Monday 13 February 2012

KEBERSIHAN DIRI ORANG ISLAM




Islam menyediakan peraturan yang sempurna dan terperinci untuk manusia hingga pengurusan diri meliputi pengawasan terhadap tubuh badan.

Seseorang itu diberi kebebasan sama ada hendak bercukur atau menyimpan rambut. Sekiranya menyimpan rambut hendaklah dengan kadar panjang yang munasabah asalkan ia terurus bersih dan rapi. Selain rambut, bulu yang tumbuh di atas bibir (misai) bagi kaum lelaki hendaklah menganyam misai hingga kelihatan kemas.

Disunatkan mencabut bulu ketiak sekurang-kurangnya sekali sebelum 40 hari. Sekiranya lebih 40 hari, menunjukkan orang itu tidak cermat dan kurang beri perhatian aspek kekemasan dan kebersihan.

Seterusnya Islam memberi perhatian terhadap bulu yang tumbuh di atas ari-ari dan di sekeliling alat kelamin lelaki mahupun wanita sama ada dicukur atau dicabut. Menjaga kebersihan ini amat penting agar kelihatan bersih dan kemas lebih-lebih lagi setiap manusia akan menghadapi kematian.

Apabila ajal tiba maka jenazahnya tidak mengaibkan ketika diselenggarakan oleh orang ramai kerana jenazah berkenaan dalam situasi terurus dan tidak serabut.

Kuku disunatkan memotong dan ditegah menyimpan kuku atas apa tujuan pun. Ada orang beranggapan kuku panjang tidak menimbulkan masalah kerana ia boleh dijaga dan dibersihkan kekotoran yang terlekat. Soalnya, mengapa mencari beban kerja yang tidak perlu walhal menjaga kuku ia membazirkan masa dan usia seseorang.

Usia dan masa dianugerahkan Allah yang amat berharga sepatutnya digunakan untuk perkara yang manfaat sama ada bagi urusan dunia lebih-lebih lagi akhirat. Usia dan masa ia ditanya oleh Allah sebaik sahaja dibangkitkan di mahsyar kelak. Untuk apakah umur itu di habiskan?.

Wednesday 8 February 2012

SOLAT TIDAK DITERIMA



Saidatina Ali bin Abi Talib berkata: “Tidak akan selamat pekerjaan umat mutakhir kecuali meneladani cara amalan umat terdahulu yang membawa keselamatan”.

Solat yang tidak sempurna itu tidak akan dinaikkan ke langit dalam keadaan hitam legam sambil berkata: “Aku berdoa agar Allah SWT akan abaikan kamu sebagaimana kamu mengabaikan aku dahulu”.

Solat yang hodoh itu akan di gumpal kain buruk dan dilontarkan kembali ke muka orang ang empunya solat hodoh itu.

Sesungguhnya orang yang telah menunaikan solat tidak boleh merasakan puas hati dan menganggap kerja amalnya sudah selesai. Sebenarnya masih ada perkara yang tertinggal dari pengetahuan orang yang berkenaan.

Solat bermula dengan wuduk, Nabi SAW memberitahu bahawa wuduk adalah kunci kepada ibadat solat. Wuduk yang sempurna dan cermat saja yang layak menjadi pembuka solat.

Solat itu seperti seseorang bercakap secara berdepan dengan Allah SWT, lebih dari seorang rakyat menghadap raja dengan sembah kata menjunjung kasih.

Orang yang sempurna dan khusyuk solatnya, maka solatnya diangkat ke langit dalam keadaan cemerlang & putih melepak. Ertinya ibadat solat itu diterima menghadap ke hadirat Allah SWT dalam situasi sempurna dan cemerlang.

Sebaliknya orang yang mendirikan solat tidak pada waktunya atau mengabaikan solat, tidak cermat wuduknya tidak sempurna rukuk dan sujudnya, malah tidak khusyuk solatnya akan diangkat juga di langit, tetapi dengan keadaan hitam legam. Sesungguhnya hitam legam itu sebagai simbol penolakan Allah SWT terhadap ibadat itu.

Solat yang hitam legam itu berdoa pula kepada Allah SWT dengan doanya yang buruk: “Semoga Tuhan abaikan orang ini, sebagaimana dia telah mengabaikan aku dahulu”.

Setelah itu solat yang hitam legam itu di gumpal seperti sekepal kain buruk, lalu dilontarkan ke muka orang yang abai terhadap solatnya. Di lontar ke muka orang empunya amal dalam erti kata telah ditolak solat tersebut oleh Allah SWT dalam keadaan murka.

Masalahnya lontaran itu tidak disedari oleh orang yang melakukan solat tidak cermat itu kerana yang dilontar itu bukan benda yang boleh dirasai oleh orang yang terkena lontaran itu.

Tidak sedari itu menyebabkan mereka tidak akan insaf, malah merasa optimis kerana telah melakukan kewajipan ibadat fardu itu. Pada sangkanya tanggungjawab dan kewajipan fardu telah selesai hanya menanti hasilnya untuk dituai di akhirat kelak.

Friday 6 January 2012

TIP LAHIRKAN ANAK SOLEH

Ketika hamil mereka harus menjaga adab bagi menentukan  tingkah laki anak yang bakal dilahirkan, bagi mendapat anak yang soleh terdapat amalan-amalan yang digariskan Islam dan perlu diberi perhatian bukan sahaja oleh isteri bahkan suami juga bertanggungjawab.
·   Memperbanyakkan taubat dan istighfar. Dengan memperbanyakkan taubat, mereka akah dikasihi dan dirahmati begitu juga seluruh ahli keluarga termasuk anak dalam kandungan.

·    Khusus untuk suami, berpuasa Isnin dan Khamis  atau hari-hari (13, 14 dan 15 bulan hijrah) sebagaimana diamalkan  Nabi Zakaria a.s. bagi ibu, sekiranya tidak memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan bolehlah diamalkan

· Tidak bercakap yang sia-sia. Ketika isteri sedang hamil, suami elakkan bercakap yang sia-sia lebih-lebuh bagi yang boleh mendatangkan dosa seperti mengumpat, memfitnah dan sebagainya. Sebaliknya, basahlah lidah dengan berzikir dan bertahmid.

· Banyakan berdoa. Sentiasa berdoa agar Allah SWT mengurniakan anak yang soleh atau solehah. Sekurang-kurangnya setiap lepas sembahyang, bacalah doa khusus bagi ibu yang sedang mengandung.

·     Banyakan membaca al-Quran.

·     Suami hendaklah rajin mengerjakan solat berjemaah

·     Rajin menghadiri majlis ilmu.

·   Dilarang memakan benda-benda haram, begitu juga dilarang memberi isteri rezeki yang tidak halal serta wang riba

·   Banyak membaca doa keselamatan untuk isteri dan keselamatan anak dalam kandungan

·     Dilarang membuka aurat kerana dikhuatiri mempengaruhi akhlak anak yang akan lahir nanti

·     Suami hendaklah menjauhi diri daripada marah dan benci pada isteri

·     Ketika isteri hampir bersalin, suami digalakkan membaca berikut “ La ila ha illa anta subha naka inni kun tu minadzolimin”

·  Suami hendaklah kerap solat sunat dan mendoakan agar isteri dan anak dalam kandungan selamat

·  Mendoakan anak usaha membesarkan dan mendidik anak supaya menjadi manusia berguna bekalan suatu yang dapat dipastikan kejayaannya. Doa adalah satu usahalah suatu yang dapat dipastikan kejayaannya. Doa adalah satu usaha. Antara doa-doa yang patut diamalkan oleh orang tua agar anak-anak mereka menjadi orang yang diredai Allah iaitu Al-Baqarah (128), Al-Imran (38), Furqan (74) dan Ibrahim (40).
8 Surah Harus Menjadi Amalan Bakal Ibu
Surah al-Fatihah – Untuk menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan
Surah al-Maryam – Untuk memudahkan ibu bersalin dan memperoleh anak yang sabar dan taat
Surah Luqman – Untuk memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa
Surah Yusuf -  Untuk memperoleh anak yang cantik rupa dan cantik akhlak
Surah Hujurat – Untuk memperbanyakkan susu ibu dan anak bersifat hati-hati
Surat Yaasin – Untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak maksiat
Surat Taubah – Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat
Surah an Nahl -  Untuk melahirkan anak yang berdisplin

Sunday 11 December 2011

DAKWAH KELUARGA



Sejuk hati melihat kak Izzah yang mempunyai 7 orang anak lelaki. Kak Izzah telah mendidik asas akidah dan Islam dalam keluarga, setiap anak-anaknya tahu tanggungjawab seperti solat berjemaah di masjid/suar, mendengar tazkirah, membantu jiran ,tolong-menolong, cakap lemah lembut dan sebagainya. Anak kak Izzah juga berjaya sehingga ke menara gading.

Hidayah Allah jarang-jarang orang dapat. Keluarga yang jahil mesti ada seorang ahli keluarga yang dapat hidayah Allah. Faham agama. Dengan kesedaran yang ada, dia ingin berdakwah. Bukan mudah untuk berdakwah kepada ahli keluarga. Kadang-kadang semasa berdakwah kepada ahli keluarga tekanan perasaan, cabaran, melawan, marah-marah dan hina menghina. Silap hari bulan boleh jadi pergaduhan. 

Kebimbangan terhadap ahli keluarga yang tidak solat, mencari rezeki yang tidak halal dan sebagainya amat merunsingkan. Bukan mudah untuk mengurus emosi marah kepada keluarga yang tidak melaksanakan perintah Allah.

Kalau difikirkan, berapa ramai yang sebuk dengan kerja-kerja lain tanpa solat. Berjaya menunaikan solat di awal waktu, ramai lagi yang masih belum menunaikan solat dan melewat-lewatkan nya di akhir waktu.

Kita sayang keluarga, tidak ingin keluarga kita dimasukkan ke dalam api neraka. Kita juga tidak mahu tergolong ahli neraka. Mengharapkan pertolongan Allah dan hidayah Nya kepada ahli keluarga.

“Ya Allah, berikanlah kami hidayah Mu, selamatlah kami di dunia dan akhirat. Pandu lah kami di jalan lurus, jalan yang Kau redai”. Amin.

Wednesday 7 December 2011

MAJLIS KHATAM AL-QURAN


Kegembiraan terpancar pasangan yang baru bernikah. Seri-seri wajahnya tidak boleh disembunyikan lagi. Sudah menjadi adat apabila orang yang berkahwin akan melakukan majlis khatam Al-Quran. Biarlah pengantin itu betul-betul khatam Al-Quran bukan setakat mengikut majlis sahaja. Jadikan khatam Al-Quran sebagai hadiah perkahwinan kita.

Saturday 26 November 2011

PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1433H

Alhamdulillah, hari ini umat Islam menyambut kedatangan tahun baru 1433 Hijrah.
Konsep hijrah hari ini menuntut kepada perubahan demi kemajuan  individu, masyarakat dan negara berlandaskan pemikiran yang kreatif dan inovatif. Ini memerlukan keazaman, kemahiran, kecekalan dalam usaha ke arah kemajuan.
Pertembungan di antara kebenaran dan kebatilan yang memerlukan hijrah sebagai satu gerak permulaan membawa seribu makna dan iktibar untuk semua pejuang kebenaran dan keadilan.
Rasulullah SAW telah membina sebuah tamadun dan pemerintahan yang berteraskan keadilan, kebebasan, integriti dan prinsip tadbir urus yang baik. Selain menjamin hak umat Islam, pentadbiran Rasulullah SAW juga turut memelihara kebajikan golongan bukan Islam dan kaum Yahudi yang sebelum ini begitu mencurigai sistem keadilan Islam.
Jika direnung kembali konsep pentadbiran Rasulullah SAW, — meski pun Baginda berbangsa Arab Quraisy — tidak pernah sekali pun Baginda melebih dan meletakkan keutamaan kepada kaumnya semata-mata. Baginda juga tidak pernah melaung-laungkan slogan perkauman atau retorik ‘ketuanan Arab’ dalam usaha mendapatkan sokongan dari penduduk Madinah.
Kita perlu melakukan pengorbanan untuk membawa perubahan. Ini kerana tiada perubahan yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah suatu tuntutan dalam kehidupan manusia. Ia meliputi perubahan daripada perkara yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik.
Sempena menyambut kedatangan tahun baru Hijrah hari ini, saya mengucapkan Salam Ma’al Hijrah buat seluruh umat Islam.



Thursday 10 November 2011

PENGORBANAN NABI ISMAIL A.S



Sejarah 5000 tahun dahulu bagaimana Nabi Ismail a.s. telah dengan rela hati meminta ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. mengikuti perintah Allah SWT agar dia dikorbankan sering disebut-sebut oleh manusia. Kita tahu bagaimana di saat-saat akhir, Allah SWT telah menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan seekor biri-biri, yang akhirnya menjadi korban.

Apa yang harus kita ingat ialah pengajaran. Cuba kita fikirkan bagaimana peritnya perasaan si bapa, Nabi Ibrahim a.s. yang harus mengetepikan naluri kebapaan nya yang terlalu mengasihi anaknya demi mengerjakan perintah Tuhan. Pengorbanan inilah yang diperlukan dengan mengetepikan perasaan sendiri demi sesuatu yang lebih besar dari diri kita sendiri yang harus kita ingati dan kita amalkan. Subhanallah.

·   Pengajaran kisah Nabi Ismail a.s ialah kita dituntut untuk bersabar segala dugaan, berteduh dengan iman

·    Kita mudah menyebut ikhlas. Adakah keikhlasan kita itu sampai kepada Allah SWT iaituTuhan Yang Esa. Keikhlasan hati datangnya dari hati manusia kepada penciptanya.

·   Nabi Ismail a.s mengenal dirinya sendiri dan mengetahui bahawa dirinya adalah kepunyaan Allah SWT. Baginda tahu bahawa kita tidak miliki apa-apa pun. Oleh itu, ungkapan ‘Aku Punya’ berubah kepada ‘Allah Punya’. Kita hanya pinjaman dan semuanya akan kembali kepada Allah SWT

·         Allah SWT menuntut kita berkorban masa 50 minit sehari untuk bersolat, korban harta dan sebagainya. Sebaliknya, kita sukar untuk berkorban kerana menganggap ‘Aku punya, Aku hebat’, ‘Aku Besar’ dan lupa diri kita empunya Allah SWT.

Firman Allah SWT:

Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). Surat Al-Kawthar

·         Nabi Ismail memiliki wawasan untuk mencapai redha Allah SWT di akhirat iaitu syurga. Oleh itu, kita seharusnya mempunyai wawasan untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Melaksanakan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. Sesungguhnya azab amat dahsyat. 

Saya beranggapan dengan kesibukan menangani masalah keduniaan, wajar kita diperuntukkan waktu dalam urusan kerohanian. 

A.K. Brohi, pemikir dan sarjana undang-undang Pakistan pernah mengingatkan  pesanan ahli sufi Sindhi berdasarkan Hadis Rasulullah saw. Menurutnya, ibarat sekuat besi di dalam air; akhirnya berkarat jua! Justeru wajib diangkat dan diselaputi minyak dari masa ke masa sebelum dibenamkan semula di dalam air. Begitu juga kita aktivis yang bergelut dalam kancah politik, perniagaan atau sebarang lapangan, harus ada waktu beruzlah, munajat dan memperkuat aqidah (iman amiq) dan kerohanian.

Marilah kita mengambil iktibar dari kisah-kisah ini dengan menanamkan semangat, perteguhkan iktikad, dan janganlah kita asyik memikirkan diri sendiri hingga melupakan perintah-perintah Allah untuk berbuat baik sesama kita, untuk menegakkan keadilan dan menentang kebatilan. Mudah-mudahan kita dapat mengasah kesedaran yang sama di kalangan umat Islam.

Monday 31 October 2011

NASIHAT SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI



"Sentiasalah kamu redha kepada Allah Azza Wa Jalla dalam keadaan senang mahupun susah, Baik ataupun buruk, Sihat mahupun sakit, Kaya mahupun miskin dan berhasil mahupun gagal. Saya tidak melihat ubat yang baik bagi kamu selain berserah diri kepadaNya. Jika Allah mentakdirkan sesuatu  bagi kamu, janganlah takut. Janganlah mengeluh selain kepada-Nya, sebab ianya akan mengakibatkan bencana bagi kamu. Tenanglah dan diamlah...bila kamu redha, Dia akan mengubah kesusahan kamu menjadi kesenangan."

AKU KERUGIAN



Masa beredar begitu pantas. Terasa baru mencelikkan mata untuk memulakan aktiviti harian, hari sudah menginjak malam. Terasa baru meniti hari isnin, datang pula isnin minggu berikutnya. Tahun berganti tahun. Tanpa kita sedari umur memakan usia.

Beruntunglah bagi orang yang menghargai masa. Sentiasa audit masa, cemburu masa sendiri dan laburkan masa untuk meningkatkan ilmu. Sehinggakan salah satu cara untuk berjaya adalah menghormati masa.

Allah SWT berfirman Surat Al-`AÅŸr :

" Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. "

Hakikatnya masa sekarang sepatutunya dihargai, masa lampau tidak akan kembali dan masa hadapan elum tentu kita miliki. Maka penuhkan masa yang ada dengan melakukan amal ibdah. Kehidupan bagikan kerdipan mata. Bertapa singkat hayat manusia. Tapi masih ada hati ingin melakukan dosa. Kadang-kadang kita terleka.

Ingatlah wahai diriku! penuhi hidup ini dengan kebaikan, jangan sampai nanti terjaga kala jasad sudah di mamah tanah.

Wednesday 27 July 2011

ADAB BAITULLAH

Sebelum seseorang memasuki kota Makah disunatkan mandi semoga bukan saja tubuh bersih cuci dengan mandi itu tetapi rohani pun turut suci. Apabila masuk Masjidilharam serta terpandang Baitullah ketika itu ucapankanlah kalimah: “Lailahaillallah wallahu Akhbar.”/. kalimah itulah yang diucapkan oleh para nabi terutamanya Nabi Ibrahim a.s.. Kerana kalimah tersebut yang bersifat tauhid: “Tiada Tuhan yang menjadi pujaan kecuali Allah dan Allah lah yang Maha Agung.” Kemudian disambung pula dengan doa masyhur: “Allahumma Antas Salam Waminkas Salam wa Daruka Darus Salam Tabarakta Ya Zal Jalali wa Ikram” yang bermaksud: “Wahai Tuhan, Kamulah yang Selamat dari Mu terbitnya keselamatan negara (Kampung halaman) Kamu yang selamat, Maha Berkat dan Maha Besar Wahai Tuhan yang memiliki kemuliaan.”
Sebagai tanda seseorang itu bangga dan gembira menjadi tetamu Tuhan lantas dia berdoa lagi ketika menatap Baitullah dengan doanya: “Ahhaumma haza Baituka, ‘Azzamtahu wa Karramtahu, wa Syarraftahu. Allahumma fazzidhu Tasyrifan wa Takriman wa Zidhu mahabatan wa zid man hajjahu buran wa karomah” yang bermaksud: “Wahai Tuhan bahawa Kaabah ini adalah rumahmu yang Kamu mengagungkanNya dan Kamu memuliakan nya dan menghormatkan dia. Wahai Tuhan Engkau tambahkan lah kehormatannya dan Kemuliaan. Dan kepada orang yang melakukan haji itu tambahlah kehebatan dan kebajikan serta kemualannya.” Ditambah lagi dengan doa: “Allahumma aftahli abwaba rahmatika wa adhilnia Jannataka wa a’izni mainasy syaitonira rojim” yang bermaksud: “Wahai tuhan bukalah pintu rahmat Mu dan masukkanlah daku dalam syurga Mu Dan lindungi daku daripada gangguan syaitan yang kena rejam.”
Apabila memasuki Masjidilharam (atau mana-mana masjid pun) maka pohon lah rahmatnya kerana masjid itu ibarat gedung rahmat Allah SWT berdoa dengan doa: “Allahumma sholli’alasaiyidana Muhammad, Allahummaghfirli zambi wafthli abwaba rahmatika” yang bermaksud: “Ya Allah aku berselawat terhadap Nabi Muhammad ya Allah ampuni lah dosa ku dan bukakanlah sebanyak mana pintu rahmat Mu”.
Rahmat Allah SWT atau kasihan belas yang mencurah dari langit dan tersimpan terutama di gedung Nya dalam masjid dipohon agar dikurniakan Nya sama ada rahmat iman atau kesihatan mahupun rezeki yang berkat dan sebagainya. Setelah selesai berdoa maka bersegeralah mengerjakan tawaf dengan tujuan tawaf “Qudum” tawaf selamat datang sebagai tanda baru menjejaskan kaki di Masjidilharam kecuali ketika memasuki Masjidilharam didapati orang ramai sedang mengerjakan solat fardu berjemaah.
Apabila hendak mengerjakan tawaf hendaklah ingat enam perkara yang pertama hendaklah perhati syarat hendak menunaikan solat dengan syarat itu juga digunakan untuk tawaf iaitu suci diri daripada hadas (kecil atau besar) seterusnya suci daripada najis bagi diri pakaian dan tempat tawaf. Kedua dan wajib menutup aurat kerana tawaf di Baitullah hakikatnya ialah solat. Tetapi bezanya ialah Allah SWT mengharuskan bercakap semasa tawaf. Memakai kain ihram dan sehelai lagi ambil bahagian tengah di bawah ketiak sebalik kanan hujung kain di sebelah kiri di himpun ke atas bahu sebelah kiri dan punca kain di sebelah kanan diletakkan di bahu kiri juga.

