Istilah hidup beragama seperti alhayah al-mutadayyinah, al-tadayyun, komitmen beragama, kematangan beragama, religiosity, penghayatan agama serta iman dan takwa.
Hidup beragama ialah menjadikan Islam sebagai tatacara hidup yang sempurna dan diredai oleh Allah SWT berdasarkan ketaatan kepada Allah SWT dan bertunjangkan tauhid. Kesan daripada penghayatan agama, seseorang akan memperoleh kemanisan iman.
Kemanisan iman ini hanya boleh diperoleh melalui penghayatan terhadap setiap isi kandungan ajaran agama Islam itu sendiri terutamanya hal-hal yang berkaitan mentauhidkan Allah SWT serta tunduk dan patuh kepada perintah dan larangan Allah SWT. Amalan beragama bukan sahaja sekadar amalan luaran akan tetapi sehingga meresap di dalam jiwa. Ia meliputi hubungan dengan Allah SWT, hubungan manusia dengan manusia juga dengan alam yang berasaskan kepada hukum syarak.
Lebih mendalam lagi, seorang Muslim yang komited terhadap agama mesti berfikir dengan cara berfikir yang berasaskan kerangka pemikiran Islam dalam mana-mana bidang atau aspek kehidupan.
Apabila tauhidnya benar akan melahirkan mukmin berakhlak mulia ketika mana setiap tindak tanduknya tidak bercanggah dengan hukum-hakam Islam sehingga jelas cahaya keindahan Islam menerusi tingkah lakunya.
Dalam konteks mencari pasangan hidup, seorang lelaki mukmin perlu menyedari bahawa banyak kewajipan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Selain berkewajipan menjaga dirinya sendiri dari api neraka, ia wajib menjaga keluarganya dari api neraka. Apabila memahami betapa beratnya kewajipan dan tanggungjawab itu maka kita memerlukan seseorang untuk membantu iaitu seorang muslimah yang berpegang teguh pada agamanya.
Tujuan isteri solehah untuk memudahkan si ayah berdakwah dan tarbiyah kepada ahli keluarganya termasuk juga dakwah masyarakat.
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahriim 66:6)
Cabaran hidup hari ini sangat mencabar terutamanya masalah akidah Islam, keruntuhan akhlak, penyakit mental dan sebagainya tidak mungkin seorang suami mampu memikul tanggungjawab seorang diri tanpa bantuan seorang isteri yang solehah.
Ini kerana tanggungjawab ibu bapa mendidik anak kepada fitrah. Mungkin antara ibu bapa tidak mempunyai kefahaman tentang maksud ‘fitrah’ itu sendiri. Kekeliruan begini boleh beranggapan bahawa fitrah bermaksud tabii (tabiat) yang juga membawa makna bebas mengikut kehendak nafsu dan apa yang difikirkan sebagai wajar dengan pertimbangan akal semata-mata. Ini adalah seperti yang diperjuangkan oleh gerakan liberal dalam mempromosikan idea kebebasan individu dan hak asasi manusia. Sekiranya tidak diperbetulkan kefahaman ini akan membawa malapetaka besar kepada keluarga dan masyarakat.
Kecenderungan anak untuk beribadah kepada Allah, itulah fitrah. Firman Allah swt “(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Ar-Ruum 30:30).
Manakala membiarkan anak bermain di usianya dikatakan fitrah, ini jelas keliru. Itu tabiat, bukan fitrah. Nilai-nilai tadayyun perlu ditanamkan pada usia kanak dan itu bersentuhan dengan fuad yang menjadi ruang fitrahnya ni. Firman Allah swt:
“Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".(Al-Baqarah 2:132)
Apabila memikirkan perjalanan kehidupan akhirat yang panjang dan perlu bertanggungjawab dihadapan Allah swt, maka pencarian jodoh juga perlu diteliti. Kata Umar bin al-Khattab: "memilih bakal isteri yang baik agamanya, memberikan nama yang baik kepada anak dan mengajarkan al-Quran (dan ilmu lain) kepada anak, menjadi pedoman berumahtangga.
Firman Allah swt: “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya). (Al-Baqarah 2:221)
Mungkin diantara kita berkata, “apa salahnya kita mencari pasangan yang tidak beramal dengan agama dan akan membaiki selepas berkahwin”. Ada benarnya juga. Masalahnya telah mengambil masa yang panjang sedangkan anak-anak terus membesar. Mungkin setelah kita sudah berubah menjadi lebih baik, anak pula telah dewasa. Sukar untuk dibentuk. Sekiranya cara mendidik banyak membesarkan nafsu seperti firman Allah swt:
“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),” (Maryam 19:59)
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf? (Al-Jaathiyah 45:23)
Tugas terpenting setelah menikah adalah berusaha sungguh-sungguh agar isteri dan anak-anak kelak tidak menjadi musuh di akhirat.
Ada orang beriman yang anaknya ingkar, bahkan tidak beriman kepada Allah, tetapi ibu bapa tetap mulia. Ia memperoleh kenikmatan tertinggi di sisi Allah. Sebaliknya ada yang gagal memasuki Jannah disebabkan kederhakaan anaknya. Mereka menjadi musuh di akhirat. Yang bersungguh-sungguh melaksanakan tuntutan agama dalam mendidik anak, maka baginya keselamatan dan kemuliaan. Sedangkan yang celaka disebabkan kedurhakaan anaknya adalah yang lalai dalam mendidik.
Akhirnya, hatilah yang akan membuat pertimbangan dan keputusan siapa jodoh kita.
No comments:
Post a Comment