daripada azab neraka (Surah Ali ‘Imran, 3: 16). Hal ini demikian kerana pada waktu sahur rahmat Allah SWT sentiasa menunggu untuk diberikan kepada para hamba- Nya yang memohon sesuatu permohonan untuk diperkenankan dan memberi keampunan untuk yang memohon keampunan. Oleh kerana itu, waktu ini menjadi waktu ibadah Rasulullah SAW serta para Nabi dan Rasul, serta para sahabat.

Bersifat Penyabar, Benar, Taat atau Kuat Ibadah, dan Membelanjakan Harta

Orang yang bertakwa juga mempunyai sifat penyabar dalam beribadah dan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya, membenar dan tidak pernah melawan perintah-Nya serta kuat jiwa hatinya dalam mengamalkan segala perintahnya tersebut sekalipu berat. Sentiasa memerhatikan dirinya berada dalam ketaatan. Akhir sekali, selalu membelanjakan hartanya pada jalan Allah-Nya (Surah Ali ‘Imran, 3: 17).

No comments: