Tuesday, 1 December 2020

OBSESI ORANG AWAM UNTUK MELABEL ORANG BERDASARKAN UJIAN PERSONALITI

 


Mahu kenal diri, bolehlah bertanya kepada orang sekeliling, muhasabah diri, ataupun jawab soalan personaliti big five yang terbukti dan diguna pakai oleh ahli psikologi dalam kajian mereka. Boleh klik pautan https://ipsikologi.johor.gov.my/DEMO/big5/
Mahu mengubah hidup, pergi belajar ilmu pengurusan masa, pengurusan kewangan, pengurusan emosi dan tambah ilmu agama berdasarkan ajaran yang sahih.
Baca huraian Dr. Alizi mengenai ujian personaliti:

Elakkan terlalu obses dengan ujian personaliti. Kita khuatir berlaku salah persepsi dan salah dalam membuat keputusan.

1. Personaliti walaupun yang menggunakan ujian personaliti yang sahih berdasarkan 'Big Five theory' 'Five-Factor Model' atau O.C.E.A.N (contohnya NEO-PI-R, Hogan Personality Inventory) sekalipun bukanlah peramal tingkah laku yg terbaik. Sebab tingkahlaku disebabkan pelbagai faktor). Malah Big Six theory iaitu Hexaco yang juga agak sahih masih berada dalam kajian yang berterusan.

2. Personaliti adalah satu perkara yang kompleks. Kebanyakan ujian personaliti yang sahih adalah berasaskan teori "trait". Seperti NEO-PI-R, CPI, MMPI, dan sebagainya. Sedangkan terdapat 4-5 teori personaliti yang lain yang juga mempunyai  kelebihan-kelebihan mereka yang tertentu dalam menerangkan tentang personaliti berbanding teori "trait", seperti teori personaliti kognitif-sosial, teori personaliti psikodinamik, teori personaliti behaviourisme dan teori biologi tentang personaliti.

3. Ujian personaliti yg berdasarkan tipologi/label (either/or) adalah tidak sahih (non-valid) dan tidak boleh dipercayai (unreliable) dan ia menggalakkan bias dan prejudis serta boleh berlaku label yang silap dan kezaliman - bahaya bila diungkit apabila berlaku perselisihan. Contoh yang paling popular ialah MBTI, ujian berdasarkan "learning styles" iaitu visual, auditori dan kinestatik, Neris Type Explorer's 16 personalities, ujian yang berasaskan label burung DOPE, dan sebagainya.

4. Ujian personaliti yang secara jelas tidak saintifik (tetapi suka menggunakan label-label yang berbunyi saintifik) malah mungkin juga tidak Islamik (terutamanya yang melibatkan kepercayaan) perlu dijauhi. Contoh yang paling popular ialah astrologi/zodiak, personaliti berdasarkan tarikh lahir (numerologi), personaliti berdasarkan jari (DMIA, DMIT, Stifin), personaliti berdasarkan turutan kelahiran, grafologi (tulisan tangan), coloured brain personality, dan sebagainya.

5. Ujian personaliti projektif yg sangat-sangat tidak objektif hanya digunakan utk tujuan yang sangat terhad oleh ahli-ahli psikologi yang terlatih bertahun-tahun perlu dijauhi oleh orang awam. Ahli-ahli psikologi yang sudah pelajari personaliti dan psikometrik bertahun-tahun tetapi tidak terlatih dalam ujian personaliti projektif pun tidak patut menggunakannya, apatah lagi orang awam yang tidak belajar psikologi secara langsung.  Banyak ujian projektif yang cuba untuk mencungkil aspek tidak sedar (unconscious) ala-ala Freud yang dikritik oleh kedua-dua pihak iaitu ahli psikologi saintifik dan ahli psikologi Muslim. Contoh yang paling popular ialah Rorschach ink-blot test, Thematic Apperception Test (TAT), House-Tree-Person test (HTP), Draw-A-Person test, etc. Tapi sekarang senang sahaja orang awam hadir kursus pensijilan, lepas nak baca personaliti orang.

6. Ahli-ahli psikologi masih khilaf sama ada personaliti adalah "relatively stable," atau "dynamic/changeable." Oleh itu, itu keputusan atau tindakan berdasarkan label pra-matang oleh orang awam atau 'Master Trainer' yang mengaku sebagai 'pakar' tetapi hakikatnya bukan pakar merupakan satu perbuatan yang berbahaya.

