Wednesday, 17 August 2022

DOSA DOSA CINTA


Cinta itu adalah suatu yang indah. Ia bukanlah suatu yang jijik, bahkan ia bukanlah bertentangan dengan naluri keinsanan atau bertentangan dengan agama. Seorang sahabat Nabi S.A.W pernah berkata dengan seorang sahabat yang lain: “Daku dapati bahawa anak kamu telah jatuh cinta kepada seorang wanita.” Lantas sahabat tadi menjawab, “Aku bersyukur kepada Allah kerana anakku berada dalam fitrah yang betul.” Ini kerana, sememangnya lelaki itu mencintai wanita.

Percintaan di alam persekolahan sememangnya perlu diberi penekanan tegas, kerana di sana tidak nampak akan jalan pernikahan. Namun berbeza dengan pelajar di IPT, adalah diberi kelonggaran kerana jalan untuk bernikah itu ada. Kelonggaran yang dimaksudkan di sini ialah, pelajar-pelajar tersebut diberikan pendekatan untuk bagaimana mereka menguruskan cinta kerana tiada halangan bagi mereka untuk bernikah di pusat pengajian tinggi.

Apabila datangnya perasaan cinta ke atas diri kita, itu adalah perkara yang normal bagi seorang insan. Janganlah kita berasa malu apabila rasa suka dan cinta kepada seseorang tiba-tiba timbul di dalam hati. Tetapi bagi seorang yang bergelar muslim dan muslimah, kita diberikan cara untuk bagaimana menguruskan cinta itu agar berada di jalan yang betul, serta menjadi asas yang kukuh untuk kita martabatkan tanggungjawab sebagai khalifah Allah S.W.T di muka bumi.

Firman Allah S.W.T yang berbunyi:
A049

”Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah". (Surah Az-Zaariyat: 49)

Telah dinyatakan di dalam Tafsir Al-Qurtubi:

“Kami ciptakan berpasangan - iaitu Allah jadikan lawan bagi iman adalah kufur, derita lawannya gembira, kesihatan lawannya kesakitan, petunjuk lawannya kesesatan, malam lawannya siang, langit lawannya bumi, manusia lawannya jin, semuanya Allah jadikan secara berpasangan, demikian jugalah Allah menjadikan lelaki untuk perempuan, untuk bersenang hati kepada pasangan”

Panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu

Saidina Ali r.a pernah mengingatkan : “Sesungguhnya yang aku khuatiri terhadap kamu semua adalah dua perkara ; iaitu panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Kerana sesungguhnya panjang angan-angan itu akan melupakan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu itu akan menghalang dari kebenaran.”

Panjang angan-angan akan menyebabkan manusia menjadi khayal dengan dunianya dan melupakan akhirat. Tidaklah menjadi kesalahan sekiranya kita berangan-angan untuk mengimarahkan alam ini dengan perancangan yang tinggi dan betul, tetapi biarlah ia berdasarkan kemampuan diri kita. Sememangnya ada pendapat yang mengatakan bahawa khayalan itu akan menjadi kenyataan, tetapi biarlah bertepatan dengan kekuatan diri , sama ada kita mampu atau tidak untuk mencapainya.

Islam telah menggariskan panduan agar kita selalu bermesyuarat dengan orang yang arif dengan sesuatu bidang yang ingin kita lakukan. Tetapi syaitan sentiasa mencuba untuk menyamarkan umat Islam agar tidak tertarik lagi dengan keindahan Islam. Sebab itu, orang yang selalu berangan-angan tinggi akan melupakan akhirat. Dia akan terlupa bahawa segala amalan dan perbuatannya akan dihisab di akhirat kelak.

Lantaran itu, ada ulama’ yang mengatakan, seeloknya tidur sahaja sekiranya tiada kerja yang perlu dilakukan selepas waktu Isyak, kemudian digalakkan untuk bangun pada tengah malam untuk beribadah dan mengulangkaji pelajaran.

Tetapi kedapatan ramai pelajar yang membuang masanya dengan bersembang bersama rakan-rakan di kedai-kedai makan sehingga larut malam, kemudian menyambung lagi perbualan setelah pulang ke asrama dan tidur setelah jam 2 atau 3 pagi. Akibatnya, ramai yang terlewat subuh, apalagi untuk ke kuliah. Kalau pun hadir ke kuliah, mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada pensyarah dan apa yang dipelajari lantaran perasaan mengantuk yang menguasai mereka. Disebabkan mereka lalai dari akhirat, maka mereka hidup dengan tiada perancangan dan mengakibatkan masa terbuang begitu sahaja. 

Lantaran itulah Islam mengingatkan kita dengan pelbagai peringatan melalui solat dan tazkirah-tazkirah agama agar kita mengambil pengajaran. Ini kerana orang yang sentiasa hidup dengan berangan-angan, dia tidak akan mendengar apa hikmah disebalik seruan azan, malah meneruskan kegiatan harian mereka tanpa menghiraukan penentu utama seluruh kehidupannya iaitu solat. Kerana, dengan solatlah seseorang itu dapatkan menterjemahkan baik buruk akhlaknya.

Orang yang mengikut hawa nafsunya tidak akan dapat melihat kebenaran tetapi sebaliknya hanya memandang kepada maksiat dan dosa-dosa. Apabila selalu bergelumang dengan maksiat, maka dia akan turut tersungkur bersama-sama maksiat yang dilakukannya. Sebab itu, jangan sekali-kali kita memberi ruang kepada nafsu. Kerana, hanya dengan sekali hambatan, ia akan meruntun untuk melakukannya buat kali kedua. 

Apabila sekali seseorang itu menonton VCD lucah, ia akan meruntun untuk menontonnya buat kali kedua. Bagitu juga jika sekali seseorang itu menyentuh tangan wanita, nafsu akan memperdaya hati untuk menyentuh anggota yang lainnya pula. Nabi saw menisbahkan apabila seorang lelaki menyentuh tangan wanita, lebih dasyat daripada menyentuh kulit babi.

Apabila seseorang itu selalu mengikutkan nafsunya, ia tidak akan menghiraukan kebenaran, malah akan menolaknya. Ketika itu, segala nasihat agama takan dihiraukan, malah nasihat ibu dan bapanya tidak akan dipedulikan.

Cinta: realiti atau khayalan?

Qais mengatakan, “Apabila aku memasuki Kota Baghdad, maka di setiap pintunya aku terpandang wajah-wajah Laila.” Pernah sekali Qais memasuki sebuah masjid yang di dalamnya terdapat seorang lelaki yang sedang bersolat. Qais yang sedang fana dengan cintanya terhadap Laila lantas melanggar lelaki tersebut. Lelaki itu cuba menepisnya tetapi tidak berjaya. Setelah selesai solatnya, dia memarahi Qais dengan berkata: “Kamu tak nampakkah aku sedang solat?” Qais menjawab : “Oh, aku tak menyangka bahawa cintaku kepada Laila lebih khusyuk daripada cintamu kepada TuhanMu!”

Al- Asmu’I bertanya kepada seorang A’rabi (arab biasa) mengenai cinta, katanya:
“Demi Allah cinta tu teramat agung dari dapat dilihat. Ia luput dari penglihatan. Cinta ada bersemayam di dalam dada, seperti api di dalam batu, jika di nodai ia akan membakar, tetapi jika dicuba untuk ditinggalkan, ia kan selalu membayangi”.

Berkata Luqmanul Hakim kepada anaknya:
“Nafsu bagi orang yang beriman, seperti api di dalam batu, bila digeser ,ia akan membakar. Kiranya disekilingnya ada kayu-kayu api yg membakar, ia akan memusnahkan apa yang di sekelilingnya termasuklah tuannya.”

Sesungguhnya nafsu itu apabila digeserkan ia akan mula menghambat diri malah akhirnya akan memusnahkan tuannya. Sebab itu, jangan digeserkan walau sedikit walaupun hanya bertanya kabar.

Situasi contoh: Seorang lelaki berselisih dengan seorang wanita.
Lelaki: “Hai, Assalamualaikum..”
Perempuan: “Waalaikumussalam..”
Lelaki: “Sorang je ke?”
Perempuan: “Ye sorang je.”

Apabila digeserkan, maka akan terdetik di hati lelaki tadi, “Melayan jugak la perempuan tadi..” Dan begitu juga si perempuan, “Siapa lelaki tu ye, berani-berani tegur aku..” Selepas itu akan bermulalah babak yang seterusnya. Sebab itu jangan sekali-kali kita cuba menggeserkan keadaan walaupun dengan mengucapkan salam. Kerana, ucapan salam pada situasi begini hanya akan mengundang fitnah.

Al- Asmu’i bertanya lagi kepada A’rabi itu mengenai keterpikatan. Beliau berkata:
“Jalannya sangat rumit untuk difahami, tempatnya tersembunyi dari penglihatan, serta proses kejadiannya begitu membingungkan otak manusia, awal mula tergeraknya berasal dari hati kemudian ke seluruh badan ,sehingga muncullah getar dalam pelbagai indera, pucat wajahnya, berubah dalam pandangannya, serta gugup dalam berbicara , lemah longlai dan diliputi rasa kehancuran, sehingga orang yang mengalaminya dapat dikategorikan dengan kegilaan.”


No comments: