Wednesday, 17 August 2022

PERANAN WANITA : MENDIDIK GENERASI




Wanita mempunyai hak dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dalam keluarga. Islam menuntut agar wanita melaksanakan kewajipannya terhadap suami dan keluarga mengikut kemampuannya. Penghayatan agama dan kefahaman berkaitan dengan hak dan tanggungjawab suami dan isteri dalam keluarga merupakan perkara penting yang mesti dilaksanakan sebaik-baiknya. Kegagalan dalam memahami tanggungjawab yang telah digariskan oleh Islam menyebabkan antara faktor keruntuhan institusi keluarga. Hargai fitrah kejadian lelaki dan wanita untuk menjalinkan hubungan yang baik.

Perkahwinan merupakan ikatan persetujuan yang menyebabkan adanya hak dan kewajipan. Antara tanggungjawab yang mesti ditunaikan oleh isteri mentaati suami, memelihara kemuliaan dan kehormatan, harta suami, tidak menggunakan harta suami tanpa izin, menggembirakan suami, menunjukkan wajah yang manis, berhias untuk suami, tidak melakukan perkara yang dibenci oleh suami, memelihara dan menguruskan rumah tangga dan tidak membenarkan orang lain masuk ke rumah tanpa izin suami.

Kelahiran anak dalam keluarga tidak harus dipersia-siakan. Pendidikan anak-anak termasuk pendidikan dari aspek jasmani, rohani, agama, akhlak, masyarakat dan akal. Lantaran itu, Islam mewajibkan ibu bapa memberi nafkah dan mendidik anak-anak supaya taat kepada perintah Allah SWT dan berakhlak mulia, menegaskan bahawa pekerjaan yang lebih utama bagi wanita adalah mendidik generasi. Wanita bertanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak. Wanita bertanggungjawab mendidik anak bermula dari alam rahim sehinggalah mereka dilahirkan ke dunia. Isteri perlu mendidik anak-anak dengan ilmu agama yang mantap dengan melaksanakan segala kewajipan yang telah diwajibkan kepada umat Islam.

Justeru, Allah SWT telah memperlengkapkan wanita dengan persiapan fizikal dan juga spiritual bagi menggalas tugas tersebut. Tidak wajar bagi wanita menyibukkan diri dengan urusan kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka yang paling utama.

Rasulullah SAW menetapkan tanggungjawab wanita untuk menjaga anak-anak seperti mana sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Umar:Maksudnya :

“Daripada Abdullah bin Umar r.anhuma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “....Dan wanita adalah pemimpin terhadap rumah tangga suaminya dan anak-anaknya, dan akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka....”

Walaupun tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak diletakkan sepenuhnya kepada wanita atau ibu namun Rasulullah SAW menggalakkan tugasan ini dilaksanakan secara bersama. Rasulullah SAW menetapkan tanggungjawab bapa untuk menyempurnakan tugas menjaga dan mendidik anak-anak di samping peranan seorang ibu. Tanggungjawab mendidik anak-anak bukanlah merupakan tanggungjawab yang mudah untuk dilakukan seorang diri. Terutamanya dalam zaman yang serba moden dan mempunyai masyarakat remaja yang semakin rosak jiwanya. Sejarah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW kasih kepada anak-anak baginda dan turut sama mendidik mereka dengan akhlak yang mulia. Rasulullah SAW bersabda daripada Umar bin Abi Salamah:Maksudnya:

“Wahai anakku, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah apa yang dekat darimu.”

Justeru, ibu bapa perlu menggalas tugas berat ini secara bersama. Ibu bapa wajar mendidik anak-anak dengan berkesan bagi mengembangkan potensi diri mereka. Kehadiran suami membantu mengembangkan psikologi anak terutamanya anak-anak lelaki. Ketegasan bapa juga dapat mengurangkan masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan anak-anak remaja melalui pemerhatian dan pemantauan yang berterusan. Anak-anak juga dapat menghilangkan persepsi buruk terhadap bapa yang sibuk dengan pekerjaan sehingga mengabaikan hak keluarga dan pendidikan mereka. Lantaran itu, suami yang baik hendaklah meluangkan masa yang khusus untuk bersama keluarga dan memantau perkembangan anak-anak serta memberi ruang anak-anak mencurahkan kasih-sayang mereka.

Menyedari hakikat ini, cara asuhan ibu bapa amat mempengaruhi perkembangan intelektual anak-anak. Menyedari kepentingan ini, kebanyakan ibu bapa memilih pendekatan mendidik anak-anak dengan unsur-unsur keagamaan sebagai salah satu langkah untuk membentuk peribadi yang mulia. Tujuan pendidikan yang lain ialah mengingatkan anak-anak tentang hakikat penciptaan mereka dan hubungannya dengan Allah SWT, memperelokkan akhlak, mengukuhkan akidah, memberi gambaran risalah Islam dan meningkatkan iman dan takwa. mengetengahkan metodologi pendidikan anak-anak yang berkesan melibatkan pendidikan melalui tauladan, pendidikan melalui adat kebiasaan, pendidikan melalui nasihat, pendidikan melalui pemerhatian dan pendidikan dengan cara balasan dan denda.

No comments: