Tuesday 13 March 2012

CINTAI DUNIA


Hidup bermasyarakat atau berorganisasi akan rosak sekiranya mempunyai penyakit cinta dunia. Penyakit cintakan dunia adalah penyakit hati manusia iaitu hasad, riak dan ujub (bangga diri).
Sikap ini buruk kalau diamalkan akan merosakkan dan menjahanamkan perjalanan masyarakat dan organisasi.
Lihat sahaja dengan mata kepala sendiri apabila ahli masyarakat mempunyai sikap dengki. Cuba menghalang kawan sendiri atau orang lain tidak dapat nikmat itu lagi walaupun dia sendiri tidak mendapatkannya.
Riak juga amat bahaya. Sikap yang tersembunyi dengan niat menunjuk-nunjuk apa yang dilakukannya kepada umum.
Ujub adalah sikap syok sendiri yang hanya melihat diri sendiri betul dan memperlekehkan orang lain. Kalau syok sendiri dengan seseorang tak apa tetapi syok sendiri kita adalah terbaik memang membawa padah. Penyakit ini hanya nampak keaiban orang lain tetapi gagal melihat keaiban sendiri.
Marilah kita mencontohi akhlak Rasulullah SAW yang sangat hebat itu. InshaAllah.
Ya Allah, jauhilah hati kami cinta dunia. Amin

Friday 24 February 2012

KHUSYUK SOLAT


Apa maksud khusyuk? Khusyuk diertikan sebagai beribadat dengan tenang dan merendah diri, merasa hina dina di hadapan Allah SWT. Penuh tumpuan hati ingatan hanya terhadapnya. Orang khusyuk dalam solat, anggota tubuh tidak akan bergoyang di luar tuntutan kaifiat, tangan tidak bergerak menggaru-garu atau membetulkan pakaian.
Sabda Rasulullah SAW: “Jika seseorang itu khusyuk, maka anggota tubuhnya turut khusyuk sama”
Menghadirkan khusyuk dalam solat itu kewajipan bagi orang-orang yang beriman, kerana ketika solat ingatan mesti tertumpu kepada Allah SWT semata sebagaimana ditegaskan oleh firmanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tiada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikan lah solat untuk mengingati Aku.” (Surah Toha ayat 14)
Khusyuk mampu dilakukan oleh manusia dengan mengikuti beberapa syarat kerana Allah SWT tidak akan mewajibkan sesuatu syariat di luar kemampuan manusia sebagaimana janji Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:” Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya”. (Surah al-Baqarah ayat 286)
Langkah pertama untuk mencapai khusyuk mesti mengetahui makna setiap ucapan atau bacaan dalam solat. Khusyuk tidak mungkin tercapai jika tidak mengetahui makna maksud ucapan dalam solat sebaliknya akan terjerumus ke lembah lalai.
Langkah kedua untuk khusyuk solat ialah menjaga segala makan minum yang halal serta pakaian dan tempat tinggal hanya dari sumber yang halal. Allah SWT reda jika hambanya membataskan diri dengan makan minum yang halal dan pakaian serta tempat tinggal daripada sumber yang halal. Makan minum yang tidak halal adalah barang busuk yang dibenci oleh Allah SWT dan malaikat Nya. Tuhan akan menjauhi jika manusia diselubungi perkara yang haram, apabila Tuhan menjauhi daripada manusia sebegitu maka syaitan lah yang akan mendekatinya.
Tidak mungkin khusyuk dapat dicapai dalam situasi syaitan sebagai pendamping manusia itu, jika mereka solat pun pasti tiada zikrullah. Dilihat dari segi zahirnya bahawa ingat kepada Allah SWT ketika mendirikan solat itu adalah wajib apabila tiada ingat Allah SWT bererti mereka telah meninggalkan perkara wajib. Barang siapa yang lalai dalam solatnya, maka bagaimana hendak dikatakan bahawa orang itu mendirikan solat kerana Allah SWT? Inilah solat yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.
Sifat lali adalah ditegah dan dibenci oleh Allah SWT sebagaimana ditegaskan firmanya bermaksud: “Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Surah A’raaf ayat 205). Jelaslah hukum lalai dalam solat itu hukumnya haram tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.
Setiap orang sewajarnya merenung dan meneliti solat masing-masing. Sebanyak mana ingatannya kepada Allah SWT dan sebanyak mana pula lali kepadanya. Ingat dan lali adalah kerja hati yang tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Allah SWT dan diri sendiri. Jika lebih banyak ingat kepada Allah SWT ketika mendirikan soalt, mudah-mudahan lebih banyak solat dimakbulkan.