7. Kadang-kadang apa yang sebenarnya orang awam hendak fahamkan ialah "self-concept" dan "self-esteem". Tetapi ujian yang digunakan ialah ujian personaliti.  Dalam erti kata lain, mereka telah tersilap mengukur konsep yang berbeza.  Ini satu kesilapan yang besar. Maka, ia mengakibatkan kecelaruan apabila mereka mula memberi label-label yang bukannya bersifat menghampiri ketepatan (zan) tetapi bersifat syak malah bersifat menghampiri kesilapan (waham).

Jikalau anda merasakan ujian personaliti itu (macam) betul, kami sebagai ahli psikologi sudah pun membuat kajian secara saintifik kenapa anda merasakan sedemikian:

1. The Barnum Effect 

2. The Fallacy of Positive Instances 

3. The Self-Serving Bias 

4. Ad Hoc Explanations

Nota: Boleh google maksud bias-bias di atas. 

Ia tetap tidak benar. Serupa juga macam anda "rasa"  iman anda bertambah dengan mengamalkan hadith-hadith palsu atau mengamalkan bid'ah yang secara ijma' dipersetujui sebagai salah. Ia tetap tidak sah, tidak mendapat pahala, malah berisiko untuk mendapat dosa.

Ujian personaliti yang sahih sekalipun (apatah lagi ujian yang tidak sahih), tidak wajar digunakan secara solo dan secara tidak profesional dalam memilih pekerja, dalam memilih ahli sukan, dalam memilih pelajar, dalam memilih pendakwah, dalam memilih ahli usrah, ddalam memilih bakal suami/isteri, ataupun untuk mengenali personaliti diri sendiri, tanpa mengambil kira ujian-ujian bukan personaliti yang lain.

Sama juga seperti satu hadith sahih sekalipun (apatah lagi hadith yang tidak sahih). Ia tidak wajar digunakan secara solo dan secara tidak mengikut disiplin ilmu usul, tanpa mengambil kira ayat-ayat al-Qur'an, hadith-hadith sahih yang lain, ijma' ulama, dan ijtihad ulama. 

Kami ahli psikologi telah pelajari psikometrik, pelbagai jenis teori personaliti, pelbagai jenis ujian personaliti di bawah setiap teori yg berbeza, juga telah pelajari bagaimana hendak membina dan menilai ujian-ujian personaliti. Sepatutnya kamilah yang mempromosikan ujian personaliti dengan rasa teruja dan agresif demi membantu orang ramai untuk mengenali diri mereka sendiri. Dalam kata yang mudah, mesti boleh buat duit, menjadi kaya dan popular!

Tetapi tidak! Kami ahli psikologi sedar dan tahu akan kelebihan, kelemahan dan kepalsuan setiap teori dan ujian.  Dan kami dikawal oleh amanah dalam mengikuti etika dan profesionalisme bidang kami. Kami dipandu oleh objektif untuk mencapai ketepatan dan ini menyebabkan kami tidak taasub untuk mempromosikan sesetengah teori/ujian sahaja dan kami tidak akan membuat janji yang muluk-muluk, bersifat pasti/guaranteed, ataupun yang dipengaruhi unsur-unsur komersil/populariti.

Bukankah orang-orang yang berilmu tugasnya adalah untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan orang-orang awam?

Tambahan lagi, maksud kalimah syakhsiyah yang digunakan di dalam kitab-kitab agama mempunyai berlainan definisi dengan perkataan personaliti yg digunakan di dalam buku-buku teks psikologi. Berhati-hati apabila anda hendak campur tangan dalam urusan psikologi. Ada sebab ahli psikologi belajar sampai ke peringkat PhD dalam masa bertahun-tahun lamanya dan terus-menerus mengemaskini ilmu, skil, dan praktis daripada bacaan-bacaan ilmiah tentang pembuktian teori dan praktis di makmal dan juga di lapangan.

Kepada orang awam, hentikan obsesi anda untuk mengetahui personaliti anda agar anda tidak membazir duit, tenaga, masa, dan kesihatan mental akibat daripada membayar kepada mereka yang bukan pakar dalam ujian personaliti yang secara saintifik/ilmiah.