Thursday 21 July 2011

SENYUMAN TERAKHIR MENJELANG WAFAT RASULULLAH

Sakaratul maut suatu episod yang luar biasa yang dialami oleh Nabi SAW ketika di ambang kewafatannya. Ketentuan Allah SWT itu pasti ditempuhi oleh setiap insan apabila di ambang kematiannya. Sebagaimana ditegaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan datanglah sakaratul maut yang sebenar-benarnya itulah yang kamu selalu lari daripadanya.” (Surah Qaaf ayat 19)
Dapat dibayangkan apakah yang berlegar dalam pemikiran dan perasaan Nabi SAW di saat menghadapi sakaratul maut?. Hari-hari terakhir Nabi SAW berada di rumah Saidatina Aisyah yang terletak di sisi Masjid pintu rumahnya bersetentangan dengan pintu masjid keadaan itu memudahkan baginda SAW untuk melihat suasana dalam masjid. Di pagi yang hening, Abu Bakar r.a dan para sahabat sedang berdiri dalam saf untuk menunaikan solat subuh. Tiba-tiba tabir pintu rumah Aisyah tersingkap, kelihatan Nabi SAW berada di ambang pintu dengan wajah tersenyum manis.
Melihat Nabi SAW tersenyum, Abu Bakar berundur selangkah untuk memberi laluan kepada Nabi SAW mengimani solat. Beliau menyangka Nabi SAW sudah sihat segar dan bersedia untuk melaksanakan semula tugas mengimani solat fardu berjemaah. Para sahabat terlalu gembira apabila melihat baginda SAW tersenyum manis di ambang pintu kediaman Saidatina Aisyah. Kerana menyangka kesihatan baginda SAW telah kembali pulih. Sangkaan orang ramai tersasar, sebenarnya Nabi SAW masih gering dan tenat. Baginda SAW memberi isyarat dari sebalik tabir supaya para sahabat meneruskan solat Subuh berjemaah, berimamkan Abu Bakar As-Siddik.
Nabi SAW masuk semula ke rumah Aisyah lantaran keadaan sakitnya semakin berat. Lalu tabir pintu dilabuhkan semula. Nabi SAW merasai ketika itu bahawa dirinya sudah di ambang kewafatan nya. Dalam situasi begitu pun masih mengambil berat masalah umatnya, sempat melihat para sahabatnya dari sebalik tabir. Hatinya berbisik, apa akan berlaku kepada umat ku setelah kewafatan ku kelak?. Rasulullah Saw tersenyum apabila melihat para sahabatnya melaksanakan kewajipan ibadat. Melalui senyuman itu seolah-olah Nabi SAW meluahkan isi hatinya merasa puas dengan apa yang dilakukan oleh para sahabat.
Para pengikutnya dari tidak mengenali Allah SWt hingga menjadi insan mukmin yang patuh segala suruhannya. Daripada menentang Rasul Allah menjadi pengikutnya yang setia malah sedia mengorbankan harta dan jiwa demi agama allah dan kesejahteraan Rasulnya. Melalui senyuman, orang akan tahu bahawa ia satu fenomena yang menjelaskan degup sanubari Nabi SAW ketika sakaratul maut, tetap sentiasa memikirkan masalah umatnya. Supaya apabila meninggalkan alam fana ini untuk menghadap Tuhan melangkah dengan tenang hati.

Kerana benih tauhid yang disemai telah tumbuh dan hidup subuh membuahkan hasilnya. Benih Islam yang disemai di Makah hidup subur setelah dipupuk dengan tribulasi serta sanggup mengharungi kesukaran berhijrah ke Madinah. Orang Madinah pula sanggup menjadikan dirinya sebagai penolong (Anshar) menyambut kedatangan kaum Muhajirin bukan sekadar berkorban  harta benda malah demi persaudaraan Islam, mereka memberikan rumah tempat tinggal menceraikan sebahagian dari isteri-isterinya untuk dinikahkan dengan kaum Muhajirin selepas tamatnya idahnya.
Pada detik-detik terakhir, Nabi SAW melihat para sahabat sedang tekun bersiap mendirikan solat, seolah-olah sebagai lambaian terakhir untuk baginda SAW yang akan musafir jauh menghadap Allah SWT. Lambaian itu ibarat bekalan mustahak apabila Nabi SAW dengan hati ang puas melihat para sahabatnya berhimpun di masjid pada Subuh yang dingin untuk beribadat kepada Allah SWT.
Nabi SAW ingin berbekal dengan aktiviti usahanya. Berharap agar hatinya tenang mengharungi saat-saat akhir, untuk kembali ke hadrat Allah SWT melalui kebenaran Islam yang diperjuangkan. Allah SWT sengaja menjadikan Nabi Muhammad SAW yatim piatu pada zaman kanak-kanaknya, mentakdirkan kehidupan miskin sepanjang hayatnya. Supaya apabila ajarannya diterima dan dipatuhi oleh umatnya bukanlah dari pengaruh keluarga dan hartanya. Tetapi kerana kebenaran Islam yang datang dari Allah SWT.
Nabi SAW membelai sanubarinya agar tenang meninggalkan pusaka kepada umatnya dengan ajaran yang hak iaitu Islam. Meninggalkan al-Quran dan Sunahnya sebagai hidayah sama ada hidayah dalam perkara tauhid, ibadah, tarbiah, muamalat, ekonomi, kemasyarakatan dan kenegaraan. Allah SWT merestui apa yang dihajati oleh Nabi SAW dengan memperlihatkan suatu peristiwa yang menyebabkan jiwanya merasa amat tenang iaitu apabila melihat para sahabatnya dengan tekun melaksanakan ajarannya yang mulia.
Apabila perasaan gembira meresap di sanubari Nabi SAW kesukaran menghadapi ‘sakaratul maut’ lenyap dari jiwanya laksana embun yang lenyap di sinar mata hari. Kegembiraan telah menguntumkan sebuah senyuman di penghujung hayat, senyuman itulah yang disaksikan oleh Abu Bakar dan para sahabat hingga menyangka kesihatan Nabi SAW sudah pulih seperti sedia kala. Allah SWT telah menganugerahkan kesempatan kepada Nabi SAW pada Subuh yang damai dan hening menyaksikan  apa yang dilakukan oleh para sahabat di dalam masjid. Ia menimbulkan rasa syukur dan tenang hati hingga terukir sebuah senyuman terakhir di ambang kewafatan nya.