Friday 17 February 2012

PINTU HATI


Pintu hendaklah sentiasa terbuka….

Cepat dan lambat. Kena yakin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. 

Apabila bercakap tentang jodoh, kita seharusnya bayang begini:

Teruskan sabar, doa, usaha. Mungkin Si dia sedang berusaha bersungguh-sungguh mencari anda dari pintu ke pintu.

Si dia masih tak jumpa-jumpa lagi pintu anda. Mungkin pintu anda terlalu jauh atau tersembunyi. 

Mungkin juga pintu awak dekat saja dengan si dia tetapi dia terlepas pandang.
Bila masanya sudah tiba, si dia akan membuka pintu anda dan anda  akan tersenyum menyambut ketibaannya. Wow….

Mmm…. kenapalah si dia masih tak nampak pintu saya ni? Saya tak kunci pun. Tunggu si dia tolak je pintu tu atau saya kena bukakan pintu tu sikit atau saya kena buka pintu seluas-luasnya nya supaya dia senang nampak.

Hihihihih~

Monday 13 February 2012

KEBERSIHAN DIRI ORANG ISLAM




Islam menyediakan peraturan yang sempurna dan terperinci untuk manusia hingga pengurusan diri meliputi pengawasan terhadap tubuh badan.

Seseorang itu diberi kebebasan sama ada hendak bercukur atau menyimpan rambut. Sekiranya menyimpan rambut hendaklah dengan kadar panjang yang munasabah asalkan ia terurus bersih dan rapi. Selain rambut, bulu yang tumbuh di atas bibir (misai) bagi kaum lelaki hendaklah menganyam misai hingga kelihatan kemas.

Disunatkan mencabut bulu ketiak sekurang-kurangnya sekali sebelum 40 hari. Sekiranya lebih 40 hari, menunjukkan orang itu tidak cermat dan kurang beri perhatian aspek kekemasan dan kebersihan.

Seterusnya Islam memberi perhatian terhadap bulu yang tumbuh di atas ari-ari dan di sekeliling alat kelamin lelaki mahupun wanita sama ada dicukur atau dicabut. Menjaga kebersihan ini amat penting agar kelihatan bersih dan kemas lebih-lebih lagi setiap manusia akan menghadapi kematian.

Apabila ajal tiba maka jenazahnya tidak mengaibkan ketika diselenggarakan oleh orang ramai kerana jenazah berkenaan dalam situasi terurus dan tidak serabut.

Kuku disunatkan memotong dan ditegah menyimpan kuku atas apa tujuan pun. Ada orang beranggapan kuku panjang tidak menimbulkan masalah kerana ia boleh dijaga dan dibersihkan kekotoran yang terlekat. Soalnya, mengapa mencari beban kerja yang tidak perlu walhal menjaga kuku ia membazirkan masa dan usia seseorang.

Usia dan masa dianugerahkan Allah yang amat berharga sepatutnya digunakan untuk perkara yang manfaat sama ada bagi urusan dunia lebih-lebih lagi akhirat. Usia dan masa ia ditanya oleh Allah sebaik sahaja dibangkitkan di mahsyar kelak. Untuk apakah umur itu di habiskan?.

Wednesday 8 February 2012

SOLAT TIDAK DITERIMA



Saidatina Ali bin Abi Talib berkata: “Tidak akan selamat pekerjaan umat mutakhir kecuali meneladani cara amalan umat terdahulu yang membawa keselamatan”.

Solat yang tidak sempurna itu tidak akan dinaikkan ke langit dalam keadaan hitam legam sambil berkata: “Aku berdoa agar Allah SWT akan abaikan kamu sebagaimana kamu mengabaikan aku dahulu”.

Solat yang hodoh itu akan di gumpal kain buruk dan dilontarkan kembali ke muka orang ang empunya solat hodoh itu.

Sesungguhnya orang yang telah menunaikan solat tidak boleh merasakan puas hati dan menganggap kerja amalnya sudah selesai. Sebenarnya masih ada perkara yang tertinggal dari pengetahuan orang yang berkenaan.

Solat bermula dengan wuduk, Nabi SAW memberitahu bahawa wuduk adalah kunci kepada ibadat solat. Wuduk yang sempurna dan cermat saja yang layak menjadi pembuka solat.

Solat itu seperti seseorang bercakap secara berdepan dengan Allah SWT, lebih dari seorang rakyat menghadap raja dengan sembah kata menjunjung kasih.

Orang yang sempurna dan khusyuk solatnya, maka solatnya diangkat ke langit dalam keadaan cemerlang & putih melepak. Ertinya ibadat solat itu diterima menghadap ke hadirat Allah SWT dalam situasi sempurna dan cemerlang.

Sebaliknya orang yang mendirikan solat tidak pada waktunya atau mengabaikan solat, tidak cermat wuduknya tidak sempurna rukuk dan sujudnya, malah tidak khusyuk solatnya akan diangkat juga di langit, tetapi dengan keadaan hitam legam. Sesungguhnya hitam legam itu sebagai simbol penolakan Allah SWT terhadap ibadat itu.

Solat yang hitam legam itu berdoa pula kepada Allah SWT dengan doanya yang buruk: “Semoga Tuhan abaikan orang ini, sebagaimana dia telah mengabaikan aku dahulu”.

Setelah itu solat yang hitam legam itu di gumpal seperti sekepal kain buruk, lalu dilontarkan ke muka orang yang abai terhadap solatnya. Di lontar ke muka orang empunya amal dalam erti kata telah ditolak solat tersebut oleh Allah SWT dalam keadaan murka.

Masalahnya lontaran itu tidak disedari oleh orang yang melakukan solat tidak cermat itu kerana yang dilontar itu bukan benda yang boleh dirasai oleh orang yang terkena lontaran itu.

Tidak sedari itu menyebabkan mereka tidak akan insaf, malah merasa optimis kerana telah melakukan kewajipan ibadat fardu itu. Pada sangkanya tanggungjawab dan kewajipan fardu telah selesai hanya menanti hasilnya untuk dituai di akhirat kelak.

Friday 6 January 2012

TIP LAHIRKAN ANAK SOLEH

Ketika hamil mereka harus menjaga adab bagi menentukan  tingkah laki anak yang bakal dilahirkan, bagi mendapat anak yang soleh terdapat amalan-amalan yang digariskan Islam dan perlu diberi perhatian bukan sahaja oleh isteri bahkan suami juga bertanggungjawab.
·   Memperbanyakkan taubat dan istighfar. Dengan memperbanyakkan taubat, mereka akah dikasihi dan dirahmati begitu juga seluruh ahli keluarga termasuk anak dalam kandungan.

·    Khusus untuk suami, berpuasa Isnin dan Khamis  atau hari-hari (13, 14 dan 15 bulan hijrah) sebagaimana diamalkan  Nabi Zakaria a.s. bagi ibu, sekiranya tidak memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan bolehlah diamalkan

· Tidak bercakap yang sia-sia. Ketika isteri sedang hamil, suami elakkan bercakap yang sia-sia lebih-lebuh bagi yang boleh mendatangkan dosa seperti mengumpat, memfitnah dan sebagainya. Sebaliknya, basahlah lidah dengan berzikir dan bertahmid.

· Banyakan berdoa. Sentiasa berdoa agar Allah SWT mengurniakan anak yang soleh atau solehah. Sekurang-kurangnya setiap lepas sembahyang, bacalah doa khusus bagi ibu yang sedang mengandung.

·     Banyakan membaca al-Quran.

·     Suami hendaklah rajin mengerjakan solat berjemaah

·     Rajin menghadiri majlis ilmu.

·   Dilarang memakan benda-benda haram, begitu juga dilarang memberi isteri rezeki yang tidak halal serta wang riba

·   Banyak membaca doa keselamatan untuk isteri dan keselamatan anak dalam kandungan

·     Dilarang membuka aurat kerana dikhuatiri mempengaruhi akhlak anak yang akan lahir nanti

·     Suami hendaklah menjauhi diri daripada marah dan benci pada isteri

·     Ketika isteri hampir bersalin, suami digalakkan membaca berikut “ La ila ha illa anta subha naka inni kun tu minadzolimin”

·  Suami hendaklah kerap solat sunat dan mendoakan agar isteri dan anak dalam kandungan selamat

·  Mendoakan anak usaha membesarkan dan mendidik anak supaya menjadi manusia berguna bekalan suatu yang dapat dipastikan kejayaannya. Doa adalah satu usahalah suatu yang dapat dipastikan kejayaannya. Doa adalah satu usaha. Antara doa-doa yang patut diamalkan oleh orang tua agar anak-anak mereka menjadi orang yang diredai Allah iaitu Al-Baqarah (128), Al-Imran (38), Furqan (74) dan Ibrahim (40).
8 Surah Harus Menjadi Amalan Bakal Ibu
Surah al-Fatihah – Untuk menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan
Surah al-Maryam – Untuk memudahkan ibu bersalin dan memperoleh anak yang sabar dan taat
Surah Luqman – Untuk memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa
Surah Yusuf -  Untuk memperoleh anak yang cantik rupa dan cantik akhlak
Surah Hujurat – Untuk memperbanyakkan susu ibu dan anak bersifat hati-hati
Surat Yaasin – Untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak maksiat
Surat Taubah – Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat
Surah an Nahl -  Untuk melahirkan anak yang berdisplin

Sunday 11 December 2011

DAKWAH KELUARGA



Sejuk hati melihat kak Izzah yang mempunyai 7 orang anak lelaki. Kak Izzah telah mendidik asas akidah dan Islam dalam keluarga, setiap anak-anaknya tahu tanggungjawab seperti solat berjemaah di masjid/suar, mendengar tazkirah, membantu jiran ,tolong-menolong, cakap lemah lembut dan sebagainya. Anak kak Izzah juga berjaya sehingga ke menara gading.

Hidayah Allah jarang-jarang orang dapat. Keluarga yang jahil mesti ada seorang ahli keluarga yang dapat hidayah Allah. Faham agama. Dengan kesedaran yang ada, dia ingin berdakwah. Bukan mudah untuk berdakwah kepada ahli keluarga. Kadang-kadang semasa berdakwah kepada ahli keluarga tekanan perasaan, cabaran, melawan, marah-marah dan hina menghina. Silap hari bulan boleh jadi pergaduhan. 

Kebimbangan terhadap ahli keluarga yang tidak solat, mencari rezeki yang tidak halal dan sebagainya amat merunsingkan. Bukan mudah untuk mengurus emosi marah kepada keluarga yang tidak melaksanakan perintah Allah.

Kalau difikirkan, berapa ramai yang sebuk dengan kerja-kerja lain tanpa solat. Berjaya menunaikan solat di awal waktu, ramai lagi yang masih belum menunaikan solat dan melewat-lewatkan nya di akhir waktu.

Kita sayang keluarga, tidak ingin keluarga kita dimasukkan ke dalam api neraka. Kita juga tidak mahu tergolong ahli neraka. Mengharapkan pertolongan Allah dan hidayah Nya kepada ahli keluarga.

“Ya Allah, berikanlah kami hidayah Mu, selamatlah kami di dunia dan akhirat. Pandu lah kami di jalan lurus, jalan yang Kau redai”. Amin.

Wednesday 7 December 2011

MAJLIS KHATAM AL-QURAN


Kegembiraan terpancar pasangan yang baru bernikah. Seri-seri wajahnya tidak boleh disembunyikan lagi. Sudah menjadi adat apabila orang yang berkahwin akan melakukan majlis khatam Al-Quran. Biarlah pengantin itu betul-betul khatam Al-Quran bukan setakat mengikut majlis sahaja. Jadikan khatam Al-Quran sebagai hadiah perkahwinan kita.

Saturday 26 November 2011

PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1433H

Alhamdulillah, hari ini umat Islam menyambut kedatangan tahun baru 1433 Hijrah.
Konsep hijrah hari ini menuntut kepada perubahan demi kemajuan  individu, masyarakat dan negara berlandaskan pemikiran yang kreatif dan inovatif. Ini memerlukan keazaman, kemahiran, kecekalan dalam usaha ke arah kemajuan.
Pertembungan di antara kebenaran dan kebatilan yang memerlukan hijrah sebagai satu gerak permulaan membawa seribu makna dan iktibar untuk semua pejuang kebenaran dan keadilan.
Rasulullah SAW telah membina sebuah tamadun dan pemerintahan yang berteraskan keadilan, kebebasan, integriti dan prinsip tadbir urus yang baik. Selain menjamin hak umat Islam, pentadbiran Rasulullah SAW juga turut memelihara kebajikan golongan bukan Islam dan kaum Yahudi yang sebelum ini begitu mencurigai sistem keadilan Islam.
Jika direnung kembali konsep pentadbiran Rasulullah SAW, — meski pun Baginda berbangsa Arab Quraisy — tidak pernah sekali pun Baginda melebih dan meletakkan keutamaan kepada kaumnya semata-mata. Baginda juga tidak pernah melaung-laungkan slogan perkauman atau retorik ‘ketuanan Arab’ dalam usaha mendapatkan sokongan dari penduduk Madinah.
Kita perlu melakukan pengorbanan untuk membawa perubahan. Ini kerana tiada perubahan yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah suatu tuntutan dalam kehidupan manusia. Ia meliputi perubahan daripada perkara yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik.
Sempena menyambut kedatangan tahun baru Hijrah hari ini, saya mengucapkan Salam Ma’al Hijrah buat seluruh umat Islam.



Thursday 10 November 2011

PENGORBANAN NABI ISMAIL A.S



Sejarah 5000 tahun dahulu bagaimana Nabi Ismail a.s. telah dengan rela hati meminta ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. mengikuti perintah Allah SWT agar dia dikorbankan sering disebut-sebut oleh manusia. Kita tahu bagaimana di saat-saat akhir, Allah SWT telah menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan seekor biri-biri, yang akhirnya menjadi korban.

Apa yang harus kita ingat ialah pengajaran. Cuba kita fikirkan bagaimana peritnya perasaan si bapa, Nabi Ibrahim a.s. yang harus mengetepikan naluri kebapaan nya yang terlalu mengasihi anaknya demi mengerjakan perintah Tuhan. Pengorbanan inilah yang diperlukan dengan mengetepikan perasaan sendiri demi sesuatu yang lebih besar dari diri kita sendiri yang harus kita ingati dan kita amalkan. Subhanallah.

·   Pengajaran kisah Nabi Ismail a.s ialah kita dituntut untuk bersabar segala dugaan, berteduh dengan iman

·    Kita mudah menyebut ikhlas. Adakah keikhlasan kita itu sampai kepada Allah SWT iaituTuhan Yang Esa. Keikhlasan hati datangnya dari hati manusia kepada penciptanya.

·   Nabi Ismail a.s mengenal dirinya sendiri dan mengetahui bahawa dirinya adalah kepunyaan Allah SWT. Baginda tahu bahawa kita tidak miliki apa-apa pun. Oleh itu, ungkapan ‘Aku Punya’ berubah kepada ‘Allah Punya’. Kita hanya pinjaman dan semuanya akan kembali kepada Allah SWT

·         Allah SWT menuntut kita berkorban masa 50 minit sehari untuk bersolat, korban harta dan sebagainya. Sebaliknya, kita sukar untuk berkorban kerana menganggap ‘Aku punya, Aku hebat’, ‘Aku Besar’ dan lupa diri kita empunya Allah SWT.

Firman Allah SWT:

Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). Surat Al-Kawthar

·         Nabi Ismail memiliki wawasan untuk mencapai redha Allah SWT di akhirat iaitu syurga. Oleh itu, kita seharusnya mempunyai wawasan untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Melaksanakan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. Sesungguhnya azab amat dahsyat. 

Saya beranggapan dengan kesibukan menangani masalah keduniaan, wajar kita diperuntukkan waktu dalam urusan kerohanian. 

A.K. Brohi, pemikir dan sarjana undang-undang Pakistan pernah mengingatkan  pesanan ahli sufi Sindhi berdasarkan Hadis Rasulullah saw. Menurutnya, ibarat sekuat besi di dalam air; akhirnya berkarat jua! Justeru wajib diangkat dan diselaputi minyak dari masa ke masa sebelum dibenamkan semula di dalam air. Begitu juga kita aktivis yang bergelut dalam kancah politik, perniagaan atau sebarang lapangan, harus ada waktu beruzlah, munajat dan memperkuat aqidah (iman amiq) dan kerohanian.

Marilah kita mengambil iktibar dari kisah-kisah ini dengan menanamkan semangat, perteguhkan iktikad, dan janganlah kita asyik memikirkan diri sendiri hingga melupakan perintah-perintah Allah untuk berbuat baik sesama kita, untuk menegakkan keadilan dan menentang kebatilan. Mudah-mudahan kita dapat mengasah kesedaran yang sama di kalangan umat Islam.