Update: 

Kepada yang selesai membaca dan silap membuat kesimpulan yang SEMUA ujian personaliti adalah salah, saya simpulkan di bawah: 

1. Ada banyak ujian personaliti palsu di luar sana. Tinggalkan. Jimatkan duit anda. Jaga kesejahteraan anda. 

2. Ada ujian personaliti yang sahih. Tapi perlu digabung dengan eleman lagi untuk mendapat gambaran yang lebih tepat tentang perbezaan individu manusia dan pengaruhnya terhadap tingkahlaku masa depan. Kesilapan membuat keputusan hanya berdasarkan ujian personalilti (yang sahih sekalipun) boleh memudaratkan. 

3. Orang awam tidak perlu obses dengan ujian personaliti. Serahkan kepada pakar psikologi yang tahu ujian personaliti yang lebih sahih, dan tahu pula bagaimana untuk menafsirkan skor secara saintifik, beretika, amanah, dan profesional demi kesejahteraan orang awam.

Monday, 30 November 2020

APA HUKUM ORANG YANG BERAZAM UNTUK MURTAD, BERKATA AKU BERJAUH DIRI DARI ISLAM, AKU KELUAR ISLAM?

 


Telah banyak kitab yang menyebut mengenai Riddah/Murtad sama ada di kalangan ulama Arab mahupun Melayu. Ada satu kitab yang mulia, ianya ringkas tetapi bermanfaat sehingga banyak ulama menggunakan kitabnya untuk diajarkan, ditahqiq, dialih bahasa supaya sampai kepada orang awam. Kitab tersebut namanya Sullam al-Tawfiq karangan Syaikh Abdullah ibn Husayn ibn Tohir al-Hadhramiy. Di dalam kitab ini ada membicarakan bab khusus mengenai murtad, perkara-perkara yang boleh menyebabkan orang jatuh murtad.

Gambar yang saya lampirkan ialah gambar dua buah kitab. Pertama, kitab alih bahasa dari Sullam al-Tawfiq kepada Bahasa Melayu (Jawi) oleh Syeikh Dawud al-Fathani dan diberi nama Sullam al-Mubtadiy. Kedua, kitab yang ditahqiq dan ditarjih akan masalah Fiqh dan Tasawwuf di dalamnya yang dikarang oleh Al-Muhaddith Syeikh Abdullah al-Harariy dan diberi nama Mukhtasar Abdillah al-Harariy, kandungannya sama dalam Sullam al-Tawfiq juga, cuma ada tahqiq dalam masalah Fiqh dan Tasawwuf. Masalah Akidah masih sama. Perhatikan dalam gambar-gambar ini, susunan perkataannya, gaya bahasanya, sama. Melayu (jawi), Arab, dan terjemahan Melayu (rumi).

Kita ringkaskan:

Riddah atau Murtad terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Iktikad

2. Perkataan

3. Perbuatan

Di antara iktikad yang menyebabkan orang jatuh murtad ialah berazam untuk kufur seperti keluar Islam, atau berazam melakukan perbuatan kufur seperti mencampak Al-Quran dalam Tong Sampah, atau berbelah-bahagi sama ada nak Murtad atau tak mahu Murtad. Lihat pada gambar, saya dah merahkan.

Konklusinya, JATUH MURTAD

Kemudian, di antara perkataan yang menyebabkan orang jatuh murtad ialah seperti berkata “Aku berlepas diri dari Allah, Malaikat, Nabiy, Syariat atau Islam”. Lihat pada gambar, saya dah merahkan.

Konklusinya, JATUH MURTAD

Maka sesiapa yang jelas tanpa paksaan bunuh, bukan tersasul, bukan dalam keadaan hilang akal, bukan dalam keadaan meriwayatkan perkataan orang lain, kemudian dia berkata:

“Aku tak mahu Islam, Aku nak keluar Islam, Aku bukan orang Islam” dan seumpamanya. 

Konklusinya, JATUH MURTAD

INI PERKATAAN ULAMA ZAMAN-BERZAMAN BUKAN PERKATAAN SELEBRITI YOUTUBE ATAU TELEVISYEN.

Apa Bukti Kasih Sayang Kita Kepada Saudara Kita Yang Dah Murtad?

Iaitu dengan cara kita menyuruhnya:

1. Mengucap Dua Kalimah Syahadah

2. Meninggalkan perkara yang menyebabkan Murtad tadi

3. Menyesal atas perlakuannya yang menyebabkan Murtad

4. Bertekad untuk tidak mengulanginya kembali

Mari kita sama-sama doakan saudara kita diberi hidayah oleh Allah. Takutlah azab neraka yang kekal selamanya berbanding nikmat dunia yang sedikit lagi tiada kekal.

Saturday, 21 November 2020

MUHASABAH ITU PERLU




“Menyendiri lagi, menyediri lagi, menyediri lagi”. Lirik kumpulan Dadali Disaatku Aku Mencintaimu. Best lagu ni, sangat jiwang. Suatu hari nanti kita akan menyendiri. Itu pasti!. Suatu alam yang pasti berlaku iaitu mati. Tinggal di dalam kubur sorang-sorang. Apa agaknya nasib kita di sana. Baik atau buruk. Semuanya bergantung pada amal seseorang di dunia.
Hari ini hari lahir saya ( 21 Disember ). Cepatnya masa berlalu rasanya baru semalam menyambutnya. Tiba-tiba hatiku jadi sebak, melihat kalendar yang dipangkah-pangkah memikirkan apa yang aku telah dilakukan sepanjang hari yang lalu. Sedihnya memikirkan tiada apa kebaikan amalan yang dibuat. “Ya Allah, sedihnya hatiku. Engkau beri pelbagai nikmat kepadaku, tapi aku leka. Ampunilah dosa-dosaku”. Aku sunyi melakukan kebaikan dan meriahnya melakukan keburukan. Bila di congak balik, banyaknya dosa mengumpat, mengata orang, dengki, buang masa, leka, tidak membantu masyarakat, menyakitkan hati rakan & jiran dan banyak lagi. huhuhu
Adakah kita akan berakhir dengan kebaikan atau keburukan. Nehi nehi nehi!! ( ku pusing kiri dan kanan sambil menutup mukaku dengan bantal). Bila mendengar tazkirah ustaz mengenai mati dan neraka, hatiku menangis. Entah kenapa? Aku rasa takut sekali untuk menghadap Allah SWT. Aku tidak sedia lagi, belum cukup amalan lagi. Tetapi bila nak cukup?. Hakikatnya bersedia atau tidak bila tiba masanya kita akan merasai mati dan bertemu Malaikat Mungkar & Nangkir . Apakah aku dapat menjawabnya? Kalau tidak jawab macam  mana? Siapa nak tolong aku? Mana mak ayah? Mana kawan-kawan? Mana harta ku?. Mereka semua tinggalkan aku. Aku keseorangan. Aku dipukul.  Aku tak dapat jawab? Amalan aku tak ada? Tolong!, aku sakit, aku tak mampu menerima azabMu. “Ya Allah, ampunkanlah dosaku”, rintihku yang tidak didengari oleh semua manusia termasuk jin.
Tahukah anda sekalian, Allah sangat menyayangi kita semua. Allah sangat sayang pada kita. Tetapi kita tidak mengendahkan nasihatNya malah dengan gagah berani melakukan maksiat.
Dengarlah firman Allah SWT Surat At-Takāthur :


A001
Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh) -(102:1)

A002
Sehingga kamu masuk kubur. - (102:2)
Tersentak seketika bila membaca surah At-Takathur. Merenung kembali, solat semakin tidak khusyuk…solat di awal waktu semakin lama semakin jarang dibuat…solat jemaah di masjid jarang-jarang dan kadang-kadang. Bila solat, ingatan kita pada assignment dan masalah kerja yang bertimbun. Itu je yang kita bimbangkan. Tetapi kita tidak bimbang kepada solat dan ibadah yang tidak buat bersungguh-sungguh seperti mana hal dunia. Nikmat dan rezeki yang dikurniakan Allah S.W.T kepada hambaNya yang menjadikan hambaNya semakin dekat denganNya tetapi sebaliknya.

Semakin tinggi jawatan, tinggi taraf pendidikan, semakin kaya, hidup bahagia bersama keluarga…makin kita lupa pada pemberiNya. hurmmm